Tuesday, January 31, 2023

Program Alam Menengah Tahun 2023

Pada penghujung bulan Januari Tahun 2023, Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Jawatankuasa Guru Tahun 6 telah menganjurkan satu program khas buat semua murid Tahun 6 iaitu Program Alam Menengah. Proram Alam Menengah ini telah bermula pada jam 7.45 pagi dan berakhir pada jam 10.00 pagi, bertempat di Dewan Perdana SK Taman Putra Perdana. Para peserta sangat bertuah kerana didatangi dua orang penceramah yang pakar dalam memberikan ceramah 'Alam Menengah' iaitu Puan Hasliza Hassan dan Puan Siti Juliana Mohamed. Kedua-dua orang penceramah ini merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling dari SMK Putra Perdana. 

Maklumat berkaitan program:

Tarikh: 31 Januari 2023
Hari: Selasa
Masa : 7.45 pagi hingga 10.00 pagi
Tempat: Dewan Perdana SK Taman Putra Perdana
Sasaran: Semua murid Tahun 6 berjumlah 309 orang

Objektif program:

1. Membolehkan murid-murid memperoleh pengetahuan, kemahiran dan nilai bagi persediaan mereka berhadapan situasi sekolah menengah.

2. Memberi motivasi dan inspirasi kepada murid-murid untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru di sekolah menengah dan menanam usaha dari awal persekolahan bagi mencipta kejayaan dan kecemerlangan diri pada masa depan. 

Buku Program : https://anyflip.com/bdxnv/roim/

Berikut merupakan slaid dan video yang dikongsi oleh penceramah:

Slaid Taklimat Program Alam Menengahhttps://anyflip.com/bungw/alys/

Video korporat SMK Putra Perdana: https://www.youtube.com/watch?v=MhmfS5Hpgw8

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua guru yang terlibat secara langsung atau tidak bagi menjayakan  Program Alam Menengah Tahun 2023. Terima kasih dan syabas juga kepada semua peserta atas kerjasama dan memberi perhatian sepanjang sesi ceramah. Semoga semua peserta telah bersedia melangkah ke alam menengah dengan berbekalkan maklumat yang disampaikan oleh dua orang penceramah dalam Program Alam Menengah dan seterusnya memberi impak yang positif kepada para peserta. 

Bersama-sama ini dilampirkan gambar-gambar yang sempat dirakamkan sepanjang program berlangsung: 







Lagi laporan Program Alam Menengah dalam blog Bimbingan dan Kaunseling, sila klik di sini.
Terima kasih..

Monday, January 30, 2023

Klinik Pembangunan Kriket Jemputan Daerah Sepang

SK Taman Putra Perdana sekali lagi mengorak langkah menganjurkan Program Klinik Pembangunan Kriket. Program Klinik Pembangunan Kriket Jemputan Daerah Sepang ini adalah merupakan satu program yang dijalankan bagi memberi pendedahan awal secara teori dan amali tentang permainan kriket dengan lebih mendalam lagi.

 Justeru itu, pendekatan khusus yang lebih sistematik telah diterjemahkan bagi memberi peluang kepada murid meningkatkan lagi potensi dan keazaman diri. Seterusnya membantu murid berusaha mencapai prestasi yang cemerlang dalam permainan kriket. Selain itu, ia dapat memupuk semangat kerjasama dan kesepaduan dalam pasukan antara sekolah daerah Sepang.

Program dimulai seawal pukul 8.30 pagi sehingga pukul 1.00 petang. Cuaca yang sangat baik membolehkan peserta-peserta dari beberapa sekolah daerah Sepang menimba ilmu dan pengalaman dengan lebih selesa dari penceramah jemputan yang hebat yang diundang khas.

Antara sekolah yang menyambut cabaran untuk meningkatkan kemahiran yang lebih tinggi dalam permainan kriket ini ialah:

  • SK Taman Putra Perdana (hos klinik)
  • SK Jenderam
  • SK Sungai Pelek
  • SK Kota Warisan
  • SK Sungai Rawang
  • SK KLIA
  • SK Methodist
  • SMK Taman Putra Perdana
Pendaftaran sekolah yang mengambil bahagian dalam Klinik Pembangunan Kriket Daerah Sepang

Kehadiran pelbagai sekolah sekitar Sepang ini menggambarkan kegigihan yang tinggi daerah dan SKTPP untuk mengangkat prestasi sukan kriket daerah Sepang hingga  bertaraf nasional. Semoga Sepang dapat menjadi pembekal kepada skuad utama dan belia negara tercinta.

Klinik Pembangunan Kriket kali ini dihiasi dengan kehadiran barisan pentadbir sekolah terlibat, jurulatih utama pasukan kriket sekolah dan jurulatih yang berprestasi tinggi sebagai penceramah jemputan dan pengendali pembelajaran kemahiran asas Kriket. Berikut adalah penceramah jemputan khas ke gelanggang Kriket SKTPP:

    1Encik Mohd Nazril bin Abd Rahman (Jurulatih Kriket- Sekolah Sukan Bukit Jalil)

    2. Coach Roshan (Jurulatih SUKMA Selangor)

Encik Mohd Nazril bin Abd Rahman (Jurulatih Kriket- Sekolah Sukan Bukit Jalil)

Coach Roshan (Jurulatih SUKMA Selangor)

Program ini dimulai dengan Majlis Perasmian yang disempurnakan Pn Hjh Rohaidah Bt Mohd Ali, Guru Besar SK Taman Putra Perdana. Walaupun majlis ini diadakan dengan ringkas namun ucapan yang disampaikan menggambarkan besar harapan dan tinggi matlamat program ini dijalankan iaitu melahirkan pasukan kriket elit daerah Sepang.

Klinik Pembangunan Kriket dirasmikan oleh  Pn Hjh Rohaidah Bt Mohd Ali, Guru Besar SK Taman Putra Perdana.

Seterusnya, peserta Klinik Pembangunan Kriket dibahagikan dalam beberapa kumpulan untuk memudahkan mereka menimba ilmu dan pengalaman secara meluas tentang kriket.

Para jurulatih jemputan telah mengendalikan latihan secara praktikal dan memberi harapan yang tinggi  kepada peserta Klinik Pembangunan Kriket kali ini. Oleh itu, mereka telah mengajar beberapa kemahiran paling penting dalam permainan kriket dan harus dikuasai oleh setiap pemain.  

1. Kemahiran memadang atau fielding

Iaitu kemahiran menangkap bola dengan mengambil berat kestabilan  tubuh, koordinasi mata dan tangan untuk menangkap bola tinggi dan bola rendah dengan betul. Murid mengikuti teknik pertama ini dengan sangat baik dan penuh keyakinan. Murid akan memadang bola yang telah dilontar oleh pembantu jurulatih yang terdiri dalam kalangan pelajar SMK Taman Putra Perdana.

Jurulatih jemputan melatih peserta melakukan Gaya Open Cup dan Gaya Reversed Cup.

2. Kemahiran Membaling / Melontar Bola

Teknik membaling bola dengan betul sangat penting agar memastikan balingan itu tidak batal dan menghasilkan lontaran yang padu. Tubuh peserta yang bersaiz ternyata bukan penghalang dalam permainan  Kriket. Setiap pemain mengambil giliran membaling bola dan menjaga wiket. Pemain yang telah membaling bola akan bergerak ke belakang barisan pemain. Hasil teknik yang telah dipelajari menunjukkan peningkatan penguasaan membaling bola Kriket.

Setiap peserta mengambil giliran membaling bola dan menjaga wiket.

3. Kemahiran Memukul

Pembelajaran seterusnya ialah teknik pukulan bola Kriket. Cara pukulan dimulai dengan cara memegang kayu pemukul dengan betul, cara berdiri seimbang dan fokus kepada pergerakan bola. Pastikan kaki dan kayu pemukul bergerak bersama. Murid dibekalkan kayu pemukul bergilir-gilir memukul bola ke arah penjaga wiket. Apabila bola dipukul murid akan bertukar tempat.

Murid sedang mengikuti perkongsiaan tentang asas memegang kayu pemukul, cara berdiri dan cara memukul. 

Kegigihan para peserta Program Pembangunan Kriket telah berjaya menambat hati para jurulatih untuk terus mengajar kemahiran dan teknik walaupun cuaca semakin panas. Namun, masa telah tiba di garisan penamat. Acara terakhir Klinik Pembangunan Kriket kali ini diteruskan dengan sesi postmortem dan sesi motivasi dari barisan jurulatih jemputan dan Pn. Hjh Rohaidah Bt Mohd Ali, GB SK Taman Putra Perdana.

Barisan jurulatih jemputan dan Pn Hjh Rohaidah Bt Mohd Ali menyampaikan kata-kata semangat dan perkongsian untuk melonjakkan lagi semangat para peserta.

Sesi bergambar antara peserta Klinik Pembangunan Kriket Jemputan Daerah Sepang, barisan pentadbir sekolah, jurulatih utama pasukan kriket sekolah dan penceramah jemputan

Saturday, January 28, 2023

Majlis Jalinan Kasih Jamuan Akhir Tahun KKGK 2022/2023

Majlis Jalinan Kasih ini telah berlangsung pada 28 Januari 2023 iaitu pada hari Sabtu. Jamuan tahun ini sangat istimewa kerana telah diadakan di Dewan Perdana SKTPP yang telah dihias cantik oleh Perunding Perkahwinan dari Rio Event Management. Bertemakan "Blocking Colour", menjadikan suasana di Dewan Perdana sangat ceria dengan pelbagai warna yang digayakan oleh para guru dan kakitangan sekolah pada pemakaian mereka. Di acara sebeginilah akan terlihat sisi lain guru-guru yang sangat kreatif memadankan pakaian. Lebih-lebih lagi guru wanita.

Guru lelaki juga tidak kurang hebatnya, ada yang memakai baju berwarna lain, seluar pula berwarna lain. Malah berwarna cerah pula, sesuai dengan tema yang ditetapkan. Jamuan ini turut dimeriahkan dengan kehadiran YDP PIBG, Tn. Hj. Khairul Azhar bin Mohammad Suffian dan NYDP PIBG, Pn. Normawati binti Saad yang tidak pernah jemu menyokong setiap program yang diadakan oleh pihak sekolah. Buktinya, Tuan YDP hadir dengan bertongkat kerana baru selesai menjalani pembedahan kecil pada kakinya. Malah, Puan Normah sendiri adalah pemilik Rio Event Management yang telah banyak memberi sumbangan pelamin dan perhiasan pentas dalam majlis-majlis persaraan dan pertukaran guru sebelum ini.

Keceriaan majlis ini ditambah lagi dengan celoteh Pengacara Majlis yang tidak asing lagi iaitu Cikgu Noor Hayati binti Yusof. Dengan kepetahan beliau, kadang kala mengundang tawa pentadbir dan rakan-rakan ahli KKGK yang lain. Sehinggakan sepanjang hampir tiga jam majlis berlangsung tidak dirasai oleh semua yang hadir asbab mendengar celoteh beliau sambil menikmati makanan yang disediakan. 

Pelbagai menu disediakan iaitu Nasi Minyak, Ayam Merah, Daging Dendeng, Gulai Dalca, Gulai Kambing, Jelatah, Sate, Rojak Mamak, Bubur Kacang, buah-buahan dan kuih-muih. Minuman pula minuman yang sangat menyelerakan iaitu cendol, air sirap dan teh tarik. 

Majlis ini juga dimeriahkan lagi dengan acara cabutan bertuah. Pelbagai hadiah telah disediakan dan semua ahli KKGK menerima hadiah. Cabutan hanya untuk menentukan jenis hadiah yang diterima sahaja. Sangat bertuah ahli-ahli KKGK. Hadiah-hadiah ini disumbang oleh pihak KKGK, pihak pembekal, pihak pentadbir dan juga ahli KKGK sendiri yang bermurah hati. Terima kasih diucapkan kepada para penyumbang yang sangat baik hati dan pemurah. Semoga diluaskan lagi rezeki mereka.

Akhir sekali, terima kasih kepada semua AJK KKGK diketuai oleh Cikgu Dr. Mohd Azarul bin Mohd. Mokhtar yang bertungkus lumus memastikan majlis ini berlangsung dengan lancar. Semoga setiap apa yang dilalui pada majlis ini akan menjadi kenangan manis yang tak akan dilupakan oleh setiap ahli KKGK SKTPP. Selain itu, semoga dapat memperteguh keharmonian dan semangat kebersamaan antara pentadbir, guru, AKP dan PIBG untuk bekerja bersama-sama lagi pada tahun-tahun hadapan. Di bawah dilampirkan gambar-gambar sepanjang majlis berlangsung..

Bacaan doa oleh Ustaz Zairuddin

Ucapan Pengerusi KKGK sesi 22/23, Cikgu Azarul 

Guru Besar, Pn. Rohaidah binti Mohd Ali menyampaikan ucapan aluan.

Barisan pemenang cabutan bertuah hadiah sumbangan Cikgu Maimunah

Barisan pemenang Pakaian Mengikut Tema Terbaik bersama Guru Besar








































































































































Jumpa lagi tahun depan