Friday, April 1, 2022

Program Transisi Tahun 1 : Minggu Kedua (28 Mac -1 April 2022)


Program Transisi adalah antara program yang perlu didedahkan kepada murid-murid. Ia juga merupakan sebagai fasa persediaan kepada Murid Tahun Satu dengan tujuan untuk membantu murid-murid menghadapi perubahan diri dalam keadaan transisi dari pendidikan tidak formal di rumah ataupun di prasekolah ke pendidikan secara formal di Tahun Satu.

Episod kali ini merupakan Minggu ke-2 Program Transisi. Ia berjalan dengan lebih baik. Murid-murid kelihatan sudah dapat menyesuaikan diri di dalam bilik darjah, di persekitaran sekolah dan juga dapat membina hubungan yang baik dengan rakan sebaya. Dengan kerjasama yang diberikan oleh ibubapa dan guru telah membantu murid-murid menyesuaikan diri di persekitaran yang baru.

Pada minggu ke-2, program ini merangkumi aktiviti suai kenal, aktiviti fizikal, aktiviti rutin, aktiviti pembelajaran, perbualan dan rehat. Antara aktivitinya ialah latihan menyanyi lagu Negaraku, lagu Negeri Selangor dan lagu sekolah. Murid-murid diberi penerangan tentang takrifan bentuk dan warna logo sekolah. Guru melaksanakan pentaksiran bilik darjah dengan menyediakan aktiviti yang sesuai untuk mengukuhkan penguasaan kemahiran prabaca, pratulis dan pranombor bagi murid-murid yang belum menguasai sepenuhnya kemahiran tersebut. Murid-murid juga dapat menyiapkan buku latihan transisi dengan baik. Fasa ini bertujuan menyediakan murid-murid dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk pembelajaran, seterusnya disamping menyesuaikan diri dengan situasi dan persekitaran sekolah serta membina hubungan baik dengan rakan dan guru.

Gambar-gambar yang dirakam pada Minggu ke-2


Murid-murid berkumpul didewan sebelum masuk ke kelas mengikut kumpulan kelas masing-masing


Saat ini mereka telah faham tentang disiplin yang perlu mereka patuhi. Mereka berada dalam barisan yang tersusun dan menjaga tingkahlaku dengan tertib

Guru Penolong Kanan Petang, Puan Siti Raudah sedang memberi taklimat tentang pengurusan sekolah

Pergerakan murid untuk naik ke kelas bersama guru mata pelajaran

Sesi pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung. Murid-murid sangat teruja dengan aktiviti Program Transisi yang dijalankan. Mereka bersungguh-sungguh memberi perhatian dan sentiasa bersemangat

Mereka dengan cekap menyiapkan aktiviti-aktiviti yang disediakan

Masa rehat murid Tahun 1 pada pukul 3.20. Mereka membeli makanan di kantin dan makan di dalam kelas yang diawasi oleh guru mata pelajaran

Murid-murid membuat barisan di luar kelas pada waktu balik. Jelas kelihatan seronok pada wajah mereka sewaktu sesi persekolahan tamat  

     Syabas kerana sentiasa bersemangat dan selamat melangkah ke alam persekolahan!

Disediakan oleh

Salmi binti Adnan

No comments:

Post a Comment