Monday, September 19, 2011

300 Bantu Pembelajaran BI

50 pengajar dari AS sertai program Fulbright bermula Januari 

SERAMAI 300 tenaga pengajar lepasan ijazah dari Amerika Syarikat akan membantu kerajaan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris pelajar di negara ini menerusi program Fulbright, mulai tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia adalah kesinambungan pertemuan Datuk Seri Najib Razak dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Hillary Clinton, di New York dan di Kuala Lumpur sebelum ini.
Pada peringkat awal, pegawai kanan AS yang dalam pertemuan dengan Muhyiddin berjanji menghantar 50 pengajar mulai Januari depan dan ditambah secara berperingkat.

“Program ini bukan saja dapat mengeratkan hubungan kedua-dua negara, malah membantu Kementerian Pelajaran meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris di kalangan pelajar,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Beliau berkata, program menghantar tenaga pengajar sukarela itu sudah lama dilaksanakan oleh AS dan ditanggung oleh negara itu tetapi bagi program di Malaysia, kerajaan turut memberi peruntukan RM1.4 juta bagi memberi sedikit imbuhan kepada tenaga pengajar.

Program tidak akan mengganggu kurikulum pengajaran bahasa Inggeris sedia ada, sebaliknya mereka menggunakan masa luar sekolah dengan teknik pembelajaran menyeronokkan.
“Kita akan memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi program berkenaan dan diharap dapat dilaksanakan sebelum akhir tahun. Tenaga pengajar akan diberikan orientasi supaya dapat mengenali adat resam dan budaya rakyat Malaysia sebelum ditempatkan di hantar, termasuk Sabah dan Sarawak serta dipantau seorang penyelia,” katanya.

Muhyiddin berkata, Terengganu sebenarnya sudah memulakan program berkenaan dan setakat ini maklum balasnya amat memberangsangkan sama ada daripada pelajar mahupun guru berkenaan.

“Pelajar sangat gembira dan lebih mudah menguasai bahasa Inggeris, manakala guru terbabit pula sangat bersungguh-sungguh. Setakat ini Terengganu sudah melaksanakan 17 program seumpama itu. Kejayaan itu mungkin kerana teknik yang mereka ajar lebih menyeronokkan. Berikutan itu, kerajaan tidak akan mengadakan lagi projek perintis dan akan terus meletakkan tenaga pengajar itu di sekolah yang akan dikenal pasti,” katanya. 

 —–

Sumber: Berita Harian |30 Jun 2011|

No comments:

Post a Comment