Pages

Thursday, February 22, 2018

Mesyuarat Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Peringkat Daerah Bersama PPD Sepang

Pada hari Khamis bersamaan 22 Februari 2018 telah diadakan satu mesyuarat bagi menjayakan program Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) peringkat Daerah Sepang. Mesyuarat ini telah bermula pada jam 12.30 tengah hari bertempat di Terminal Muafakat yang melibatkan semua guru sesi pagi dan petang yang beragama Islam. SKTPP telah mendapat mandat dan kepercayaan daripada Pejabat Pendidikan Daerah Sepang untuk menjadi tuan rumah bagi program ini bagi tahun 2018.


Mesyuarat Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Peringkat Daerah Sepang 2018

Kehadiran guru di Terminal Mesyuarat

Mesyuarat ini turut dihadiri 3 orang pegawai Unit Pendidikan Islam & j-QAF PPD Sepang iaitu Ustaz Faizal, Ustaz Emree dan Ustazah Norina (MTQ Perdana) serta pegawai Unit Pendidikan Khas PPD Sepang;  Pn. Zalifah (MTQ PPKI). Bagi memberkati mesyuarat yang berlangsung, Ustaz Mahadir Bin Midun telah memimpin bacaan doa mohon agar segala urusan berjalan dengan lancar. Selepas itu, Puan Hajah Rohaidah Binti Mohd Ali selaku Guru Besar merangkap Pengerusi Program telah memberi ucapan alu-aluan kepada semua yang hadir pada hari tersebut termasuklah mengalu-alukan tetamu yang hadir sama.

Ustaz Faizal, Penolong Pengarah Unit j-QAF Pejabat Pendidikan Daerah Sepang selaku Penyelaras Utama program

Ustaz Emree & Ustazah Norina selaku Penyelaras Pendidikan Islam Pejabat Pendidikan Daerah Sepang turut sama menyertai mesyuarat ini.

Pn. Zalifah pegawai PPKI PPD Sepang hadir sama

Mesyuarat ini membincangkan tentang perjalanan program yang akan berlangsung pada 10 Mac 2018 bersamaan hari Sabtu bertempat di SKTPP. Ketua Panitia Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana, Puan Nurulhuda Binti Hasbullah telah memberikan penerangan tentang Majlis Tilawah Al-Quran dari segi matlamat dan objektif penganjurannya diadakan serta membentangkan senarai ahli jawatankuasa pelaksana bagi program tersebut. 

Sebagai makluman, Majlis Tilawah Al-Quran di sekolah ini melibatkan murid aliran perdana (SR) serta aliran pendidikan khas (SR & SM). Oleh itu, mesyuarat ini turut melibatkan penerangan tentang perjalanan program bagi pelajar-pelajar pendidikan khas. Antara acara yang akan dipertandingkan ialah pertandingan tilawah al-quran, hafazan dan bercerita bagi kategori lelaki dan perempuan (aliran perdana & PPKI) dan tambahan khat, azan subuh (PPKI) dan syarahan (PPKI SM sahaja).

Ustaz Faizal turut memberikan ucapannya bagi pihak Pejabat Pendidikan Daerah Sepang. Beliau mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh guru-guru SKTPP yang hampir semua dilantik sebagai AJK MTQ Daerah. Beliau turut memberi peluang kepada semua guru untuk mengutarakan persoalan atau hal-hal berbangkit mengenai program ini.

Sebahagian guru yang hadir pada mesyuarat tersebut.

Guru-guru memberikan tumpuan semasa taklimat sedang berlangsung.

Mesyuarat berakhir dengan ucapan penangguhan daripada Guru Besar dan beliau memaklumkan bahawa satu lagi mesyuarat akan diadakan pada 8 Mac 2018. Mesyuarat berakhir pada jam 1.45 petang.

No comments:

Post a Comment