Friday, September 14, 2018

Majlis Sambutan Awal Muharram 1440H Sesi Pagi

Pada 14 September 2018 (Jumaat) Panitia Pendidikan Islam SK Taman Putra Perdana telah menganjurkan program Sambutan Awal Muharram 1440H. Sambutan Awal Muharram merupakan program tahunan dalam panitia Pendidikan Islam yang diadakan bagi memberi pendedahan serta kefahaman tentang peristiwa penting dalam bulan hijrah.

Awal Muharram dikaitkan juga dengan Maal Hijrah yang bermaksud sama-sama berpindah. Dari segi istilah bermaksud berpindah dari perkara yang negatif kepada yang positif dan dari perkara yang positif kepada yang afdhal. Justeru penghayatannya perlu ada dalam rangka membina satu misi perjuangan hidup Islam yang lebih jitu dalam jiwa muslimin dan muslimat.

Program ini dianjurkan untuk memberi pendedahan kepada semua murid dan juga warga sekolah agar lebih memahami perjalanan penghijrahan Rasulullah dari Mekah ke Madinah dalam melaksanakan usaha dakwah baginda suatu ketika dahulu.


Antara objektif Sambutan Awal Muharam ini ialah : 
1. Pelajar dapat memahami maksud hijrah yang sebenarnya. 
2. Mengetahui plot penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat. 
3. Mengambil iktibar dari peristiwa hijrah.
4. Dapat memberi pemahaman dalam mata pelajaran Pendidikan Islam.

Majlis ini dimulakan dengan ucapan perasmian dan pelancaran majlis oleh Guru Besar Puan Hajjah Rohaidah binti Mohd Ali sekaligus merasmikan dengan gimik pelancaran meletakkan nombor hijrah iaitu 1440H bersama dengan para pentadbir.


Majlis ini kemudian diserikan dengan persembahan nasyid daripada kumpulan Al-Wijdaan dengan 2 buah lagu iaitu Ya Habibal Qolbi dan Maal Hijrah. Majlis diteruskan dengan penyampaian ceramah oleh Pencetus Ummah (PU) Muhammad Hafiz bin Abu Bakar, seorang penceramah yang hebat dan santai. Beliau mengajak warga SKTPP bersama-sama menghayati perjuangan Rasulullah SAW dalam peristiwa Hijratul Rasul. Ceramah yang disampaikan diselangi dengan aktiviti kuiz bersama murid-murid dan hadiah diberi kepada yang berjaya menjawab kuiz tersebut. Ceramah beliau diakhiri dengan menjemput beberapa orang murid bersama beliau mengalunkan bacaan doa Dhuha.

Berikut gambar-gambar sepanjang majlis berlangsung.


Buku program Sambutan Awal Muharram 1440H

Murid-murid memberi tumpuan kepada persembahan nasyid.

Ucapan dari Puan Guru Besar mengajak seluruh warga SKTPP agar menghayati bulan Muharram sebagai Tahun Baru Islam.

Pelancaran gimik oleh barisan pentadbir.

Barisan pentadbir menunjukkan nombor sebagai Tahun Baru Hijrah 1440.


PU Hafiz penceramah jemputan sambutan Awal Muharram memulakan sesi ceramahnya.

Murid-murid SKTPP tekun mendengar ceramah PU Hafiz yang mudah difahami & santai.

Sesi soal jawab kuiz - murid bersemangat untuk menjawab!

PU Hafiz menjemput murid untuk naik ke pentas bagi sesi ramah mesra. 

Penyampaian cenderahati daripada pihak sekolah kepada PU Hafiz sebagai tanda penghargaan.

Kumpulan nasyid Al-Wijdaan membuat persembahan.


Lagi momen-momen yang dapat dirakam sepanjang majlis berlangsung....




No comments:

Post a Comment