Tuesday, November 13, 2018

Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum dan Kepimpinan 2018

Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Dan Kepimpinan 2018 atau lebih dikenali sebagai MAKKK atau MA3K 2018 telah diadakan pada hari Selasa bersamaan 13 November 2018 bermula dari pukul 7.30 pagi hingga 1.20 petang, bertempat di Dewan Perdana Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana.

Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum dan Kepimpinan (MA3K) ini adalah anjuran bersama Unit Kokurikulum dan Unit Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana. Majlis ini telah dirasmikan oleh En. Norazlan Bin Ahmad Kanal, Penolong PPD (Pembangunan Sukan), Pejabat Pendidikan Daerah Sepang.

Majlis MA3K adalah satu acara kemuncak bagi tahun 2018 yang diadakan setiap tahun bagi memberi penghargaan kepada murid-murid yang aktif dalam bidang kokurikulum dan yang telah berjaya mengharumkan nama sekolah di peringkat sekolah, daerah, negeri mahupun kebangsaan. Malah, majlis ini juga turut  memberi penghargaan kepada murid-murid yang telah memberi sumbangan dalam bidang Hal Ehwal Murid  selaku pemimpin seperti Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber (Ujana Ilmu) dan lain-lain jawatan lagi. Dengan adanya majlis seperti ini, besarlah harapan pihak penganjur agar ianya dapat memberi semangat dan perangsang kepada murid-murid agar berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap pertandingan dan aktiviti kokurikulum yang disertai serta menjadi pelajar yang berketrampilan  dan dedikasi dalam bidang kepimpinan.

Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru, majlis ini juga turut memberikan sijil penghargaan kepada guru-guru di atas sokongan padu dan semangat kesukanan yang telah dicurahkan dalam melatih, membimbing dan mengurus pasukan sekolah dalam setiap aktiviti dan pertandingan yang disertai. Semoga dengan adanya Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum dan Kepimpinan 2018 ini, semua warga SKTPP akan terus berusaha dan cemerlang dalam melahirkan pelajar yang cemerlang dalam semua aspek kemenjadian murid.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, diikuti dengan bacaan doa agar majlis yang telah dirancang mendapat keberkatan dari-Nya. Para hadirin diraikan dengan beberapa persembahan yang hebat dan sangat bertenaga dari gabungan Kelab Sains Teknologi dan Kelab Doktor Muda, Kelab Kebudayaan dan Kelab Muzik, serta Persatuan Agama Islam dan Kelab Kemahiran Al-Quran.

Pada tahun ini, Anugerah Khas Kecemerlangan Kokurikulum telah dianugerahkan kepada atlit harapan SKTPP iaitu adik Muhammad Asyraf Rifa'ei Bin Mohd Afindi dan Anugerah Khas Kecemerlangan Kokurikulum (Pendidikan Khas) telah dianugerahkan kepada adik Muhammad Hafiz Bin Suhaimi Pinero di atas penglibatan aktif mereka dalam beberapa bidang sukan sepanjang tahun 2018 terutama sukan Kriket.

Penyampaian hadiah dan sijil penghargaan turut diberikan kepada jurulatih luar, guru pembimbing dan pembaca terbanyak kategori Nilam Guru. Selain itu, hadiah dan sijil penghargaan turut disampaikan kepada Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Pembimbing Rakan Sebaya dan Sahabat PPDA atas khidmat bakti mereka sepanjang tahun 2018.

Pada majlis tersebut, sijil penghargaan turut diberikan bagi menghargai segala usaha dan kerjasama yang ditunjukkan oleh semua warga SKTPP sempena APPSC 2018. Penyampaian hadiah turut diberikan kepada Pengurusan Kelas Terbaik pada tahun 2018. Bagi mengakhiri majlis tersebut, Unit Beruniform Tunas Kadet Remaja Sekolah telah dinobatkan sebagai pasukan Unit Beruniform Terbaik pada tahun ini di atas segala penglibatan aktif unit tersebut sepanjang tahun 2018. Antaranya ialah Perkhemahan Perdana Tunas Kadet Remaja, Perkhemahan Kursus Kenaikan Pangkat Sarjan dan Karnival Tunas Kadet Remaja Sekolah.

Beberapa gambar kenangan sepanjang majlis turut dirakam......






























No comments:

Post a Comment