Friday, August 23, 2019

Majlis Bacaan Yasin, Solat Hajat dan Ceramah Motivasi Tahun 6 Fasa 2 2019

Pada 23 Ogos 2019 bersamaan 22 Zulhijjah 1440 Hijrah, hari Jumaat, Majlis Solat Hajat dan Ceramah Motivasi Fasa 2 telah diadakan di Dewan Perdana SKTPP sempena UPSR tahun 2019. Majlis ini disertai oleh murid-murid tahun 6, guru-guru serta ibu bapa. Majlis ini bermula seawal jam 7.00 malam dan berakhir pada jam 10.30 malam. Sebelum majlis bermula, sesi pendaftaran dijalankan bagi ibu bapa, murid-murid Tahun 6 serta guru-guru yang turut hadir ke majlis ini. 

Majlis dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, bacaan Yaasin, solat Isyak dan solat hajat yang diimamkan oleh Ustaz Mahadir bin Midun dan Ustaz Zurilazman bin Abdullah. Kemudian majlis diteruskan lagi dengan ceramah motivasi bersama ibu bapa dan calon UPSR 2019.  Ceramah ini disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Ustaz Bakhtiar Fitri bin Hj. Abdul Hamid.

Sebelum ceramah motivasi dijalankan, pengerusi majlis iaitu Ustaz Mustafid bin Mat Sharif telah menjemput YDP PIBG SKTPP Tuan Haji Khairul Azhar b. Mohammad Suffian untuk memberi sedikit ucapan. YDP telah mengucapkan terima kasih kepada semua ibu bapa dan murid-murid yang hadir. YDP juga meminta semua murid agar fokus pada malam ini sebagai motivasi kepada diri anak-anak murid. Ibu bapa juga perlu memberi keutamaan dan fokus kepada anak-anak dalam masa yang terdekat ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua guru.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Timbalan Nazir Masjid Taman Putra Perdana iaitu Encik Adnan bin Adli. Beliau telah mengumumkan solat hajat yang akan diadakan  di Masjid Taman Putra Perdana pada Sabtu 24 Ogos 2019. Beliau menjemput ibu bapa, guru-guru dan murid-murid untuk hadir bersama ke Masjid TPP malam esok sempena Majlis Solat Hajat bagi anak-anak UPSR. Beliau juga berharap agar anak-anak memohon restu ibu bapa dan guru-guru sebelum menghadapi peperiksaan UPSR.  Harapan beliau semoga anak-anak memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat.

Sedikit latar belakang penceramah :

-         -  Perunding utama Nadi Ilmu Training Management.
-          - Master Trainer untuk Kursus Organisasi Kerajaan dan Swasta.
-          - Pengasas Modul Motivasi Anak-anak Permata Cinta Ilahi.
-          - Pengasas media sosial bagi kemahiran keibubapaan “AKU MEMBESARKAN SEORANG KHALIFAH (AMSK)".
-           - Ikon Agensi Anti Dadah Kebangsaan peringkat Daerah Hulu Langat.
-           - Berasal dari Dusun Tua Hulu Langat dan sekarang menetap di Kajang, Selangor.

Penceramah memulakan sesi ceramah motivasi dengan bacaan Al-Fatihah. Kemudian, tepukan gemuruh kepada anak-anak yang hadir pada malam ini serta memberi salam khas kepada ibu bapa. Penceramah juga meminta murid-murid memberi tepukan gemuruh kepada ibu bapa sebagai tanda penghargaan kepada ibu bapa yang hadir. Tepukan juga diberikan kepada pihak sekolah, PIBG dan guru-guru yang telah bertungkus lumus untuk memberi kejayaan kepada murid-murid.

Pada malam ini, penceramah telah menekankan bahawa ciri-ciri guru yang disukai oleh murid-murid ialah guru yang sentiasa mengambil berat terhadap anak-anak muridnya. Samalah apa yang dirindui anak-anak ialah perhatian daripada ibu bapa. Sangat besar kesannya sekiranya ibu bapa mengambil berat kepada anak-anak terhadap kesusahan yang mereka hadapi untuk berhadapan dengan UPSR yang alan berlangsung lebih kurang dua minggu saja lagi.

Tuan penceramah berkongsi beberapa tips yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mengambil berat kebajikan dan keperluan anak-anak menjelang UPSR ini:

1. Bawa anak-anak membeli alat tulis untuk peperiksaan.
2. Solat hajat perlu berterusan mulai hari ini. Cerita kepada anak-anak malam tadi ibu dan ayah buat solat hajat sebagai motivasi kepada diri anak-anak.
3. Ibu bapa perlu sentiasa solat berjemaah dengan anak-anak.
4. Duduk bersama-sama dengan anak-anak ketika mereka sedang belajar atau mengulangkaji pelajaran.
5. Ibu bapa bercerita dengan anak-anak ganjaran sekiranya mendapat A dalam UPSR. Contoh insentif RM100 bagi setiap A yang diperoleh anak-anak dalam UPSR. Ibu bapa perlu bercakap jelas dengan anak-anak ganjaran yang hendak diberi dan mengikut apa yang disukai anak-anak berdasarkan kemampuan ibu bapa.
6. Buat kebaikan semasa anak-anak sedang menduduki peperiksaan. Seperti berpuasa sunat, solat sunat dhuha, sedekah dan sebagainya.  

Peranan anak-anak untuk menghadapi peperiksaan:

1. Perlu sentiasa berusaha, berdoa dan jangan sesekali tinggal solat.
2. Sentiasa menjaga hubungan dengan Allah dan mohon maaf daripada ibu bapa, guru-guru dan semua orang termasuk rakan-rakan.
3. Hadir ke sekolah untuk belajar dan menimba ilmu bukan untuk melawan cikgu atau rakan-rakan.
4. Untuk berjaya perlu sentiasa hadir ke sekolah jangan sesekali ponteng sekolah. Sekolah merupakan taman-taman syurga. Sangat rugi orang yang ponteng kerana lari dari taman syurga.

Penceramah juga telah memberi peringatan kepada semua yang hadir bahawa dalam setiap diri manusia perlu ada taqwa dan akhlak. Taqwa dibina di masjid. Untuk membina taqwa dan akhlak yang baik dalam kalangan anak-anak, ibu bapa hendaklah mengajak anak-anak sentiasa hadir ke rumah Allah terutamanya para bapa dan anak-anak lelaki. Ibu bapa yang mengambil berat tentang ibadah anak-anaknya akan melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah.  Pelbagai cara ibu bapa boleh mengambil berat tentang ibadah anak-anaknya, antaranya ialah sentiasa solat berjemaah dan membaca al-quran bersama-sama dengan anak-anak. Sekiranya sibuk, ibu bapa boleh luangkan masa membaca al-quran bersama-sama anak dengan memasang ayat-ayat al-quran di dalam kereta. Tidak bermakna sesuatu kejayaan tanpa amal ibadah yang baik dan berterusan.

Penceramah juga telah memberi nasihat kepada anak-anak, sekiranya terlupa semasa menjawab peperiksaan banyakkanlah beristighfar dan memohon kepada Allah dipermudahkan untuk menjawab peperiksaan. Sebelum sesi ceramah berakhir, penceramah melaksanakan slot muhasabah diri.  Anak-anak diminta pergi kepada ibu dan ayah untuk meminta maaf serta peluk dengan erat dan cium pipi mereka dengan penuh kasih sayang di samping meminta ibu bapa mendoakan kejayaan mereka terutamanya kejayaan dalam menghadapi UPSR. Setelah itu, ibu bapa juga turut mengikut bacaan doa yang dibaca oleh penceramah sebagai penerang hati kepada anak-anak di samping mendoakan kejayaan anak-anak untuk menghadapi peperiksaan UPSR tidak lama lagi.

Akhir sekali, Ustaz Bakhtiar Fitri mengakhiri ceramah motivasi ini dengan serangkap pantun:

Bangun pagi gosok gigi,
Pakai bedak wangi-wangi,
Salah silap I’m sorry,
Lain kali kita jumpa lagi.

Berikut merupakan gambar-gambar sepanjang majlis bacaan yasin, solat hajat dan Ceramah Motivasi Fasa 2:

Pendaftaran ibu bapa dan murid-murid tahun 6

Guru-guru mengagihkan makanan untuk diberikan kepada ibu bapa dan murid-murid
Solat maghrib berjemaah
Bacaan Yasin bahgian muslimin

Bacaan Yasin bahagian muslimat

Solat isyak berjemaah
Penceramah Ustaz Bakhtiar Fitri bin Hj. Abdul Hamid
Ucapan YDP PIBG SKTPP Tuan Haji Khairul Azhar b. Mohammad Suffian

Ucapan Timbalan Nazir Masjid Taman Putra Perdana Encik Adnan bin Adli

Doa dan harapan ibu kepada anak yang akan menduduki peperiksaan

Harapan ibu kepada anak sebagai satu motivasi diri murid-murid


Slot muhasabah diri : Murid-murid memeluk ibu bapa dan meminta maaf kepada ibu bapa

Penyampaian cenderahati kepada penceramah oleh Tuan Haji Khairul Azhar b. Mohammad Suffian

Syukran jazilan diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga segala usaha yang kita lakukan akan mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT. Semoga anak-anak ini beroleh kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR. Aamiin..




Disediakan oleh,
Mawaddah binti Kamarulzaman

No comments:

Post a Comment