Wednesday, February 28, 2018

Jaulah Imtiyaz 4.0 Panitia Bahasa Arab SK Taman Putra Perdana ke Negeri Sembilan Darul Khusus

Pada hari Rabu bersamaan 28 Februari 2018, Panitia Bahasa Arab Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana telah mengadakan Jaulah Imtiyaz buat kali yang ke-4. Seperti biasa, peserta yang terpilih adalah murid yang cemerlang dan terbaik dalam peperiksaan Bahasa Arab melalui Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Peperiksaan Akhir Tahun tahun lepas (2017) serta beberapa kriteria yang telah ditentukan. Penganjuran Jaulah Imtiyaz 4.0.kali ini memilih lokasi sekitar Negeri Sembilan Darul Khusus merangkumi empat buah tempat yang telah dipilih iaitu:
  1. Masjid Negeri Sembilan
  2. Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
  3. Muzium Negeri Sembilan
  4. Kilang Yakult
Penganjuran Jaulah Imtiyaz 4.0 ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada murid-murid tentang kecemerlangan Pendidikan Bahasa Arab di peringkat global di samping menyuntik motivasi murid-murid agar lebih berusaha gigih untuk mengaplikasikan Bahasa Arab dalam kehidupan seharian dan profesion.


Para peserta Jaulah Imtiyaz 4.0 bergambar kenangan sebelum bertolak ke destinasi yang pertama


Guru pengiring mengedarkan sarapan pagi kepada para peserta

Para peserta telah berkumpul di Laluan Patriotik SK Taman Putra Perdana pada jam 7.00 pagi. Setelah kesemua peserta dan kelengkapan mencukupi, rombongan Jaulah Imtiyaz sebanyak 2 bas telah bergerak ke lokasi yang pertama iaitu Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Ketibaan peserta pada jam 8.45 pagi telah disambut oleh para pelajar USIM dan dibawa ke Dewan Mesyuarat Fakulti Al-Quran dan As-Sunnah. Pihak USIM mengalu-alukan kedatangan peserta rombongan ke tempat pengajian mereka. Pensyarah di Fakulti Pengajian Bahasa Utama iaitu Dr. Norkhamimi bin Zainuddin telah memberikan ucapan yang dilihat lebih kepada membentuk minat pelajar agar menyukai Bahasa Arab. 

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kerana pihak sekolah mempunyai inisiatif membuat lawatan sambil belajar yang mana ianya sangat bagus dalam membentuk minda yang positif sejak awal usia lagi dan boleh melihat hala tuju selepas ini secara praktikal. Perkongsian yang disampaikan oleh beliau sangat menarik sehinggakan para pelajar dapat berkomunikasi dengan pensyarah tersebut di mana para pelajar dapat menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh beliau dengan baik. Antara perkongsian yang dinyatakan oleh beliau ialah:
  1.  Bahasa Arab membantu kita untuk memperbetulkan sebutan huruf
  2. Bahasa Arab membantu kita memahami Al-Quran dan Hadith dengan lebih baik.

Peserta lelaki sedang memberikan tumpuan semasa ucapan daripada Dr. Norkhamimi

Jelas keterujaan peserta sewaktu berada di Dewan Seminar

Peserta perempuan Jaulah Imtiyaz sewaktu penerangan dan ucapan berlangsung

Suasana di dalam Dewan Seminar

Dr. Norkhamimi Bin Zainuddin sedang memberikan ucapannya kepada para peserta

Selepas Dr. Norkhamimi memberikan ucapannya, program diteruskan lagi dengan ucapan daripada Ketua Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama iaitu Profesor Dr. Norazizi Bin Ismail yang mengucapkan tahniah dan terima kasih kerana memilih USIM sebagai lokasi jaulah. Beliau turut memberi cadangan agar kolaborasi perkongsian dalam Pengajaran Bahasa Arab dapat disusun dengan lebih banyak supaya Bahasa Arab akan terus diminati oleh semua lapisan umur. 

Selepas itu, Ketua Panitia Bahasa Arab, Ustaz Zurilazman Bin Abdullah telah memberikan ucapan penghargaan kepada pihak USIM atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang program berlangsung.

Rombongan Jaulah Imtiyaz diteruskan lagi dengan sesi lawatan ke Perpustakaan USIM. Para pelajar dilihat sangat seronok dan teruja dibawa melawat sekitar kawasan perpustakaan yang terdiri daripada empat tingkat keseluruhannya. Para peserta telah diiringi oleh petugas perpustakaan dan pelajar dari universiti itu sendiri.


Penyampaian cenderahati daripada pihak perpustakaan USIM

Gelagat guru pengiring sewaktu berada di perpustakaan

Guru pengiring bergambar kenangan di dalam perpustakaan

Peserta Jaulah Imtiyaz bergambar di hadapan Perpustakaan USIM

Destinasi Jaulah Imtiyaz yang seterusnya ialah Muzium Negeri. Muzium Negeri terletak di Seremban. Rombongan ini telah disambut baik oleh petugas di sana. Peserta telah dipecahkan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan memulakan lawatan di dalam bangunan muzium yang menempatkan sejarah Negeri Sembilan, pembentukan Negeri Sembilan, senjata tradisional Melayu, koleksi zaman British yang dijumpai di Negeri Sembilan dan banyak lagi. Manakala satu kumpulan lagi telah dibawa melawat ke kawasan sekitar muzium yang menempatkan Rumah Diraja Negeri Sembilan, Rumah Negeri Sembilan, perahu dan batuan yang ditemui pada zaman batu.

Monumen Rumah Negeri Sembilan

Informasi berkaitan Rumah Negeri Sembilan

Papan Tanda Rumah Negeri Sembilan

Ustaz Zurilazman, Ketua Panitia Bahasa Arab membawa peserta melihat rumah contoh

Informasi pembentukan Negeri Sembilan

Zaman Pra-Sejarah di Negeri Sembilan

Replika batu yang ditemui pada masa dahulu

Senjata tradisional Melayu

Replika basikal yang digunakan pada zaman tersebut

Koleksi zaman British 

Dasar pendidikan yang digunakan

Bangunan Muzium Negara

Peserta Jaulah bergambar kenangan di hadapan Muzium Negeri

Selepas lawatan ke Muzium Negeri, rombongan seterusnya bergerak ke Masjid Negeri untuk rehat, makan tengah jari dan solat zohor. Setibanya di masjid, peserta jaulah telah dijamu dengan hidangan makanan tengah hari. Ahli jawatankuasa masjid bergotong royong untuk menyediakan juadah makan tengah hari yang sangat lazat. 

Selepas makan tengah hari, peserta jaulah menunaikan solat zohor berjemaah dengan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Nizar Bin Noor Muhammad dan diteruskan lagi program dengan sesi taklimat yang dijalankan di ruang solat utama. Ustazah Norhafizah telah memberi penerangan berkaitan dengan sejarah pembinaan Masjid Negeri dan keperluannya kepada penduduk Islam di sekitar kawasan tersebut. Seni bina masjid itu yang lain daripada yang lain meningkatkan rasa teruja semua peserta rombongan yang turut serta.


Peserta sedang menikmati hidangan tengah hari yang disediakan oleh Masjid Negeri

Petugas masjid sedang memberikan hidangan kepada peserta

Sedikit sejarah berkaitan Masjid Negeri:
  • Ia telah dibina pada tahun 1966 di atas tapak yang telah dikurniakan oleh kerajaan negeri. Memandangkan Negeri Sembilan pada masa itu belum mempunyai masjid negeri, maka kerajaan Negeri Sembilan di bawah pempinan YAB Tan Sri Dr. Mohd Said bin Muhammad, Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu telah bersetuju supaya Masjid Negeri dibina di kawasan seluas lebih kurang 2 hektar bagi menggantikan Masjid Jamek Bandar Seremban yang tidak dapat menampung para jemaah yang semakin bertambah. Ia telah dirasmikan oleh Paduka Seri Tuanku Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan pada hari jumaat bersamaan 24 November 1967.  
  • Reka bentuk Masjid Negeri yang dibina ini begitu simbolik. Sembilan tiang, sembilan ruang dan sembilan anjung tambahan yang dibina menggambarkan struktur politik negeri di mana Negeri Sembilan yang satu ketika mempunyai 9 daerah pentadbiran. Masjid ini terletak bersebelahan dengan Taman Tasik Seremban di pusat bandar. Bekas Bangunan Sekretiat Negeri Sembilan berbentuk zaman kolonial juga terletak berhampiran. Masjid ini terletak berhampiran dengan pusat pentadbiran kerajaan negeri iaitu Wisma Negeri, Wisma Persekutuan, Dewan Undangan Negeri serta Istana Hinggap.  
  • Reka bentuk masjid ini sangat unik dan menarik di mana ia merupakan senibina moden bercampur elemen tradisional iaitu senibina Minangkabau. Masjid ini mempunyai 3 aras. Aras pertama terletaknya bilik air, bilik wuduk, bilik kuliah, Perpustakaan Islam dan juga Pejabat Pentadbiran Masjid. Aras kedua terletaknya dewan solat utama dan juga ruang solat sisi. Di ruang solat sisi, pengunjung boleh melihat keindahan Taman Tasik Seremban yang terletak bersebelahan masjid. Aras ketiga adalah ruang solat tambahan yang terletak di setiap diameter dewan solat utama serta ruang legar di setiap sisi. Selain itu, sebuah menara terletak bersebelahan masjid. 

Peserta berkumpul di ruang solat utama untuk mendengar taklimat daripada pihak masjid

Peserta perempuan memberikan perhatian semasa taklimat dijalankan

Tayangan slaid dipaparkan untuk memberi gambaran yang lebih jelas berkaitan Masjid Negeri

Guru pengiring turut sama mendengar taklimat

Imam Besar Masjid Negeri sedang memberikan ucapan

Peserta Jaulah Imtiyaz 4.0 bergambar kenangan dengan pihak urusetia Masjid Negeri

Akhir sekali, rombongan Jaulah Imtiyaz tiba ke destinasi yang terakhir iaitu kilang Yakult. Di sana, peserta jaulah telah dibawa melihat kilang yang mana proses Yakult dihasilkan telah ditunjukkan oleh petugas bertauliah. Taklimat dan pencerahan juga dilakukan di dalam Dewan Seminar. Setiap peserta telah diberikan sebotol Yakult sambil menyaksikan tayangan video yang disediakan oleh pihak kilang. Peserta juga diberi peluang untuk membeli air Yakult dan cenderamata yang dijual di bahagian hadapan kilang.

Peserta mendengar taklimat dan pencerahan tentang minuman Yakult

Peserta Jaulah Imtiyaz 4.0.bergambar kenangan di hadapan kilang Yakult yang merupakan lokasi terakhir jaulah

Tepat jam 6.00 petang, rombongan Jaulah Imtiyaz telah selamat tiba di sekolah. Kelihatan ibu bapa telah ramai menanti kepulangan anak-anak mereka daripada jaulah ini. Diharapkan agar aktiviti ini dapat memberi manfaat kepada semua peserta dan menjadi motivasi buat semua untuk mencipta kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang.

1 comment: