Terdapat
beberapa adab dan etika yang perlu dipatuhi untuk memastikan kesihatan tubuh
badan terpelihara. Islam tidak menggalakkan umatnya makan sesuka hati, makan
terlalu kenyang dan sebagainya. Tabiat pemakanan yang boleh diteladani ialah
mengikut sunnah Rasulullah SAW. Jika dikaji, amalan pemakanan Baginda SAW amat
bertepatan dengan ayat al-Quran yang bermaksud: “… makan dan minumlah, janganlah berlebih-lebihan…”
(Surah al-A’raf, ayat 31).
Ada
beberapa panduan yang diajarkan Baginda SAW
kepada umat Islam antaranya adalah seperti berikut: Rasulullah SAW
menyuruh umatnya agar membaca Bismillah ketika hendak makan dan akhirinya
dengan membaca Alhamdulillah. Hikmah membaca Bismillah dan Alhamdulillah bagi
seorang Muslim adalah peringatan bahawa makanan yang hendak dimakan adalah
nikmat, rezeki dan anugerah daripada Allah SWT.
Antara sunnah Rasulullah SAW
adalah makan menggunakan tangan kanan. Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Jika salah seorang
antara kalian hendak makan, maka hendaknya makan dengan menggunakan tangan
kanan dan apabila hendak minum maka hendaknya minum juga dengan tangan kanan. Sesungguhnya syaitan itu makan dengan
tangan kiri dan juga minum dengan menggunakan tangan kirinya.” (Hadis riwayat
Muslim).
Perbuatan
membasuh tangan dan berkumur sebelum dan selepas makan adalah amalan sunnah
yang juga bertujuan untuk membersihkan gigi daripada sisa makanan dan bakteria.
Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berkumur
kalian selepas minum susu kerana di dalamnya mengandung lemak”. (hadis riwayat
Ibnu Majah).
Ketika
makan jangan terlalu banyak bercakap (melampau batas) atau bercakap dengan
makanan penuh dalam mulut. Jangan juga bercakap mengenai hal yang boleh
menimbulkan rasa jijik atau loya.
Justeru, amalan pemakanan yang
dipamerkan Rasulullah SAW seharusnya diikuti dan dicontohi oleh semua peringkat
umur demi kesihatan yang mantap dan kelangsungan hidup yang bermutu.
Mudah-mudahan kita termasuk dalam
golongan orang yang memahami dan memanfaati nikmat kesihatan yang tidak
ternilai ini.
No comments:
Post a Comment