Friday, April 5, 2019

Sambutan Isra' Mikraj Peringkat Sekolah (Sesi Pagi)

Tarikh    : 5 April 2019
Hari        : Jumaat
Masa       : 8.00 pagi
Tempat   : Dewan Perdana, SK Taman Putra Perdana

Hari ini telah berlangsungnya satu program di bawah Panitia Pendidikan Islam, SKTPP iaitu Sambutan Isra’ Mikraj peringkat sekolah bagi sesi pagi. Program berbentuk ceramah keagamaan ini telah direncanakan bagi memberi pendedahan serta ilmu pengetahuan yang baru di samping dapat mengingati semula serta mengambil iktibar daripada peristiwa Isra’ Mikraj yang berlaku kepada Baginda Rasulullah S.A.W.

Sebelum memulakan ceramah, program dimulai dengan bacaan Yassin yang sudah menjadi kelaziman buat semua warga SKTPP setiap hari jumaat. Sebaik sahaja selesai membaca Yassin, program diteruskan lagi dengan ceramah Isra’ Mikraj. Program ini dimulai dengan kata alu-aluan oleh Ustaz Ahmad Zubair Bin Haji Muhammad Taib selaku pengerusi majlis dan diteruskan lagi dengan persembahan nasyid yang disampaikan oleh Kumpulan Nasyid Al-Wijdaan. Mereka menyampaikan dua buah lagu yang bertemakan Al-Quran dan Rasullullah S.A.W.

Ustaz Ahmad Zubair Bin Haji Muhammad Taib memulakan majlis dengan memberi ucapan alu-aluan pembuka Sambutan Isra' Mikraj
Pelajar yang hadir memeriahkan sambutan yang diadakan

Kumpulan nasyid Al-Wijdaan membuat persembahan dua buah lagu yang bertemakan Al-Quran dan Rasulullah SA.W

Kini, tibalah masa untuk slot yang dinanti-nantikan iaitu perkongsian Peristiwa Isra’ dan Mikraj yang telah disampaikan oleh gabungan dan padanan terbaik dua orang guru SKTPP iaitu Ustaz Zurilazman Bin Abdullah Dan Ustaz Mahadir Bin Midun. Mereka sangat bersemangat dalam menyampaikan ceramah sehinggakan pelajar memberikan sepenuh perhatian dan fokus dalam mendengar segala intipati yang telah disampaikan. Ceramah yang disampaikan dalam bentuk bual bicara dan santai menjadikan sesi ceramah ini memberi kesan yang mendalam kepada semua warga SKTPP.

Ustaz Zurilazman Bin Abdullah selaku penceramah 

Ustaz Mahadir Bin Midun yang juga penceramah bersama sedang menyampaikan perkongsian berkenaan peristiwa yang berlaku semasa Isra' Mikraj

Barisan pentadbir yang hadir memberi sokongan atas program yang dijalankan

Barisan tenaga pengajar yang turut sama di dalam Program Sambutan Isra' Mikraj

Pelajar memberi perhatian semasa ceramah disampaikan

Sedikit bingkisan berkaitan dengan Peristiwa Isra’ Mikraj ini adalah seperti berikut:

  1. Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Nabi Muhammad S.A.W dari Mekah ke Madinah. Apabila bercerita tentang peristiwa Isra’ dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa iaitu Isra’ yakni perjalanan Nabi Muhammad S.A.W menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin dan  Mikraj iaitu perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha di langit yang ketujuh. Perjalanan Nabi Muhammad S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah di dalam Al-Quran dalam surah Al-Israa ayat 1.
  2. Peristiwa Isra’ dan Mikraj telah memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah S.W.T dan takut kepada kekuasaan-Nya.
  3. Seandainya peristiwa dalam Isra’ dan Mikraj ini dipelajari dan benar-benar dihayati, manusia mampu mengelakkan diri daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan.
  4. Peristiwa Isra’ dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah S.W.T. yang ditunjukkan melalui bukti-bukti kekuasaan dan kebesaranNya kepada Baginda Rasulullah S.A.W.

Selepas berakhirnya perkongsian daripada kedua-dua penceramah, program telah diteruskan dengan kuiz yang mana bertujuan untuk menguji sejauh mana penguasaan pelajar dalam ceramah yang disampaikan. Kelihatan semua murid sedaya upaya berusaha untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Pelajar yang dapat menjawab soalan dengan betul diberikan hadiah yang disediakan oleh Panitia Pendidikan Islam.

Pelajar menerima hadiah kuiz daripada Ustaz Zurilazman Bin Abdullah sambil diperhatikan oleh Ustaz Mahadir Bin Midun

Pelajar yang lain sedang menjawab soalan yang dikemukakan

Antara ragam dan gelagat pelajar yang mencuba untuk menjawab kuiz dengan penuh semangat dan keterujaan

Pelajar perempuan turut sama diberikan peluang untuk menjawab kuiz yang diberikan

Sebelum majlis bersurai, majlis penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata telah disampaikan oleh Puan Rosmah Binti Jamat selaku Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SKTPP kepada kedua-dua penceramah sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti yang telah diberikan dalam membentuk individu pelajar yang mempunyai nilai-nilai murni yang baik. 

Ustaz Zurilazman Bin Abdullah menerima sijil penghargaan daripada Penolong Kanan HEM; Puan Rosmah Binti Jamat

Ustaz Mahadir Bin Midun juga menerima sijil penghargaan dan cenderamata

Alhamdulillah, atas izinNYA program ini telah berjalan dengan lancar. Semoga dengan penganjuran program seperti ini dapat menyemai sikap cintakan ilmu pengetahuan dalam kalangan pelajar di samping dapat menghayati dan mengambil iktibar daripada peristiwa yang telah berlaku. Sekalung penghargaan kepada barisan pentadbir yang sentiasa memberi sokongan yang padu kepada Panitia Pendidikan Islam dalam menjayakan semua program yang telah dirancang. Tidak dilupakan juga buat semua warga SKTPP yang telah memberi kerjasama secara langsung mahupun tidak langsung. Semoga SKTPP akan terus maju pada masa akan datang.

Sekalung penghargaan untuk barisan jawatankuasa pelaksana yang bertungkus lumus dalam menjayakan program ini

“UJANA ILMU WADAH KECEMERLANGAN”

No comments:

Post a Comment