Tuesday, August 8, 2023

Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023

Pada 8 Ogos 2023 iaitu hari Selasa, SK Taman Putra Perdana telah mengadakan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi tahun 2023.  Program ini merupakan agenda utama setiap tahun untuk warga SKTPP. Murid-murid dan seluruh warga sekolah diharap dapat merasai pengalaman menyambut hari kemerdekaan melalui aktiviti sambutan yang diadakan di peringkat sekolah. Aktiviti ini juga diadakan bagi memupuk  semangat cintakan negara dan berasa bangga menjadi rakyat Malaysia dalam kalangan warga SKTPP.

Hari Kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun mempunyai peranan yang sangat penting dalam membina sebuah negara dan bangsa Malaysia yang berdaulat. Sambutan Bulan Kebangsaan serta Hari Malaysia pada tahun 2023 adalah bertemakan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”.

Objektif program ini adalah :

1.  Menyemai semangat cinta akan negara

2. Memupuk dan memperkukuh semangat setia negara dan jati diri serta menanam rasa tanggungjawab kepada sekolah dan negara

3. Menerapkan nilai-nilai murni seperti cintakan negara, berdisiplin dan bekerjasama

4.Sebagai kayu ukur bagi menguji kesedaran murid tentang semangat patriotisme

  Mensyukuri perjuangan generasi dahulu dalam mendapatkan kemerdekaan negara

Poster Majlis Pelancaran Sambutan Bulan dan Hari Malaysia telah dihasilkan oleh Encik Mohd Rusydan bin Ismail..


Buku Program Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia pula adalah hasil tangan Puan Nur Zakiah..

Klik sini untuk paparan lengkap buku program
Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia

Saksikan bingkisan gambar-gambar semasa perjalanan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia yang telah berlangsung di dataran perhimpunan dan di dewan perdana.

Majlis ini telah dikendalikan oleh Puan Nurliza dan Cik Roslinda (sesi pagi) serta Puan Nik Rosmaliza dan Encik Nor Azuad (sesi petang) selaku pengerusi majlis dan diikuti bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Syed Farhan Hanafi dan Encik Saifullah dengan harapan agar program berjalan dengan baik dan lancar serta dipermudahkan segala urusan.


Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana iaitu Tn. Haji Megat Md Salleh bin Md Arshad. Beliau selaku wakil ibu bapa mengucapkan rasa kesyukuran kerana kita dapat menyambut bulan kemerdekaan dalam suasana yang aman dan harmoni di peringkat sekolah. 

Tidaklah lengkap sesuatu program sekiranya tiada ucapan pelancaran daripada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana iaitu Puan Hajah Rohaidah binti Mohd Ali. Menerusi ucapan pelancarannya, Puan Hajah Rohaidah mengucapkan rasa kesyukuran atas usaha pihak sekolah dalam menganjurkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia. Kerjasama daripada semua warga sekolah terutama panitia-panitia yang terlibat sebagai jawatankuasa pelaksana penganjuran program ini diharapkan akan menjadi satu wadah perjuangan dalam usaha menerapkan semangat cinta dan sayang akan negara selain memperkasa jati diri kita.

Majlis seterusnya diikuti dengan upacara gimik Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat sekolah pada tahun ini. Gimik pelancaran ini telah dihasilkan oleh Encik Zairudin, Puan Norhayati, Encik Abdul Hafiz dan Encik Aizil dengan kerjasama guru-guru serta warga SKTPP.

Menyusul selepas gimik pelancaran majlis ialah nyanyian lagu tema Hari Kebangsaan 2023 yang berjudul "Tekad Perpaduan Penuhi Harapan". Semua warga sekolah dijemput untuk sama-sama mengibarkan jalur gemilang dan menyanyikan lagu tema ini dengan penuh bersemangat.


Majlis turut dimeriahkan dengan penyampaian hadiah kepada guru-guru yang telah berpakaian mengikut tema terbaik

Guru-guru yang dipilih di sesi pagi

Guru-guru yang dipilih di sesi petang

Seterusnya ialah hebahan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan sepanjang tempoh berlangsungnya Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat sekolah. 

Aktiviti yang akan dilaksanakan di bawah seliaan panitia yang terlibat

Semua murid dan warga sekolah diharapkan dapat memberi sokongan dengan melibatkan diri dan menyertai aktiviti-aktiviti yang telah dirancang sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini. Diharapkan program ini dapat memberi pendedahan tentang pengetahuan dan penghayatan terhadap semangat kemerdekaan.  Secara tidak langsung, program ini akan berjaya menerapkan semangat cinta dan sayang akan negara kita.

Disediakan oleh,

Amalina binti Abd Hamid

Ahli Jawatankuasa
Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan
SK Taman Putra Perdana

No comments:

Post a Comment