Pages

Wednesday, January 18, 2023

Lawatan Penanda Arasan SK Jugra

Setelah 4 kali menunda tarikh lawatan akhirnya perancangan untuk mengunjungi SK Taman Putra Perdana (SKTPP) berjaya direalisasikan pada hari ini. Selamat datang buat rombongan dari SK Jugra, Banting.

Pohon pedada di dalam hutan,
Jadi idaman si anak rusa,
Terima kasih kunjungan tuan,
Sulamkan mesra satukan jiwa.

Rombongan tiba di SKTPP lebih kurang pukul 2.30 petang. Kehadiran para pelawat telah disambut oleh Pn Hjh Rohaidah bt Mohd Ali (Guru Besar SKTPP), barisan pentadbir, Pn Normawati bt Saad (NYDP PIBG), Tuan Hj Megat bin Md Saleh (AJK PIBG) dan barisan Jawatankuasa Pelaksana. Turut menyambut ahli rombongan ialah Pn Noranismawati bt Mohd Faudzi (Pen. PPD Unit Pendidikan Swasta PPD Srpang). 

Istimewanya lawatan kali ini ialah kehadiran Guru Besar SK Jugra yang merupakan mantan PK Petang SKTPP. Beliau ialah Pn Siti Hanim bt Sungit. Kehadiran beliau juga ditemani oleh seramai 51 orang guru dan kakaitangan sekolah serta 3 orang wakil PIBG.

Semoga dengan kehadiran keseluruhan warga sekolah dari SK Jugra ini sedikit sebanyak dapat mencedok idea dan kepakaran dengan menggabungjalin kejayaan SKTPP agar dapat diolah dan disesuaikan untuk kecemerlangan murid di SK Jugra. Di samping itu, lawatan sebegini juga diharapkan mampu memurnikan budaya kerja cemerlang dalam memacu kecemerlangan bersesuaian dengan minat dan keperluan murid. Keterlibatan seramai 55 orang hari ini, dapat digambarkan kebersamaan antara kedua-dua sekolah. Semoga akan memberi manfaat demi kemenjadian anak-anak murid kita.

Agenda lawatan adalah seperti berikut :

   
Maklumat lanjut tentang lawatan ini boleh klik Buku Program yang disediakan.

Sepanjang lawatan ini, titipan kenangan dibuat melalui rakaman memori bergambar dan diharapkan agar ianya dapat disimpan sebagai kenangan dan rujukan pada masa akan datang.










Tidak berakhir di situ, delegasi dari SK Jugra dibawa melawat bilik-bilik khas dengan mengikut kumpulan yang telah diaturkan. 

Lawatan Kumpulan 1 : Unit Kurikulum
Kumpulan ini dibawa oleh Ustazah Norlida bt Othman (menggantikan Pn Azizah bt Mokhlas yang menghadiri mesyuarat) ke bilik yang istimewa di SKTPP iaitu Ujana Ilmu dan Raudatul Ilmi. Ujana Ilmu di bawah pimpinan Pn Arnny Yusnita bt Md Enarji (Guru Perpustakaan & Media) pernah memenangi tempat ke-4 dalam Anugerah Kecemerlangan Pusat Sumber Sekolah Cemerlang (APPSSC) peringkat kebangsaan pada tahun 2019.

Tidak ketinggalan Musalla SKTPP yang diberi nama Raudatul Ilmi berjaya merangkul tempat ke-4 peringkat Negeri Selangor dalam Penarafan Surau Imarah Sekolah-Sekolah (PERSISS) Tahun 2022.



Kumpulan 2: Unit Hal Ehwal Murid (HEM)
Tiga entiti ini merupakan kumpulan besar yang membantu Unit HEM dalam kemenjadian murid iaitu Unit BOSS, Unit PPDa & Unit Bimbingan & Kaunseling. Pn Roseniza bt Setapa hari ini menyantuni rombongan SK Jugra ke bilik-bilik khas ini. Beliau menggantikan tempat Datin Noraizah bt Dun yang telah berangkat menunaikan umrah. Semoga Datin diberikan kesihatan yang baik dan mendapat umrah yang mabrur.

Pada tahun 2016/2017, SKTPP telah memenangi Anugerah Penarafan 5 Bintang Bilik Sumber PPDa Peringkat Kebangsaan. Tahun 2016 juga Unit Bimbingan & kaunseling menjadi Johan dalam Anugerah Amalan & Pengurusan Terbaik Perkidmatan Bimbingan dan Kaunseling Daerah Sepang dan pada tahun 2020 telah dianugerahkan pingat gangsa peringkat kebangsaan dalam Pertandingan Inovasi & Kreativiti Minda Sihat Murid Sejahtera (Sekolah Rendah)

Lagi.... pada tahun 2022 SKTPP telah berjaya mendapat Tempat Ketiga dalam penyertaan sulung Anugerah Pengurusan Skim Pinjaman Buku Teks Cemerlang Peringkat Negeri Selangor (Kategori Sekolah Rendah).




Kumpulan 3 : Unit Kokurikulum
Pelbagai kejayaan di peringkat MSSD sehinggalah MSSM telah berjaya diraih oleh anak-anak SKTPP hasil bimbingan jurulatih dan pengurusan pentadbir yang mantap. Terbaru, SKTPP telah terpilih sebagai lokasi penggambaran Sukan Kriket Adiwira bersama DidikTV KPM NTV7 




Kumpulan 4 : PPKI
Anak-anak istimewa dalam PPKI SKTPP sangatlah aktif sehingga telah menerima pelbagai anugerah seperti Anugerah e-Nilam Pendidikan Khas Peringkat Negeri Selangor dan Johan Keseluruhan  Olahraga Terbaik Peringkat Daerah Sepang.

Lagi maklumat kejayaan boleh didapati di dalam Buku Program

Walaupun tiada dalam agenda, rombongan kali ini menggunakan masa sepenuhnya untuk menelaah seberapa banyak maklumat yang boleh. Para pelawat sempat membuat lawatan ke pejabat SKTPP dan bilik-bilik pentadbir melihat fizikal dan sistem fail yang ada.


Lawatan ini seperti penyatuan semula sahabat lama. Setelah beberapa tahun tidak berjumpa akhirnya bertemu semula di tempat yang pernah sama-sama menabur bakti. Selain Pn Siti Hanim, Pn Ainul Balkish juga pernah bekerja sebumbung di SKTPP. Bertemu seketika, sedikit sebanyak menghilangkan rindu dan sempat bertanya khabar antara satu sama lain. Begitu juga dengan Pn Hjh Rohaidah dan Pn Siti Hanim telah lama mengenali antara satu sama lain kerana pernah bertugas bersama di SJS 2 pada tahun 2001 lalu. Manakala, Pn Fauziah dan Pn Siti Hanim juga pernah saling mengenali semasa berada di SKTPP 2 sebelum ini. Semoga ukhwah yang terjalin, semakin erat๐Ÿ’•




Alhamdulillah, lebih kurang 6.40 petang rombongan dari SK Jugra bertolak pulang. Semoga lawatan kali ini memberi seribu makna buat SK Jugra dan juga SKTPP. Selain daripada mendapat ilmu melalui perkongsian kejayaan, lawatan ini juga telah mengeratkan lagi silaturrahim antara kedua-dua sekolah. Terima kasih buat para pentadbir, barisan AJK PIBG, JK Pelaksana dan semua warga SKTPP atas kerjasama yang padu.  

Lihatlah lambaian terakhir sebahagian guru-guru SK Jugra sebelum berangkat pulang penuh dengan senyuman. Sehingga berjumpa lagi.๐Ÿ˜

No comments:

Post a Comment