Saturday, April 23, 2022

Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengawas Pusat Sumber Sesi 2022/2023

 

Tarikh:   23 April 2022

Hari:      Sabtu

Masa:    9.00 pagi

Tempat: Google Meet (Kediaman Masing-Masing)


Pada hari Sabtu yang lalu bersamaan dengan 23 April 2022 telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengawas Pusat Sumber Sesi 2022/2023. Walaupun majlis yang dijalankan ini masih dalam suasana norma baharu ekoran pandemik COVID-19 yang melanda dunia namun majlis ini tetap dilaksanakan dengan penuh gilang gemilang.

Barisan Pengawas Pusat Sumber serta guru-guru yang terlibat dalam majlis ini

Majlis ini telah bermula pada jam 9.00 pagi. Cik Roslinda binti Mansor selaku pengerusi majlis memberikan kata alu-aluan pembukaan majlis. Pengerusi majlis mengalu-alukan kehadiran Guru Besar SK Taman Putra Perdana, Puan Hajah Rohaidah binti Mohd Ali serta GPK Hal Ehwal Murid, Datin Noraizah binti Dun, barisan jawatankuasa induk Ujana Ilmu serta semua pengawas pusat sumber yang telah dilantik.

Majlis diteruskan lagi dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Mustafid bin Mat Sharif agar majlis yang sedang berlangsung berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.


Bacaan doa telah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Mustafid bin Mat Sharif memohon agar majlis yang dirancang berjalan dengan lancar dan mendapat rahmat



Selepas itu, Datin Noraizah binti Dun selaku GPK Hal Ehwal Murid telah memberikan ucapan. Beliau mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah atas perlantikan semua pengawas pusat sumber yang telah terpilih menjawat jawatan penting ini di sekolah. Beliau mengharapkan agar semua pengawas dapat menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan baik serta menjadi contoh tauladan kepada murid yang lain terutamanya dalam program NILAM kerana mereka inilah menjadi tulang belakang kepada program-program yang dijalankan di bawah Ujana Ilmu.

Ucapan perasmian pula disampaikan oleh Guru Besar SK Taman Putra Perdana, Puan Hajah Rohaidah binti Mohd Ali. Sama seperti GPK Hal Ehwal Murid, beliau turut sama mengucapkan tahniah atas penyerahan watikah pelantikan sebagai Pengawas Pusat Sumber. Beliau berharap agar pengiktirafan yang diberikan ini akan menjadi cetusan semangat untuk semua pengawas yang telah dilantik serta terus mengekalkan kecemerlangan dalam semua bidang termasuklah akademik, sahsiah dan kokurikulum.


Ucapan perasmian disampaikan oleh Puan Hajah Rohaidah binti Mohd Ali selaku Guru Besar SK Taman Putra Perdana


Selepas ucapan perasmian, Puan Arnny Yusnita binti Md Enarji yang meruapakan Guru Perpustakaan dan Media telah memberikan sedikit taklimat ringkas tentang peranan dan tanggungjawab sebagai Pengawas Pusat Sumber. Seramai 63 orang Pengawas Pusat Sumber telah dilantik yang mana terdiri daripada murid aliran perdana serta PPKI. Taklimat yang disampaikan adalah berkaitan tatacara pemakaian uniform pengawas pusat sumber. Dalam taklimat yang sama, beliau memaklumkan bahawa jadual penggiliran bertugas di Ujana Ilmu akan diberikan dalam masa terdekat.


Bahan pembentangan yang disampaikan oleh Puan Arnny Yusnita binti Md Enarji selaku Guru Perpustakaan dan Media (GPM) berkenaan dengan etika pemakaian sebagai seorang Pengawas Pusat Sumber


Selain daripada itu, sebuah video khas yang memperkenalkan barisan kepimpinan Ujana Ilmu telah ditayangkan. Sekalung penghargaan diucapkan kepada Guru Penyelaras Bestari, Ustaz Mohd Ishak Shairazi bin Mohd Sauzi atas penyediaan video yang sangat menarik. Tayangan video tersebut diteruskan lagi dengan agenda utama yang ditunggu-tunggu iaitu bacaan ikrar watikah pelantikan Pengawas Pusat Sumber yang telah dipimpin oleh Ahmad Aqil Aiman bin Zaiful daripada kelas 6 Ibnu Thufail.



Sedutan pengenalan barisan pentadbir SK Taman Putra Perdana


Sedutan pengenalan jawatankuasa tertinggi Pengawas Pusat Sumber


Sedutan pengenalan barisan Pengawas Pusat Sumber yang terdiri daripada Tahun 3 hingga Tahun 6


Barisan kepimpinan Pengawas Pusat sumber melafazkan ikrar pelantikan


Tayangan montaj barisan kepimpinan Pengawas Pusat Sumber serta lafaz bacaan ikrar watikah pelantikan



Semua warga sekolah dan ibu bapa boleh melayari pautan yang disediakan di bawah untuk melihat perjalanan majlis yang telah berlangsung dengan jayanya:

https://www.youtube.com/watch?v=nOwvlzRDeUM


Alhamdulillah, dengan berakhirnya tayangan video sebentar tadi, maka telah sempurnalah Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengawas Pusat Sumber bagi sesi 2022/2023 dengan jayanya. Sekalung penghargaan kepada semua jawatankuasa guru yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan majlis ini secara langsung mahupun tidak langsung. Tidak dilupakan juga kepada barisan pentadbir yang turut sama meluangkan masa dalam majlis ini walaupun ianya diadakan pada hujung minggu dan secara dalam talian.

Buat barisan kepimpinan Pengawas Pusat Sumber SKTPP, jadikanlah pelantikan sebagai tonggak utama Ujana Ilmu ini akan menaikkan semangat dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik selaku tulang belakang Ujana Ilmu dan dalam masa yang sama dapat memberikan aura yang positif kepada murid lain terutamanya dalam memupuk budaya dan minat membaca yang tinggi dalam kalangan murid di SK Taman Putra Perdana. Teruslah memacu kegemilangan dibawah slogan “Ujana Ilmu Wadah Kecemerlangan”.

 

Disediakan oleh,

Syahirah binti Tumar

Jawatankuasa Induk NILAM,

SK Taman Putra Perdana.

No comments:

Post a Comment