Hari ini, 10 Oktober 2017, berlangsungnya Sambutan Hari Kanak-Kanak peringkat sekolah, di Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana. Setiap tahun, kanak-kanak akan diraikan dalam majlis yang meriah dan ceria.
Bagi murid-murid tahun 6, majlis seperti ini merupakan tahun terakhir mereka diraikan sebagai golongan kanak-kanak di sekolah ini. Tentunya ia merupakan kenangan terindah untuk mereka.
Acara Sambutan Hari Kanak-Kanak dibahagikan kepada dua segmen. Segmen pertama merupakan acara sukaneka untuk semua murid tahun 4, 5, 6, PPKI dan Prasekolah. Setiap kelas mengambil bahagian dalam dua acara berbeza dengan penglibatan semua murid (20 orang murid untuk setiap acara yang dipertandingkan).
Berikut merupakan perincian aktiviti sukaneka:
Tahun 4 / PPKI / Prasekolah
Lokasi Berkumpul: Dataran Perhimpunan
Acara: 1. Span Bocor
2. Bawa Bola Dalam Gelung
*Span bocor
Murid-murid dikehendaki memenuhkan botol dengan air yang diperah melalui span yang telah direndamkan di dalam air. Kelas yang berjaya mengumpul air paling banyak setelah habis keduapuluh peserta dikira sebagai pemenang.
*Bawa Bola Dalam gelung
Bola dibawa menggunakan gelung rotan. Kelas yang paling pantas menghabiskan acara dikira sebagai pemenang.
Tahun 5
Lokasi Berkumpul: Kantin
Acara: 1. Anak Gorilla
2. Letupkan Saya
*Anak Gorilla
Murid akan membawa 2 biji bola yang diletakkan di bawah ketiak, pundi kacang pula diletakkan di atas kepala. Kelas yang paling pantas menghabiskan acara dikira sebagai juara.
*Letupkan Saya
Dengan mengikut giliran, setiap murid meniup belon dan cuba meletupkannya dengan duduk di atas belon tersebut. Kelas yang berjaya melengkapkan kedua-dua aktiviti itu paling pantas dilira sebagai pemenang.
Tahun 6
Lokasi Berkumpul: Dewan Taman
Acara: 1. Shaolin Soccer
2. Lari Dalam Guni
*Shaolin Soccer
Setiap murid dalam setiap kumpulan akan berusaha menendang bola masuk ke dalam gol. Kelas paling awal menghabiskan acara dikira sebagai juara.
*Lari Dalam Guni
Setiap murid dikehendaki berlari di dalam guni. Kelas yang paling pantas menghabiskan acara dikira pemenang.
Semua murid diberi penerangan ringkas mengenai acara yang sukaneka yang dijalankan oleh penyelaras peserta, dan cara penilaian oleh hakim dan pengadil. Taklimat disiplin pula diberikan oleh Puan Parimala.
Murid-murid berkumpul di tempat yang telah ditetapkan sebelum memulakan acara yang dijalankan di padang sekolah untuk semua murid aliran perdana, Dataran Perhimpunan untuk murid-murid PPKI dan Gelanggang Badminton untuk murid-murid Prasekolah.
Semua aktiviti berjalan dengan lancar dengan suasana yang ceria dan terkawal. Tambahan pula cuaca hari ini baik.
Setelah berehat selama 30 minit, tepat pada pukul 10.30 pagi, segmen kedua pula diadakan di Dewan Perdana yang telahpun dihias cantik. Segmen kedua dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Mahadir bagi memberkati majlis Hari Kanak-Kanak untuk sesi 2017. Seterusnya pengacara majlis, Cik Rosalinda, menjemput wakil murid adik Hanis Nabila binti Khairul untuk memberikan sedikit ucapan mewakili semua murid SK Taman Putra Perdana. Di dalam ucapannya, adik Hanis mengucapkan syukur dan rasa bertuah kerana masih mampu menyambut Hari Kanak-Kanak dalam suanana yang aman dan ceria berbanding kanak-kanak di negara-negara bergolak seperti di Myanmar, Syria dan banyak lagi. Adik Hanis juga mengakui, sebagai kanak-kanak, mereka merupakan pewaris bangsa, pencetus tradisi budaya dan tonggak kecemerlangan negara.
Puan Hajah Rohaidah, Guru Besar SK Taman Putra Perdana seperti biasa dengan wajah yang ceria dan ramah, mengambil tempat di atas pentas untuk memberi ucapan 'Selamat Hari Kanak-Kanak' kepada semua murid SK Taman Putra Perdana, yang mendapat tepukan gemuruh oleh semua warga SKTPP. Di dalam ucapannya Puan Hajah Rohaidah, menekankan mengenai betapa pentingnya nilai-nilai murni yang seharusnya dipupuk sejak dari kecil untuk memantapkan jati diri murid, yang seterusnya akan mengekalkan keamanan negara, supaya acara-acara seperti ini akan terus dan tetap dapat diadakan saban tahun. Beliau juga menyeru murid-murid supaya sentiasa berfikiran positif dan mengambil bahagian di dalam setiap aktiviti yang dijalankan di sekolah supaya kehidupan kanak-kanak mereka lebih bermakna sepanjang mereka berada di sekolah.
Acara kemuncak untuk sambutan Hari Kanak-Kanak adalah pengumuman Tokoh Kanak-Kanak bagi tahun 2017. Tokoh Kanak-Kanak sesi pagi pada tahun ini disandang oleh adik HURIN BATRISYIA AMANI BINTI AHMAD JUNAIDI DOINIL JALALANI. Serentak dengan pengumuman oleh Puan Mazzaini yang sebelum itu membacakan biodata adik Hurin, paluan kompang beserta bunga manggar berarak mengiringi adik Hurin dan ayahandanya naik ke pentas. Tepukan gemuruh oleh warga SK Taman Putra Perdana, menggamatkan lagi dewan.
Setelah persoalan siapa Tokoh Kanak-Kanak 2017 terjawab, acara diteruskan lagi dengan pengumuman pemenang acara sukaneka yang telah dijalankan. Berikut merupakan pemenang acara sukaneka untuk tahun 4, 5 dan 6.
Tahun 4
Pertama: Seruling (160 mata)
Kedua: Gambus (150 mata)
Ketiga: Canang (100 mata)
Tahun 5
Pertama: Radiologi (150 mata)
Kedua: Ortopedik (135 mata)
Ketiga: Kardiologi (130 mata)
Tahun 6
Pertama: Uranus (160 mata)
Kedua: Zuhal (140 mata)
Ketiga: Neptune (90 mata)
Memetik ucapan pantun dari Cik Rosalinda;
Bunga Seroja di atas para,
Jatuh ditimpa buah berangan,
Andai kata tersilap bicara,
Kemaafan jua kami pohonkan.
Jumpa lagi tahun hadapan! Mari kita saksikan gambar-gambar yang sempat dirakamkan oleh lensa jurukamera kita pada tahun ini Puan Arjunawati.
Biodata Tokoh Kanak-Kanak 2017
Pada tanggal 22 Mei 2005, tarikh keramat bagi pasangan bertuah Encik Ahmad Junaidi Doinil Jalalaini bin Abdul Aziz dan Puan Nurhayu binti Kamarudin apabila dikurniakan seorang puteri. Anak ini merupakan anak sulung daripada dua beradik. Beliau telah dipelihara bagaikan menatang minyak yang penuh dan diberi didikan yang sempurna oleh kedua-dua ibu bapa yang sangat mengasihinya.
Bermula daripada seorang murid biasa, beliau telah diamanahkan jawatan sebagai Pengawas pada tahun 2013 iaitu semasa berada di tahun 2 dan terus dilantik sebagai Ketua Pengawas Sesi Petang pada 2014.
Sentiasa mempamerkan sikap lemah lembut, rendah diri dan keprihatinan serta dedikasi terhadap apa-apa jua amanah dan tanggungjawab yang ditugaskan kepada beliau.
Dalam bidang akademik, beliau sentiasa menunjukkan prestasi yang cemerlang. Saban tahun beliau sentiasa menerima anugerah kecemerlangan akademik baik anugerah matapelajaran terbaik mahupun kedudukan terbaik dalam kelas. Bukan itu sahaja beliau turut dicalonkan menerima anugerah Tokoh Kanak-Kanak pada Sambutan Hari Kanak-Kanak 2014. Pada tahun yang sama beliau juga dicalonkan sebagai Tokoh Nilam Peringkat Daerah Sepang 2016.
Dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Percubaan UPSR baru-baru ini, bintang beliau semakin terserlah apabila berjaya mendapat keputusan 6A. Selain di SK Taman Putra Perdana, puteri ini turut juga menunjukkan kecemerlangan di sekolah agama Madrasah Pra-Tahfiz Al-Mansoorah dengan mendapat tempat pertama dalam setiap kali peperiksaan. Hal ini memperlihatkan beliau sebagai seorang murid yang sentiasa ke hadapan dan bermotivasi tinggi untuk terus maju dalam pelajaran dan adab sebagai puteri muslimah.
Selain itu dalam bidang kokurikulum pula, beliau tidak ketinggalan mempamerkan kehebatan yang tidak kurang hebatnya. Pernah mewakili sekolah dalam pelbagai pertandingan, antaranya Pertandingan Mahrajan j-QAF (Kalam Jama'ie) mendapat Naib Johan, Pertandingan Story Telling, Pertandingan Action Song dan Bicara Berirama Peringkat Daerah Sepang. Beliau juga berpengetahuan dalam bidang muzik melalui The Associated Board of The Royal School of Music dengan mendapat Gred 2 dalam piano dengan pencapaian pada tahap Merit.
I
Bergiat aktif dalam Persatuan Pandu Puteri Tunas dengan penglibatan yang cemerlang seperti menyertai Bengkel Lencana Prapersetiaan, Lencana Calit Emas, Lencana Tangga Emas dan Tangan Emas dan peljbagai lagi anugerah dan lencana termasuk yang terbaru menyertai 'The Bharat Scouts and Guides' di Karnataka India dan Taipei Scout Jamboree kali ke-9 di Taipei, Taiwan.
Atas kelebihan-kelebihan yang telah diperincikan itulah telah melayakkan beliau dinobatkan sebagai Tokoh Kanak-Kanak SKTPP 2017.
No comments:
Post a Comment