Jumaat, 19 Jun 2015 merupakan hari terakhir buat Encik Pazli bin Zawawi dan Puan Ai'shah binti Mohamed Nor berkhidmat di SK Taman Putra Perdana setelah sekian lama menabur bakti dan tenaga di sekolah ini. Encik Pazli merupakan guru Sains dan telah berkhidmat selama 9 tahun manakala Puan Ai'shah merupakan "ustazah" antara peneraju utama di sini, apabila sekolah ini mula beroperasi pada tahun 2004. En. Pazli dan Pn. Ai'shah masing-masing bertukar ke SK Sungai Merab Luar dan SK KLIA yang mana lebih dekat dengan kediaman mereka jika dibandingkan dengan jarak ke sekolah ini.
Suasana hening mula menyelubungi perhimpunan kami, apabila mereka berdua diminta untuk menyampaikan amanat terakhir sebelum meninggalkan murid-murid kesayangan. Guru Besar SK Taman Putra Perdana turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih atas bakti dan khidmat yang dicurahkan selama ini. Ucapan Guru Besar diakhiri dengan dua rangkap pantun klasik.
Kalau ada jarum yang patah
Jangan disimpan di dalam peti
Kalau ada silap dan salah
Jangan disimpan di dalam hati
Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi
Salam perpisahan buat mereka. Semoga lebih komited dalam mendidik anak bangsa dan mencapai kejayaan di tempat yang baharru. Semoga kita bertemu lagi. Salam sayang dari warga SKTPP ...
Murid mendengar amanat dari guru yang akan bertukar. |
No comments:
Post a Comment