... SELAMAT DATANG KE BLOG SKTPP...TEL: 03-83119204...FAX: 03-83119234...SELAMAT DATANG KE BLOG SKTPP...TEL: 03-83119204...FAX: 03-83119234...SELAMAT DATANG KE BLOG SKTPP...TEL: 03-83119204...FAX: 03-83119234...

Saturday, March 26, 2022

Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Kebajikan Guru Dan Kakitangan (KKGK) SK Taman Putra Perdana 2022

        Pada 26 Mac 2022 telah berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Kebajikan Guru Dan Kakitangan (KKGK) SK Taman Putra Perdana 2022. Majlis dijalankan secara maya menggunakan aplikasi Google Meet. Mesyuarat berlangsung dalam suasana yang meriah dengan pelibatan semua guru dan kakitangan sekolah walaupun dilaksanakan secara atas talian. 

        Terima kasih diucapkan kepada pimpinan KKGK yang diketuai oleh Ustaz Syed Farhan Bin Syed Abdullah atas segala komitmen dan kerjasama yang diberikan sepanjang menguruskan hal ehwal kebajikan guru dan kakitangan sekolah. Tahniah dan syabas juga kepada semua pimpinan yang telah menjalankan tugas dengan penuh cemerlang dan dedikasi selama 2 tahun bermula tahun 2020 hingga 2022. Akibat desakan pandemik Covid-19, persetujuan telah dicapai untuk mengekallan ahli jawatankuasa KKGK sedia ada bagi 2 tahun berturut-turut. Walaubagaimanapun, barisan AJK tetap menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin demi menjaga kemaslahatan bersama. 

Ahli Jawatankuasa KKGK 2020/2022

        Mesyuarat Agung Tahunan KKGK dipengerusikan oleh Pengerusi KKGK 2020/2022, Ustaz Syed Farhan bin Syed Abdullah. Majlis dimulai dengan bacaan doa oleh Ustaz Mohd Ishak Shairazi bin Mohd Sauzi. 

Pengerusi Mesyuarat Agung Tahunan KKGK 2022; Ustaz Syed Farhan

Bacaan doa diketuai oleh Ustaz Mohd Ishak

   Mesyuarat diteruskan dengan ucapan daripada Penasihat KKGK, Puan Hajah Rohaidah binti Mohd Ali selaku Guru Besar diikuti pembentangan laporan aktiviti tahunan oleh Pengerusi dan seterusnya pembentangan penyata kewangan oleh Puan Rosmawati binti Md Desa. 

Ucapan daripada Penasihat KKGK

Aktiviti yang telah dilaksanakan oleh KKGK

Pembentangan laporan kewangan oleh Puan Rosmawati Desa

        Debaran semakin terasa apabila tibanya masa untuk Pembubaran Ahli Jawatankuasa 2020/2022 dan Pelantikan Ahli Jawatankuasa 2022/2023 yang baharu. Tahun ini keputusan telah diambil untuk mengubah cara pelantikan jawatankuasa baharu melalui kaedah pengundian di Google Form. 

Undian melalui Google Form

        Melalui cara ini, semua guru dan AKP perlu membuat pemilihan dan pengundian mulai 23 Mac sehingga 24 Mac 2022 selewat-lewatnya pada jam 7.00 petang pada link yang telah diberikan. Setelah mendapat persetujuan Guru Besar, keputusan pengundian adalah seperti berikut. 


Tahniah dan syabas diucapkan kepada AJK baharu!

       Majlis diakhiri dengan ucapan daripada Pengerusi KKGK yang baharu iaitu Encik Mohd Azarul bin Mohd Mokhtar sebagai tanda kesediaan beliau untuk memikul tanggungjawab dalam mengetuai barisan kepimpinan AJK KKGK SKTPP sesi 2022 / 2023 ini. 

Pengerusi KKGK 2022/2023

        Majlis mengucapkan ribuan terima kasih kepada pada pentadbir, barisan guru dan AKP Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana atas kesudian memeriahkan mesyuarat agung kali ini. Semoga ahli jawatankuasa baharu yang dilantik dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh semangat & ikhlas. Diharapkan hasil komitmen semua pihak, ikatan silaturrahim sesama ahli akan lebih utuh dan kebajikan rakan-rakan akan sentiasa terbela.

Program Transisi Tahun 1: Minggu Pertama (21-25 Mac 2022)

Program Transisi Tahun Satu 2.0 (PTTS 2.0) 2022 merupakan satu program yang dirangka untuk menyediakan murid menghadapi perubahan, menyesuaikan diri dan membina keyakinan diri mereka di sekolah rendah. Program ini dirangka dengan mengambil kira kandungan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dengan penekanan terhadap aspek sosioemosi, kognitif dan fizikal murid. Program ini juga diharapkan dapat membantu murid dari pelbagai latar belakang, pengalaman pembelajaran dan perkembangan sosioemosi untuk memulakan proses pembelajaran di Tahun Satu pada tahap perkembangan dan pencapaian yang hampir sama.

Bagi tahun 2022, Program Transisi akan dijalankan selama 4 minggu bermula pada 21 Mac 2022 dan berakhir pada 15 April 2022 nanti. Mempunyai 2 fasa iaitu Fasa Penyesuaian (21 Mac-1 April 2022) dan Fasa Kesediaan (2-15 April 2022) di mana segala aktiviti yang dilaksanakan berpandukan Kit Program Transisi yang disediakan oleh pihak BPK.

Program Transisi tahun ini telah mensasarkan sebanyak 370 orang murid (11 kelas) dan 41 orang guru yang terlibat. Berikut adalah objektif Program Transisi yang dilaksanakan untuk murid Tahun 1:

1. Membantu murid menghadapi perubahan daripada pendidikan di rumah atau tadika kepada pendidikan formal.

2. Menyesuaikan murid dengan keadaan dan persekitaran sekolah.

3. Membina hubungan antara murid dengan rakan sebaya dan guru.

4. Meningkatkan keyakinan murid dan membentuk sikap positif dalam interaksi sosial serta  pembelajaran.

5. Membantu murid mengurus diri sendiri.

6. Menyediakan murid dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk pembelajaran seterusnya.


Lagi maklumat tentang program sila klik di gambar

Jutaan terima kasih kepada Pn Hajah Rohaidah bt Mohd Ali, Guru Besar SK Taman Putra Perdana, di atas sokongan dan galakan yang diberikan dalam melaksanakan perancangan Program Transisi tahun 2022. Tidak ketinggalan kepada Puan Siti Raudah binti Hamid, PK Petang yang banyak membantu dari segenap segi, PIBG, JK Pelaksana  serta ibu bapa yang sentiasa memberikan kerjasama yang baik. 

Semoga perjalanan Program Transisi Tahun 1 ini berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai sasaran dan objektif yang telah ditetapkan. Buat murid Tahun 1 yang cikgu sayangi, langkahlah dengan harapan. Akhirnya, pasti ada kejayaan. 

Berikut adalah gambar-gambar yang sempat dirakam lensa kamera. Semoga ianya menjadi kenangan buat murid-murid Tahun 1.


Brosur Program

Sila klik di gambar untuk mendapatkan jadual program













😍Tahniah! anda adalah sebahagian daripada warga SKTPP😍

Laporan Bertugas Minggu Pertama (Sesi Pagi)

Tarikh: 21 Mac 2022 hingga 25 Mac 2022

Hari: Isnin hingga Jumaat
Masa: 7.00 pagi hingga 1.00 tengah hari

Senarai Nama Guru Bertugas:
Kumpulan A
1. Pn Norli binti Hassan (K)
2. Pn Astina binti Mahad Nor (P)
3. Pn Norsiah binti Mohd Nor
4. Pn Nik Kamisah binti Mohd Aziz
5. Pn Shahrul Rozaina binti Jelani
6. Pn Juli binti Mahbah
7. En Zurilazman bin Abdullah
8. En Mohd Ishak Shairazi bin Mohd Sauzi
9. Pn Norinna binti Mohamed
10. Cik Claudia Jacqueline Charles Nelson 
11. En Muhammad Fakhrul Hafiz bin Awang
12. Pn Siti Rabiaah binti Mohammad

Alhamdulillah, murid-murid SK Taman Putra Perdana (SKTPP) selamat kembali ke sesi persekolahan Tahun 2022/2023 bermula minggu ini dengan wajah yang ceria dan bersemangat. Persekolahan minggu pertama berjalan dengan lancar atas kerjasama semua guru, ibu bapa dan murid-murid. Barisan pentadbir dan pemantau dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang juga turut turun padang menyambut kehadiran murid di pintu pagar sekolah. Pihak SK Taman Putra Perdana mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan penjaga yang telah memastikan anak-anak sihat sebelum menghantarnya ke sekolah.

Pengoperasian Persekolahan
Warga SKTPP akur mengikut Pengoperasian Institusi Pendidikan Bawah Kementerian Pendidikan Malaysia Bagi Kalendar Akademik Penggal 1, Sesi 2022/2023. Kementerian Pendidikan Malaysia telah memaklumkan bahawa sesi persekolahan Penggal 1, Kalendar Akademik Sesi 2022/2023 bagi semua sekolah seluruh negara adalah bermula pada 21 Mac 2022 iaitu bermula minggu ini. Kenyataan media tersebut boleh rujuk di sini.

Kehadiran pihak pemantau ke sekolah
SKTPP dikunjungi oleh dua orang pemantau bagi memastikan perjalanan sesi persekolahan berada dalam keadaan yang memuaskan. Pn Noranismawati binti Mohd Fauzi dari PPD Sepang dan Koperal Muhammad Redzuan bin Daman Hury, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS). 

Program Amalan Guru Penyayang - Mengalu-alukan Kehadiran dan Kepulangan Murid 
Aktiviti Mengalu-alukan Kehadiran Murid dan Kepulangan Murid masih kekal diteruskan. Guru-guru akan menyambut kehadiran murid-murid di pintu pagar A dan pintu pagar B seawal pagi dengan mempamerkan kata-kata semangat yang tertera di papan sepanduk, " Selangkah Ke sekolah, Sejuta Kejayaan" dan "Belajar dengan girang, masa depan terang". Semasa murid-murid pulang, guru-guru siap sedia berada di setiap laluan dan di pintu pagar A dan B. 

Pengagihan Buku Teks 
Pengagihan buku teks kepada semua murid terutama murid Tahun 6 dilaksanakan pada hari pertama persekolahan (21 Mac 2022, Isnin) bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 10.00 pagi. Murid-murid dikehendaki mengambil buku teks di Bilik SPBT dengan dikawal selia oleh guru kelas atau guru mata pelajaran.  

Program Transformasi Minda (PTM) dan Pemugaran Emosi Murid (PEM)
PTM dan PEM merupakan program di bawah anjuran Unit Hal Ehwal Murid serta Unit Bimbingan dan Kaunseling masih kekal diteruskan pada sesi persekolahan ini khas buat murid-murid SKTPP. Sasaran murid adalah dari kalangan murid Tahun 2 hingga Tahun 6. Program ini dilaksanakan selama 8 hari, bermula 22 Mac 2022 hingga 31 Mac 2022. Tujuan utama program ini dilaksanakan ialah bagi mewujudkan kesediaan murid dari segi fizikal dan mental untuk belajar serta memastikan tahap kesediaan emosi murid stabil dan dapat meluahkan ketidakstabilan emosi dengan cara yang betul. 

Penerangan oleh Ketua Guru Disiplin 
Penerangan oleh Ketua Disiplin sesi pagi iaitu Tuan Haji Tarmiji bin Sabali menerusi corong pembesar suara pada waktu murid sampai ke sekolah, waktu rehat dan sebelum murid balik. Penerangan yang disampaikan adalah seperti berikut;
1. Penggunaan tangga : 
Murid-murid perlu menggunakan tangga UKM pada awal pagi iaitu sebaik sahaja sampai ke sekolah. Ketika waktu rehat dan waktu balik, murid-murid yang berada di Blog F perlu menggunakan tangga USM manakala murid-murid yang berada di Blog G menggunakan tangga UUM.
2. Keselamatan murid berdasarkan SOP (Standard Operating Procedure) - pencegahan penularan jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) : 
Murid perlu mengamalkan penjarakan sosial, sentiasa menjaga kebersihan diri dan memakai pelitup muka.

Waktu Rehat
9.30 pagi - 10.00 pagi   : Semua murid Tahun 4
10.00 pagi - 10.30 pagi : Semua murid Prasekolah, PPKI dan Tahun 5
10.30 pagi - 11.00 pagi : Semua murid Tahun 6

Terdapat guru bertugas yang mengawal murid semasa proses membeli makanan di Dewan Perdana dan semasa murid makan di dalam kelas. 

Selamat datang kepada guru berikut: 
1. Cik Nur Faiqah binti Zamiri, Guru Pelatih IPG Kampus Dato' Razali Ismail, Kuala Terengganu - melapor diri untuk program PBS mulai 21 hingga 25 Mac 2022. 
2. En Mohd Afiq bin Azli, dari SK Taman Putra Perdana 2 yang akan mula bertugas pada 1 April 2022

Salam perpisahan kepada guru berikut:
1. En Hafiz bin Md Noor, bertukar sekolah ke SK Kampong Salang, Perlis.
2. Cik Maizan binti Abdullah, bertukar sekolah ke SK Taman Putra Perdana 2, Selangor.

Pencalonan Ikon Guru Kokurikulum / Sukan Negeri Selangor 
Sempena Hari Guru Peringkat Negeri Selangor 2022, SKTPP menghantar 3 pencalonan Ikon Guru Kokurikulum/Sukan. Tahniah diucapkan kepada Pn Parimala a/p Vengadaslam, En Ahmad Zunaidi bin Jinalabin dan En Ahmad Junaidi bin Abdullah. Semoga berjaya. 

Mesyuarat AJK Induk Anugerah Pengurusan SPBT Cemerlang Tahun 2022
Mesyuarat AJK Induk Pengurusan SPBT Cemerlang Tahun 2022 telah diadakan pada 22 Mac 2022 (Selasa) di Terminal Muafakat, SKTPP. Mesyuarat ini melibatkan barisan pentadbir dan semua ketua AJK Pelaksana

Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Kebajikan Guru Dan Kakitangan (KKGK) SKTPP 2022
Mesyuarat Agung Tahunan KKGK telah berjaya diadakan secara dalam talian (Google Meet) pada hari Sabtu, 26 Mac 2022. Tahniah kepada barisan AJK KKGK yang baharu dilantik dan terima kasih atas khidmat bakti kepada barisan AJK sebelum ini. 

Berikut adalah gambar-gambar dan video yang sempat dirakam sepanjang Minggu Pertama Sesi Persekolahan:




   
SKTPP dipantau oleh pegawai PPD dan pegawai PPS

Program Amalan Guru Penyayang: Mengalu-alukan kehadiran murid

Murid sentiasa mengamalkan menjaga kebersihan dengan mencuci tangan 

Ketua Guru Disiplin memberi taklimat ringkas
                                       
Pengagihan buku teks kepada murid-murid

Program Transformasi Minda dan Pemugaran Emosi Murid

Suasana di kedai buku

Suasana pada waktu rehat
          
Pencalonan Ikon Guru Kokurikulum/Sukan 
Selamat datang ke SKTPP    

Mesyuarat AJK Induk Anugerah Pengurusan SPBT

Mesyuarat Agung Tahunan KKGK secara dalam talian

    Bacaan Yassin pada pagi Jumaat 

Salam Perpisahan buat Cikgu Hafiz dan Cikgu Maizan

Jom lihat lagi memori sepanjang minggu pertama persekolahan sesi 2022/2023

Sunday, March 20, 2022

Selamat Kembali Ke Sekolah 2022

Selamat Kembali Ke Sekolah buat anak-anak murid Tahun 2 - 6 dan Selamat Datang diucapkan kepada murid-murid Tahun 1 sesi persekolahan 2022 / 2023. Semua murid Tahun 1, 2, 6, prasekolah, PPKI dan murid yang menerima RMT perlu hadir ke sekolah pada setiap hari. Manakala bagi murid-murid Tahun 3, 4 dan 5 akan hadir ke sekolah secara penggiliran mengikut Kumpulan A dan B. Semoga semua murid bersemangat untuk hadir ke sekolah. Diharap tiada murid prasekolah dan Tahun 1 yang akan menangis walaupun ibu bapa tiada bersama menemani. Insyaa Allah guru-guru akan membimbing, mendidik dan menyayangi anak-anak murid. Semoga semua seronok belajar dengan guru-guru dan kawan-kawan baru dan lama. Jangan lupa, terus jaga SOP demi keselamatan dan kesihatan kita semua..


Saturday, March 19, 2022

Salam Perpisahan buat Cikgu Hafiz bin Md Noor

    Satu majlis ringkas penyerahan hadiah sempena perpindahan Cikgu Hafiz bin Md Noor telah diadakan pada hari Sabtu, 19 Mac di Makmal Terminal Terabait, SK Taman Putra Perdana. Majlis ini tidak lain tidak bukan adalah bagi menghargai jasa pengorbanan dan sumbangan bakti yang telah dicurahkan oleh beliau sepanjang berkhidmat di SK Taman Putra Perdana.  Majlis telah dihadiri oleh wakil Kelab Kebajikan Guru & Kakitangan (KKGK) dan guru-guru SKTPP yang turut ingin mengambil peluang bagi menyampaikan hadiah dan cenderahati kepada Cikgu Hafiz.

    Untuk makluman, Cikgu Hafiz akan berpindah dan meneruskan khidmat beliau di SK Kampong Salang, Perlis serta akan melapor diri pada 21 Mac 2022 ini. Cikgu Hafiz merupakan Guru Penyelaras Bestari yang sangat berdedikasi dan telah berkhidmat di SK Taman Putra Perdana selama 13 tahun sejak tahun 2009. Sesungguhnya telah banyak sumbangan yang dicurahkan oleh beliau terhadap kejayaan sekolah ini khasnya dalam pengurusan, pembangunan dan aktiviti yang melibatkan ICT. Perpindahan ini pastinya membuatkan warga SKTPP merasai kehilangan seorang guru yang begitu komited dengan tugas-tugasnya.

    Akhir kata, ribuan terima kasih kami ucapkan atas segala khidmat yang dicurahkan oleh Cikgu Hafiz di sekolah dan kami mendoakan semoga Cikgu Hafiz terus cemerlang di sekolah baharu serta salam perpisahan. Jasamu dikenang.

Pulau Pandan jauh ke tengah,

Gunung Daik bercabang tiga,

Hancur badan dikandung tanah,

Budi yang baik dikenang juga.



Penyampaian cenderahati oleh Ustaz Farhan, Pengerusi KKGK



Penyampaian cenderahati oleh rakan-rakan guru SKTPP