Tuesday, September 14, 2010
Tip Peperiksaan UPSR - BM Penulisan
Bahasa Melayu Penulisan
BAGI mengelakkan rasa gemuruh dan kelam-kabut sebelum menduduki peperiksaan, calon dinasihatkan datang awal ke sekolah atau dewan peperiksaan. Persediaan awal penting kerana untuk menduduki kertas Bahasa Melayu Penulisan, calon perlu benar-benar bersedia dan tenang bagi memudahkan mendapat idea bernas ketika menulis karangan.
Sebagai ulang kaji, kertas ini mengandungi tiga bahagian, iaitu Bahagian A membabitkan pembinaan ayat berdasarkan gambar, Bahagian B pula karangan, manakala Bahagian C berkaitan membuat ulasan. Ketiga-tiga bahagian ini mesti dijawab.
BAHAGIAN A
Untuk bahagian ini, calon diberi masa selama 15 minit untuk menjawab dengan peruntukan 10 markah. Untuk mendapat markah penuh tidaklah begitu susah kerana calon perlu melakukan empat langkah, iaitu:
Langkah pertama
Calon perlu mencari kunci soalan yang terdapat dalam soalan. Kunci soalan dalam Bahagian A ada tiga iaitu "tentang", "aktiviti" atau "situasi". Kunci soalan juga boleh diperoleh dalam gambar. Contohnya dalam UPSR 2008, terdapat ayat "Cara-Cara Melintas Jalan Raya Dengan Selamat". Ayat tersebut boleh calon gunakan ketika membina ayat. Walau apapun kunci soalan yang diberikan dalam peperiksaan tahun ini, calon dinasihatkan agar memulakan ayat dengan subjek (watak).
Langkah kedua
Calon hendaklah menyenaraikan semua kata kerja yang terdapat dalam gambar. Antara caranya ialah dengan membulatkan watak dalam gambar dan tuliskan kata kerja yang berkaitan. Cikgu cadangkan calon membuat lima bulatan sahaja bagi mewakili lima ayat. Senaraikan seberapa banyak kata kerja yang berkaitan.
Langkah ketiga
Calon membina ayat berdasarkan kata kerja yang disenaraikan. Dinasihatkan calon membina ayat lebih daripada lapan patah perkataan dan yang paling penting, mulakan ayat dengan subjek (watak). Selepas subjek, tulis kata kerja yang berkaitan dan akhiri ayat dengan maklumat (di mana, bagaimana dan mengapa).
Contoh: Beberapa orang murid (siapa) sedang melukis dan mewarna (kata kerja) di dalam dewan sekolah (di mana) kerana menyertai pertandingan melukis sempena Hari Kebangsaan. (mengapa) Jawapan contoh: Beberapa orang murid sedang melukis dan mewarna lukisan di dalam ketika menyertai pertandingan lukisan sempena Hari Kebangsaan.
Langkah keempat
Semak ayat yang dibina, pastikan strukturnya betul. Binalah ayat aktif dan elakkan daripada membina ayat pasif. Semak ejaan agar tidak ada yang salah. Jangan gunakan perkataan yang calon tidak pasti ejaannya.
Kesalahan ejaan boleh menjejaskan markah. Begitu juga dengan kosa kata atau perbendaharaan kata yang digunakan mestilah tepat. Contohnya, antara "memangkas" dengan "mencantas" dan "membelah" dengan "mengerat". Penggunaannya mengikut konteks ayat.
Jaga-jaga dengan imbuhan yang digunakan kerana kesalahan boleh membawa maksud yang berbeza. Contohnya, "Ayah menjual ikan" dengan "Ayah penjual ikan". Kedua-dua ayat ini membawa maksud berbeza disebabkan penggunaan imbuhan.
Akhir sekali, calon mesti berhati-hati dengan tanda baca. Pastikan ayat yang dibina bermula dengan huruf besar. Setiap ayat yang dibina mestilah mempunyai noktah. Jika calon menggunakan nama orang, pastikan perkataan awal huruf besar kerana nama orang adalah nama khas.
Gabungkan beberapa kata kerja yang disenaraikan dalam satu ayat. Contohnya, ayat di atas terdapat tiga kata kerja iaitu menyertai, melukis dan mewarna. Selain itu, calon tidak perlu mengulang kata kerja yang sama pada orang yang sama untuk ayat seterusnya. Ini dikatakan sebagai pengulangan ayat.
Seterusnya, pastikan calon membina lima ayat sahaja. Jika ruangan jawapan yang disediakan tidak cukup, mintalah kertas jawapan tambahan daripada pengawas peperiksaan. Jika tulisan kecil, calon dinasihatkan agar selang satu baris antara ayat yang dibina agar lebih kemas dan teratur.
BAHAGIAN B
Untuk menjawab soalan bahagian ini, calon perlu banyak membaca bagi menghasilkan karangan yang baik.
Masa yang diperuntukkan untuk menjawab bahagian ini ialah 40 minit. Petua untuk Bahagian B, calon mesti menggunakan FMK (Formula Menulis Karangan), iaitu kaedah menulis karangan berdasarkan perenggan 233332.
Setiap karangan mempunyai enam perenggan. 233332 bermaksud perenggan pertama dan keenam mempunyai dua ayat, manakala perenggan kedua hingga kelima, masing-masing tiga ayat.
Calon dinasihatkan agar selang satu baris antara perenggan yang dibuat agar karangan dihasilkan kelihatan lebih kemas.
Untuk menghasilkan karangan yang baik, calon haruslah melakukan empat langkah.
Langkah pertama - Pilih soalan
Calon mesti membaca semua soalan terlebih dahulu sebelum memilih soalan yang hendak dijawab. Pilih soalan yang banyak isi berdasarkan pengalaman calon agar mudah untuk menulis karangan. Ini kerana ada juga karangan yang senang tajuknya tetapi calon sukar mencari isinya.
Calon juga perlu mencari kunci soalan, kehendak soalan, format dan jenis karangan. Contohnya: Pada suatu petang, anda bersiar-siar dengan seorang rakan di tepi pantai. Tiba-tiba anda terdengar jeritan orang meminta tolong.
Ceritakan tindakan anda dan kawan anda ketika itu. Kunci soalan ini ialah "Ceritakan tindakan". Kehendak soalan ialah "menceritakan tindakan selepas mendengar jeritan", manakala format dan jenis karangan ialah cerita dan karangan tidak berformat. Langkah dicadangkan ini boleh membantu calon mengelakkan daripada menulis karangan terpesong.
Langkah kedua - Merangka karangan
Gunakan kaedah merangka karangan yang telah dipelajari sama ada "Peta Minda", "Melakar Isi" atau "Teknik Penyoalan".
Langkah ketiga - Menulis karangan
Pastikan ada enam perenggan. Pastikan juga tidak tersilap menulis perenggan pendahuluan kerana ada calon yang masukkan isi dalam perenggan pengenalan itu. Contohnya:
1. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Antaranya ialah kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan.
2. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Kita boleh melancong di dalam atau luar negara.
Jawapan yang tepat sebagai pendahuluan adalah jawapan 2. Untuk karangan fakta, calon boleh menulis karangan dengan menggunakan kaedah ICK iaitu isi, contoh dan kesan atau IKC (isi, kesan dan contoh).
Untuk perenggan penutup, calon boleh gunakan pelbagai jenis penutup seperti dalam bentuk rumusan, nilai, pantun, penegasan, peribahasa, kata hikmah dan pendirian.
Langkah keempat - Semak karangan
Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul sebelum beralih untuk menjawab Bahagian C.
BAHAGIAN C
Bahagian C memperuntukkan markah sebanyak 20 dan masanya 20 minit sahaja. Oleh itu, calon mesti bijak menggunakan masa untuk menjawab soalan bahagian ini.
Konsep Bahagian C ialah mengecam nilai murni atau pengajaran yang terdapat dalam petikan diberikan. Lantaran itu, calon mesti mengecam, mencari, mengenal dan mendapatkan nilai murni atau pengajaran yang terkandung dalam petikan itu.
Calon juga mesti tahu membezakan antara perbuatan dengan nilai murni atau pengajaran. Contohnya: Abang mengucapkan terima kasih kepada adik kerana mengeluarkan barang-barang dari dalam bilik itu. Pengajaran bagi ayat ini ialah "menghargai", manakala perbuatan yang menunjukkan adanya pengajaran ialah "Abang mengucapkan terima kasih".
Membezakan antara perbuatan dengan pengajaran penting agar calon tidak tersilap mengulas pengajaran yang sepatutnya. Untuk menghasilkan jawapan yang baik, empat langkah dicadangkan iaitu:
Langkah pertama
Baca petikan sekali lalu untuk memahami kandungannya. Kemudian, baca sekali lagi dan gariskan perkataan yang menunjukkan terdapatnya nilai murni atau pengajaran. Contohnya: Zaidi selalu mengulang kaji pelajaran pada waktu malam. Perkataan yang menunjukkan ada pengajaran ialah "mengulang kaji". Walaupun perlu mengulas lima pengajaran sahaja, calon dinasihatkan agar mencari seberapa banyak pengajaran yang ada dalam petikan.
Langkah kedua
Calon perlu memilih lima pengajaran yang ingin diulas dan binalah rangka ulasan. Contohnya:
a) Pengajaran - Rajin
b) Perbuatan - mengulang kaji pelajaran
c) Mengapa - lulus periksa
Langkah ketiga
Membina ulasan lengkap, contohnya: Kita mestilah rajin dengan mengulang kaji pelajaran agar lulus dalam peperiksaan. Ulasan mesti ditulis dalam satu perenggan. Oleh itu, gunakan penanda wacana agar ayat yang dibina lebih menarik.
Langkah keempat
Semak ulasan yang telah ditulis. Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul.
Oleh sebab masa diberikan untuk menjawab ketiga-tiga bahagian dalam kertas ini agak singkat, iaitu 1 jam 15 minit, calon perlu bijak menguruskannya. Masa yang dicadangkan untuk Bahagian A ialah tiga minit untuk memahami gambar, lima minit tulis ayat dan dua minit untuk menyemak. Untuk Bahagian B (10 minit faham soalan dan bina rangka karangan, 25 minit hasilkan karangan lengkap dan lima minit lagi untuk semakan).
Untuk Bahagian C (lima minit cari dan senaraikan nilai murni atau pengajaran, 10 minit tulis ulasan lengkap dan lima minit lagi menyemak). Lima minit terakhir, gunakan untuk semak semua jawapan Bahagian A, B dan C
Monday, September 13, 2010
MAJLIS KHATAM AL QURAN PERINGKAT SEKOLAH SKTPP (SESI PETANG)
Majlis Khatam Al Quran peringkat sekolah telah diadakan pada 1 September 2010 di dewan terbuka SKTPP. Majlis dihadiri Guru Besar, Encik Sukimin bin Juki dan Penolong Kanan Petang, Puan Siti Hanim binti Sungit. Majlis bermula jam 3.40 petang. Seramai 100 orang murid menyertai tadarus pada 1 Ramadhan hingga 14 Ramadhan 1431 H. 22 orang daripada peserta tadarus terpilih untuk memperdengarkan bacaan sambil dibimbing oleh Ustaz Mohd Azzrul Affzan bin Md Arof. Berikut adalah suasana majlis tersebut :
Murid-murid Tahun 3 dan 4 berkumpul di dewan terbuka
Ucapan daripada Guru Besar
Thursday, September 2, 2010
CUTI SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI 2010
13.9.2010 (Isnin), 14.9.2010 (Selasa) dan 15.9.2010 (Rabu)
Pada 16.9.2010 (Khamis) adalah cuti umum sempena Hari Malaysia. Semua murid dikehendaki hadir ke sekolah semula seperti biasa pada 17.9.2010 (Jumaat).
Sekian dimaklumkan, terima kasih.
MAKLUMAN REHAT MURID SEMPENA PEPERIKSAAN UPSR
* Semua murid dikehendaki hadir ke sekolah seperti biasa pada 24.9.2010 (Jumaat)
Sekian dimaklumkan, terima kasih.
RALAT: MAKLUMAN PKSR 2 - TERKINI
Kepada,
Semua Guru SKTPP.
MAKLUMAN PKSR 2 – 2010
| TARIKH | PERKARA |
| 18 – 23 Sept 2010 | Menulis markah PKSR 2 dalam Rekod Profil murid oleh guru kelas. (digalakkan mengisi lebih awal daripada tarikh yang tertera sekiranya markah telah lengkap dan muktamad) |
| 24 Sept 2010 | Penghantaran Rekod Profil murid oleh guru kelas kepada pentadbir untuk ditandatangani |
| 29 Sept 2010 | Penyerahan buku Rekod Profil murid oleh guru kelas kepada murid-murid untuk ditandatangani oleh ibu bapa. |
| 30 Sept dan 1 Okt 2010 | Mendapatkan kembali Rekod Profil murid |
*Sehubungan itu, SLIP PKSR 2 untuk murid-murid tidak perlu dicetak.
Sekian, harap maklum.
Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana 2010 (Sesi Pagi)
Wednesday, September 1, 2010
LAPORAN PERHIMPUNAN RASMI HARI ISNIN (SESI PETANG) MINGGU KE 32
Tarikh: 30 Ogos 2010
Mula perhimpunan: 5.15-5.50 petang
Guru bertugas:
1. En. Mohd Azzrul Afzan b. Maarof
2. Pn. Norazila bt Ngah
3. Pn. Salmi bt Amir
4. Pn. Norinna bt Mohamed
5. Pn. Aznita bt Ahmad
6. Cik Siti Ayuni bt Hj Mat
Kehadiran Guru: 53/56
Laporan/Ulasan:
1. Upacara menaikkan bendera bagi Lagu Negaraku, Lagu Negeri Selangor dan Lagu Sekolah. Nama murid:
- Amirah Wardah (4 Windows)
- Atiqah Annur (4 Windows)
- Ainnul Hayyat (4 Unix)
- Nurfarah (4 Palm)
- Aisyah Sabrina (4 Palm)
- Farah Najihah (4 Linux)
2. Bacaan Doa oleh: Mohd Afham Shahir b. Shahril (4 Linux)
3. Ikrar Rukun Negara: Pn. Norazila bt Ngah
4. Ikrar Murid : Muhamad Zulhilmi b. Zainol (4 Unix)
5. Ucapan Guru bertugas: Memperkenalkan guru bertugas pada minggu ini.
6. Perkataan 'LAWAD' hari ini:
-Bahasa Malaysia: Inovasi – sesuatu yang baru diperkenalkan
-Bahasa Inggeris: Branch - dahan
-Bahasa Arab: Halawiyatul idiyati – kuih raya
7. Laporan Guru Bertugas minggu lepas: En. Mohd Kamarul b. Abdul Rahman
- murid-murid kurang menghormati guru.
8. Pengumuman-pengumuman : Pn. Norinna – Pemberitahuan Kupon Karnival Keluarga SKTPP.
- Pembelian kupon melalui guru kelas.
- Kupon akan diedarkan kepada murid pada 7 Oktober 2010.
- Pembeli kupon terbanyak akan mendapat hadiah (Pembelian kupon terbanyak dikira sehingga 7 Oktober 2010).
- Pembelian kupon selepas 7 Oktober 2010 sehingga hari perlaksanaannya iaitu pada 9 Oktober 2010 tidak dikira sebagai pembelian terbanyak.
9. Aktiviti dibawah kurikulum/HEM/ Koakademik.Kokurikulum sekiranya ada: Tiada
10. Ucapan Guru Besar (En.Sukimin b. Juki):
- Mengucapkan terima kasih kepada semua yang menghadiri perhimpunan.
- Menceritakan tentang sejarah kemerdekaan (bermula daripada kedatangan Parameswara membuka Melaka sehingga terbentuk Negara Malaysia.
-Mengingatkan murid-murid agar bersatu padu mempertahankan Negara kita dengan meningkatkan ilmu pengetahuan.
-Mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan Yang Ke 53.