Kuala Lumpur: Ibu bapa dibenar tidak menghantar anak ke sekolah jika bimbang kesihatan mereka berikutan jerebu yang melanda negara sekarang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri berkata, pihak sekolah hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu. 
“Ibu bapa diminta merujuk kepada pihak sekolah, pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan status sekolah anak-anak mereka terutama di kawasan terlibat,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan dalam kenyataan di sini, semalam. 

Ibu bapa diminta merujuk kepada pihak sekolah, pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan status sekolah anak-anak mereka terutama di kawasan terlibat,” Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri

Sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka serta daerah Muar, Ledang dan Segamat di Johor, Port Dickson di Negeri Sembilan dan Kuantan di Pahang diarahkan tutup, semalam.

Muhyiddin berkata, walaupun sekolah dalam kawasan jerebu kritikal dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras bahaya ditutup, pelajar dinasihatkan supaya tidak mendedahkan diri di kawasan terbuka.

Awasi pergerakan anak

“Kerjasama ibu bapa perlu supaya dapat mengawasi pergerakan anak mereka sepanjang tempoh itu. 
“Pelajar juga dinasihatkan sentiasa memakai topeng hidung dan mulut serta minum banyak air, manakala pihak sekolah hendaklah merujuk pelajar tidak sihat ke klinik atau hospital berhampiran,” katanya. 

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah sentiasa memantau dan mengikuti perkembangan semasa jerebu untuk mengetahui status terkini jerebu di kawasan masing-masing. 

Katanya, semua pengarah pelajaran di setiap negeri hendaklah sentiasa mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak berkuasa di peringkat masing-masing, mengenai keperluan penutupan sekolah serta pelaksanaan sebarang aktiviti membabitkan pelajar.