Saturday, February 15, 2020

Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun MSSD Sepang 2020

Kehangatan dunia bola sepak Sepang kembali lagi. Pada tahun ini SKTPP telah dilantik sebagai Pengelola Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 MSSD Sepang yang dipengerusikan oleh Guru Besar, Pn Rohaidah binti Mohd Ali. Kejohanan yang berlangsung selama 3 hari ini diadakan di Padang SK Methodist, Sg. Pelek pada 12, 13 dan 14 Februari 2020. Kejohanan tahun ini lebih meriah lagi apabila buat pertama kalinya Juara akan menerima Piala Pusingan sumbangan Pengerusi Kejohanan tahun ini.

Selain menjadi urusetia kejohanan, SKTPP juga telah menghantar wakil pasukan menyertai kejohanan ini. Hadir sebagai Juara Bertahan Bawah 12 tahun dan Juara bawah 11 tahun 2019 menjadikan pasukan SKTPP antara pasukan pilihan yang akan menjuarai kejohanan ini di samping pasukan-pasukan sekolah yang lain seperti SKTPP 2 (Juara Bawah 10 tahun 2019) dan SK Salak.

Undian peringkat kumpulan telah meletakkan SKTPP bersama dua lagi pasukan iaitu SK Cyberjaya dan SK Bandar Baru Salak Tinggi dalam Kumpulan E. Alhamdulillah, saingan awal dilalui dengan gahnya apabila berjaya menewaskan SK Cyberjaya dan SK Bandar Baru Salak Tinggi dengan jaringan 2-0 dan 1-0. Jaringan telah dicetak oleh ketua pasukan Airiel7 dan penyerang utama Mika17.

Meneruskan peringkat kedua saingan sebagai Johan kumpulan E mempertemukan SKTPP dengan Johan kumpulan A iaitu SK Dato Abu Bakar Baginda dan Naib Johan kumpulan C iaitu SK Kampung Baharu Lanjut. Sekali lagi, kecemerlangan setiap pemain SKTPP telah berjaya menewaskan kedua-dua pasukan dengan jaringan 3-0 dan 2-1. Dua jaringan daripada Airiel7, 1 jaringan daripada Wazif8, Danish10 dan Mika17 berjaya membawa SKTPP ke peringkat separuh akhir dengan bergaya.

Saingan separuh akhir amat getir apabila SKTPP bertemu semula dengan pasukan yang meningkat naik prestasinya semasa saingan peringkat kedua iaitu SK Cyberjaya. Tentangan yang sengit telah diberikan oleh pasukan SK Cyberjaya sehingga berjaya mengekang SKTPP dari menjaringkan gol sehingga ke masa kedua perlawanan. Asakan bertali arus oleh barisan hadapan SKTPP iaitu Danish10, Wazif8, Mika17, Airiel7 dan Hamzi9 akhirnya menjelmakan 1 gol yang amat penting untuk SKTPP. Jaringan yang dijaringkan oleh Wazif8 dengan tendangan padu telah memberi kemenangan 1-0 dan melayakkan SKTPP ke peringkat akhir.

Di peringkat akhir, SKTPP bertemu dengan SK Kota Warisan. Jaringan awal perlawanan oleh SK Kota Warisan membuatkan seluruh pasukan SKTPP menjadi risau dan gemuruh. Ketinggalan 1-0 pada hanya minit ketiga perlawanan tidak mematahkan semangat para pemain. Kecemerlangan Amir2, Kurt5 dan Adib6 mengekang asakan lawan berjaya mengatasi barisan hadapan SK Kota Warisan yang mantap.

Hasil asakan bertubi-tubi ke pertahanan lawan, akhirnya satu gerakan pantas yang dimulakan oleh wazif8 dan Airiel7 membuatkan pasukan lawan melakukan kesilapan dan memberi ruang kepada Danish10. Tendangan padu dari tepi gol lawan oleh Danish10 berjaya menyamakan kedudukan 1-1. Setelah itu, perlawanan menjadi semakin sengit dengan beberapa percubaan Airiel7, Danish10 dan Hamzi9 hanya melintasi gol lawan. Masa perlawanan sebenar tamat dan perlawanan terus ke penentuan sepakan penalti.

Tahun ini sekali lagi penjaga gol SKTPP, Hafiz22 menunjukkan kecemerlangannya. Berjaya menghalang dua sepakan pemain SK Kota Warisan dan menjulang SKTPP sebagai Juara tahun 2020. Sekaligus mempertahankan kejuaraan dua tahun berturut-turut dengan kemenangan 4-3.
Tahniah buat semua pemain, coach Zamri, para ibu bapa, jurulatih bola sepak, guru-guru pengiring serta seluruh warga SKTPP!

Di bawah disertakan gambar-gambar dan video-video semasa kejohanan.

Seluruh pemain bersama dari kiri Coach Zamri, Pn Rohaidah, Cikgu Musrizuan dan Ustaz Zubair.

Guru besar SKTPP, Pn Rohaidah dan GPK Kokurikulum SKTPP, En Shahrizal bersama En Ishak, KPPD Sepang, En. Zuhaimi Timbalan PPD serta para pengadil

Guru-guru SKTPP yang bertugas sebagai urusetia kejohanan

Kenangan

Para pemain menerima piala pusingan dan medal juara daripada Tuan KPPD Sepang bersama Guru Besar dan GPK Kokurikulum SKTPP

Bersama piala pusingan dan medal kejuaraan


Permulaan saingan bersama Mr Saifullah

Pemain bersama Guru Besar, wakil ibubapa dan barisan pegawai pasukan bolasepak SKTPP 

Semasa perlawanan
Airiel7, Aqeel20, Naqib 23, Fathi29, Hamzi9 dan Amir2

Danish10, Wazief8, Shahmi11, Alauddin4, Kurt5 dan Farid3

Mika17, Adib6 dan Hafiz22



No comments:

Post a Comment