Thursday, November 7, 2019

Majlis Sambutan Maulidurrasul Peringkat Sekolah 1441H (Sesi Pagi)

Maulidurrasul adalah majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang disambut pada setiap 12 Rabiulawal dengan mengadakan berbagai-bagai acara sambutan seperti perarakan, ceramah dan berselawat bagi memuliakan junjungan besar umat Islam serta sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Tujuan sambutan:
1.    Memantapkan keyakinan terhadap Rasulullah SAW.
2.    Meningkatkan kecintaan kepada Rasulullah SAW.
3.    Baginda adalah contoh ikutan dalam semua aspek kehidupan.
4.    Menghayati sunnah Nabi Muhammad SAW dalam;
  • Beribadah dan mentaati Allah SWT.
  • Ketinggian akhlak dan budi pekertinya.
  • Kesungguhan dan tetap pendirian ketika berdakwah.
  • Teguh dan tetap dalam memperjuangkan Islam dan syariatnya.
  • Cinta dan kasih sayangnya terhadap sahabat dan umatnya.

Maulidurrasul tahun 2019 bersamaan dengan tahun 1441H jatuh pada hari Sabtu, 9 November 2019 yang merupakan cuti hujung minggu di Malaysia. Tema sambutan Maulidurrasul pada tahun ini adalah 'Negara Rahmah, Ummah Sejahtera'.

Sehubungan itu, Majlis Sambutan Maulidurrasul Peringkat Sekolah bagi sesi pagi dijalankan pada 7 November 2019 (Khamis) pada jam 7.30 pagi hingga 10.00 pagi bertempat di Dewan Perdana SKTPP. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Ahmad Zunaidi bin Jinalabin. Kemudian, majlis diteruskan dengan satu forum bertajuk 'Mimbar Maulidurrasul' yang disampaikan oleh;
  • Ustaz Ahmad Zubair bin Haji Muhamad Taib (Moderator)
  • Ustaz Mahadir bin Midun
  • Ustaz Ahmad Mustafid bin Mat Syarif
  • Ustaz Zurilazman bin Abdullah

Pihak Panitia Pendidikan Islam SKTPP juga mengadakan pertandingan kuiz yang diselitkan semasa forum disampaikan. Murid-murid sangat seronok dan teruja dengan soalan-soalan kuiz yang dilontarkan. Tahniah diucapkan kepada murid-murid yang menyertai pertandingan kuiz yang telah dianjurkan. Guru Besar berbesar hati menyampaikan hadiah kepada murid-murid yang berjaya menjawab soalan kuiz. Majlis Sambutan Maulidurrasul yang penuh keberkatan ini diakhiri dengan alunan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW secara beramai-ramai bawah pimpinan Ustaz Ahmad Zubair.

Majlis Sambutan Maulidurrasul Peringkat Sekolah 1441H, sesi pagi berjalan lancar dengan jayanya seperti yang dirancang. Syukran lillah..

Gambar-gambar sepanjang program berlangsung;

Ustaz Ahmad Zubair selaku Moderator

Panel-panel yang menyampaikan forum yang sangat berilmiah ini

Murid-murid mendengar forum 

Guru Besar dan Penolong-penolong Kanan
yang sentiasa setia dengan program-program sekolah

Guru-guru Pendidikan Islam selaku AJK program




Pelbagai gaya murid-murid ketika majlis berlangsung


Para pemenang pertandingan kuiz

Allah SWT berfirman: 
“Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk mendatangkan kerahmatan kepada seluruh alam.”    (Surah al-Anbia, ayat 107).


Disediakan oleh;
Faridatul-Akmal binti Ismail
SK Taman Putra Perdana.

No comments:

Post a Comment