Friday, September 16, 2022

Laporan Bertugas Minggu ke-23 (Sesi Pagi)

Pada minggu ini merupakan giliran Kumpulan E bertugas. Guru bertugas dalam kumpulan ini adalah seramai 12 orang iaitu Cikgu Noriza, Cikgu Julaili, Cikgu Zaleha, Ustazah Mawaddah, Cikgu Nurhayati, Ustazah Syahirah, Cikgu Norliza, Cikgu Hanifah, Cikgu Zakiah, Cikgu Tirmiezi, Ustaz Mustafid dan Ustaz Zairuddin.

Barisan guru bertugas sesi pagi

Suasana semasa majlis perhimpunan

Ahli Pengakap SKTPP dipilih untuk menaikkan bendera ketika lagu dinyanyikan

Tema pakaian pada minggu ini ialah unit beruniform. Oleh yang demikian, guru dan murid digalakkan memakai pakaian unit beruniform masing-masing.

Majlis perhimpunan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri Selangor dan lagu sekolah. Kemudian majlis diserikan dengan bacaan doa oleh pengawas.

Bacaan ikrar Rukun Negara dan ikrar Keselamatan Jalan Raya telah diketuai oleh Ustaz Mustafid.

Kemudian, guru bertugas pada minggu sebelumnya iaitu Ustazah Nor Hanim telah menyampaikan laporan bertugasnya. Antara intipati dalam laporannya adalah berkaitan dengan peraturan sekolah yang perlu dipatuhi oleh semua murid. Ustazah Nor Hanim memberi peringatan kepada murid-murid agar memotong rambut serta tidak menyimpan jambul rambut. 

Kedua, Ustazah Nor Hanim juga memberikan peringatan agar murid memotong kuku serta tidak menyimpan kuku panjang kerana  berkuku panjang akan memberi kesan kepada sah atau tidak wuduk seseorang. Selain itu, ustazah juga menasihati murid perempuan terutamanya agar tidak memakai perhiasan ke sekolah. Ustazah menyatakan bahawa inai juga adalah salah satu perhiasan yang mana murid tidak boleh memakainya ketika sesi persekolahan berlangsung.

Laporan keempat pula berkaitan dengan murid yang suka membawa marker pen ke sekolah. Akibatnya, marker tersebut digunakan untuk menconteng meja dan papan kenyataan di dalam kelas. Justeru, ustazah mengingatkan kepada murid-murid bahawa marker pen adalah bahan larangan kepada murid. Hanya guru sahaja yang boleh membawa dan menggunakan marker pen.

Tema perhimpunan pada minggu ini adalah budaya membaca.  Ustaz Mustafid sebagai guru bertugas telah menyampaikan pesanan kepada murid-murid bahawa membaca adalah satu budaya yang sangat dituntut. Ia berdasarkan dengan surah al-Alaq yang bermaksud, Bacalah.  Ustaz memberikan pesanan kepada murid agar budaya membaca dijadikan sebagai hobi tidak kira di rumah, di sekolah mahupun di mana sahaja. Bacaan bukan terhad kepada membaca buku sahaja, malah bacaan boleh dibuat di dalam telefon pintar yang disimpan dalam bentuk PDF. Ustaz Mustafid berpesan agar menggunakan telefon dan laptop sebagai alat untuk membaca dan kurangkan bermain permainan atas talian (game).

Perkataan LAWAD pada minggu ini ialah :

Bahasa Melayu : Mandi Peluh yang bermaksud kuat bekerja.

Bahasa Inggeris : Recess yang bermaksud waktu rehat.

Bahasa Arab : Makhzanun yang bermaksud stor.

Pada akhir majlis perhimpunan, Penyelaras PPKI iaitu Puan Noor Hayati binti Yusof telah dijemput untuk memberikan pesanan kepada murid-murid. Antara pesanan beliau adalah berkaitan dengan semangat kemerdekaan. Puan Noor Hayati menyatakan hasrat agar murid SKTPP boleh keluar daripada kebiasaan seperti kalau tidak tahu tentang sesuatu itu, perlu belajar untuk tahu dan pandai, bukan selamanya tidak mahu ambil tahu. Jadikan semangat Bulan Kemerdekaan sebagai semangat untuk datang ke sekolah setiap hari.

Begitulah antara pesanan dan amanat yang disampaikan oleh guru-guru dalam majlis perhimpunan yang diadakan pada hari Isnin di dataran sekolah. Majlis bersurai dengan pergerakan murid masuk ke kelas masing-masing.

Pada hari Isnin juga telah diadakan pertandingan Koir Nyanyian Lagu Kemerdekaan bagi murid tahun 4 dan 4 kelas murid tahun 6.

Kumpulan Koir tahun 4 Unix


Kumpulan Koir tahun 4 Android

Pada hari Selasa bersamaan dengan 13 September 2022 pula, telah diadakan satu majlis sempena meraikan pemain-pemain kriket MSSM 2022. Antara tetamu yang hadir ialah KPPD iaitu Tuan Haji Ishak bin Abdullah, Guru Besar dan Penolong Kanan Kokurikulum SJKC Sin Ming, Yang Dipertua PIBG Sekolah serta jurulatih pasukan kriket sekolah. Majlis ini diadakan bersempena dengan kejayaan murid kriket SKTPP iaitu Muhammad Hakeem Rizqi bin Norazmi dan Auf Abraqi bin Mohd Rusdi serta Nagineswaran A/l Santhnakumaran dari SJK (C) Sin Ming yang mewakili negeri Selangor ke Kejohanan Kriket MSSM yang berlangsung di Kelantan.

Penyampaian hadiah dan sijil kepada atlet Kriket MSSM

Sesi bergambar bersama guru dan ibu bapa

Majlis berjalan lancar dan meriah dengan tema merah dan kuning.

Selain itu, pertandingan Koir bagi tahun 5 dan 6 juga telah diadakan pada hari Selasa. Sungguh bersemangat murid-murid menyanyikan lagu-lagu patriotik. Kemeriahan semasa acara pertandingan juga diserikan dengan keletah juru acara pada hari tersebut iaitu Cikgu Nurliza yang sangat ceria dan menghiburkan.

Pada hari Rabu bersamaan dengan 14 September 2022 pula, SKTPP telah menjadi tuan rumah bagi pertandingan bola sepak iaitu Malaysia Little League peringkat daerah Sepang. Pada perlawanan pembukaan, SKTPP berlawan dengan pasukan dari SK Cyberjaya dengan kemenangan berpihak kepada SKTPP iaitu 3 - 0.  Pada keputusan keseluruhan, Alhamdulillah, SKTPP dinobatkan sebagai Johan dalam kejohanan Malaysia Little League peringkat Daerah Sepang 2022.

Berikut disertakan jadual perlawanan:

SKTPP                       VS               SK CYBERJAYA

SK KLIA                    VS              SK KBL

SK CYBERJAYA       VS              SK KLIA

SKTPP                        VS              SK KBL

SK KLIA                    VS              SKTPP

SK KBL                      VS              SK CYBERJAYA

Sesi bergambar sebelum perlawanan berlangsung

Pasukan Bola Sepak SKTPP U12

Pasukan sekolah sedia untuk beraksi pada perlawanan pertama

Sesi bergambar pasukan bola sepak SKTPP dengan medal kemenangan

Pada hari Rabu juga, hakim yang terdiri daripada pentadbir sekolah dan 3 orang guru telah membuat rondaan sekaligus menilai kelas-kelas sempena Pertandingan Keceriaan Kelas Tema Kemerdekaan yang dianjurkan oleh Panitia Sejarah. Semua guru kelas telah berada di dalam kelas masing-masing bagi menjayakan penghakiman yang dilaksanakan.

Puan Azizah dan Puan Julaili menjadi hakim untuk menilai kelas tahun 4

Sambutan meraikan kemenangan pasukan bola sepak telah diadakan pada hari Khamis bersamaan dengan 15 September 2022. Medal kejohanan telah disampaikan kepada wira-wira bola sepak sekolah yang menyumbang kemenangan dalam kejohanan Malaysia Little League peringkat daerah Sepang, sekaligus menjadi wakil daerah Sepang ke peringkat negeri Selangor minggu depan.

Sesi penyerahan hadiah kepada pengurus dan jurulatih pasukan bola sepak sekolah; Cikgu Musrizuan.
Turut hadir : coach Zamri Hassan & YDP PIBG; Tn. Hj. Khairul Azhar

Sesi bergambar pasukan bola sepak yang diraikan

Kemeriahan sambutan meraikan kemenangan disambung dengan majlis penutupan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia. Guru-guru dan murid-murid diraikan dengan memberi izin memakai pakaian tradisional klasik Etnik Malaysia. Oleh itu, pada hari tersebut, pemandangan di dalam sekolah sangat ceria dengan kepelbagaian pakaian yang dipakai oleh guru dan murid dengan mengikut tema yang ditetapkan. Bukan itu sahaja, terdapat dua orang guru yang dilantik untuk mencari dan memilih busana murid yang paling cantik serta mengikut tema kerana hadiah disediakan untuk acara tersebut. Bukan itu sahaja, untuk kategori guru juga turut disediakan hadiah.

Dalam majlis penutupan tersebut, telah berlangsung penyampaian hadiah bagi beberapa acara yang dipertandingkan sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia. Antaranya penyampaian hadiah pertandingan mewarna Prasekolah dan pertandingan kuiz Sejarah PPKI. Turut berlangsung adalah penyampaian hadiah pertandingan Koir Kelas serta Pertandingan Keceriaan Kelas. Semua murid kelihatan gembira dengan hadiah yang diperolehi.

Penyampaian hadiah murid Prasekolah bagi pertandingan mewarna

Penyampaian hadiah kepada murid PPKI bagi pertandingan Kuiz Sejarah

Penyampaian hadiah bagi Pertandingan Keceriaan Kelas Tahun 4, 5 & 6

Penyampaian hadiah bagi pertandingan koir

Pemenang Busana Tradisional Klasik Etnik Malaysia kategori murid

Pemenang Busana Tradisional Klasik Etnik Malaysia kategori guru

Gambar kenang-kenangan para guru SKTPP pada Majlis Penutupan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia

Pada hari Jumaat iaitu 16 September 2022 pula merupakan cuti umum sempena sambutan Hari Malaysia ke-59 tahun.


Terima kasih.


Disediakan oleh : 

Cikgu Nur Zakiah binti Md Diat

No comments:

Post a Comment