Thursday, August 13, 2020

Lawatan Perkongsian Pintar Penanda Arasan SK Bandar Bukit Mahkota ke SK Taman Putra Perdana

     Alhamdulillah, puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya dapatlah kita menerima pelawat-pelawat dari SK Bandar Bukit Mahkota, Hulu Langat bagi kunjungan Lawatan Perkongsian Pintar Amalan Pengurusan PSS Cemerlang & Program Pembangunan Bakat Murid Sukan Kriket Penanda Arasan ke SK Taman Putra Perdana pada 13 Ogos 2020 (Khamis). 

    Tepat jam 9.30 pagi, para pentadbir telah menyambut seramai 11 orang pelawat dari SK Bandar Bukit Mahkota, Hulu Langat. Turut hadir; pegawai dari PPD Sepang iaitu Timbalan PPD Sepang (Pembangunan Murid), En Zuhaimi bin Md Nasir, Penolong PPD Sepang (Pembangunan Bakat Murid) En Norazlan bin Ahmad Kanal dan juga Penolong PPD Sumber & Teknologi Pn Hjh Siti Aishah bt Aziz.  Turut sama, Presiden SRCC (Sepang Rangers Cricket Club) juga selaku YDP PIBG SKTPP Tn Hj Khairul Azhar bin Mohammad Suffian, Naib YDP PIBG Pn Normawati binti Saad, AJK PIBG En Mohd Hafiz bin Zainol Shokor, Naib Presiden SRCC, En Mazlan bin Norman serta AJK SRCC, En Muhd Rusdi bin Saleh yang sama-sama meraikan para pelawat. 

    Setibanya para tetamu di SK Taman Putra Perdana telah diadakan sesi fotografi sebagai merakam kenangan sebelum dibawa ke Terminal Muafakat bagi sesi suai mesra antara warga SK Bandar Bukit Mahkota dan SK Taman Putra Perdana. Majlis yang indah ini dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Ishak Shairazi bin Mohd Saupi. Ucapan alu-aluan dari YDP PIBG, Tn Hj Khairul Azhar bin Mohammad Suffian mengalu-alukan kehadiran para tetamu bagi perkongsian yang lebih mantap. Ucapan dari Guru Besar SK Taman Putra Perdana, Pn Hjh Rohaidah bt Mohd Ali yang berbesar hati menerima lawatan penanda arasan SK Bandar Bukit Mahkota. Semoga dengan lawatan ini dapat menggabungjalin kepakaran serta kejayaan sekolah masing-masing agar budaya kerja cemerlang guru dan kemenjadian murid dapat dipertingkat pada masa akan datang. 

    Tetamu menyaksikan persembahan multi media dan kejayaan sekolah yang telah mengangkat nama Ujana Ilmu (Pusat Sumber Sekolah) dan pasukan kriket di bawah pengurusan SRCC ke peringkat kebangsaan dan menempa nama dengan kejayaan-kejayaan yang disandang sepanjang tahun. Taklimat ringkas telah disampaikan oleh En Ahmad Junaidi bin Abdullah jurulatih pasukan kriket SKTPP dan Pn. Arnny Yusnita binti Md Enarji selaku Guru Perpustakaan & Media (GPM) SKTPP melalui paparan multi media.

    Kemuncak acara ialah sesi penyerahan sijil jaringan. Sijil jaringan telah ditandatangani oleh Guru Besar SK Bandar Bukit Mahkota iaitu En Mohd Faizal bin Abd Aziz dan Guru Besar SK Taman Putra Perdana iaitu Pn Hjh Rohaidah bt Mohd Ali sebagai tanda jalinan rasmi antara sekolah telah dilaksanakan dengan jayanya. Ini diikuti sesi penyampaian cenderamata kepada para tetamu yang hadir.

    Seterusnya, para tetamu dibawa melawat ke Ujana Ilmu, Bilik Sumber PPDa dan Bilik Bitara Kriket. Setiap terminal akan diberi sedikit penerangan mengenai fungsi dan peranan masing- masing. En Mohd Izwan bin Jowahar selaku guru penasihat dan jurulatih pasukan kriket sekolah telah memberi taklimat khas selain berkongsi idea dan pengalaman bersama para tetamu yang hadir.

    Lawatan Penanda Arasan ini telah selesai jam 1.00 petang dengan diakhiri dengan sesi fotografi bersama-sama tetamu. Secara keseluruhannya, para pelawat amat berpuas hati dengan sesi lawatan penanda arasan ini dan diharap dapat mengeratkan lagi jalinan dan jaringan kerjasama antara sekolah dan perkongsian pintar serta budaya kerja cemerlang pada masa akan datang.. Insyaallah. 

    Pautan buku program bagi lawatan penanda arasan SK Bandar Bukit Mahkota ke SK Taman Putra Perdana boleh dilihat pada link : BUKU PROGRAM LAWATAN PENANDA ARASAN SKBBM KE SKTPP 2020

    Berikut merupakan sorotan gambar-gambar yang dapat dirakam sepanjang lawatan berlangsung :

Sesi fotografi bersama para pelawat dan tetamu yang hadir.



Sebelum taklimat bermula para tetamu menjamu selera dahulu.

Ucapan alu-aluan dan bacaan doa.

Ucapan Guru Besar SK Bandar Bukit Mahkota dan taklimat khas kriket.


Sesi menandatangani sijil jaringan antara SKBBM dan SKTPP.

Lawatan ke Ujana Ilmu dan Bilik Sumber PPDa.

Lawatan ke Bilik BItara Kriket dan Taklimat Khas.


Penyampaian cenderamata buat para tetamu.

Semoga jalinan kerjasama ini dapat mempertingkat kejayaan sekolah.

Sebagai tanda kenangan setelah selesai lawatan.


Disediakan oleh,

Umi Nazrah bt Saharoni

No comments:

Post a Comment