Friday, February 7, 2020

Majlis Untaian Kasih, Sesaat Bersama, Seabad Terasa (Sesi Pagi)

Pada tanggal 7 Februari 2020 (Jumaat), telah berlangsungnya Majlis Untaian  Kasih, Sesaat Bersama, Seabad Terasa. Ia bersempena perpindahan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Rosmah binti Jamat ke SK Taman Putra Perdana 2.

Kalau tidak kerana unggas,
Tidaklah rosak padi di sawah;
Kalau tidak kerana tugas,
Tidaklah kita akan berpisah.

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Itu adat, itu lumrah kehidupan dan begitulah rentetan perjalanan. Walau sukar untuk ditelan tapi kaki tetap mengorak jalan selagi hayat dikandung badan.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Ahmad Zunaidi. Seterusnya, majlis diserikan lagi dengan titipan ucapan oleh Tuan Haji Khairul Azhar bin Mohammad Suffian, YDP PIBG dan Puan Hajah Rohaidah binti Mohd Ali, Guru Besar SK Taman Putra Perdana. Menyusul selepas itu, ucapan daripada yang diraikan, bekas Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Rosmah binti Jamat. Majlis ini dilengkapkan lagi dengan bingkisan memori yang dizahirkan dalam bentuk persembahan multimedia bersempena majlis perpisahan Puan Rosmah, hasil sentuhan kreativiti Cikgu Arjunawati dan Cikgu Srimahathevan.

Agenda majlis diteruskan dengan pelbagai persembahan daripada wakil guru dan murid-murid yang cukup menarik dan bisa menyentuh hati semua. Usai persembahan, majlis diteruskan dengan upacara penyampaian cenderamata kenang-kenangan. Menyusul selepas itu, upacara menyarung cincin ke jari Puan Rosmah oleh Puan Hajah Rohaidah. Kemudian, majlis disempurnakan lagi dengan sesi fotografi bersama mantan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Rosmah binti Jamat sebagai kenang-kenangan.

Madah diungkap santun bitara,
Pantun dilantun mengusik hati;
Salah dan silap tutur bicara,
Pohon diampun seikhlas hati.

Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman;
Junjungan budi semarak kasih,
Mesra kenangan sepanjang zaman.

Kenangan-kenangan indah yang sempat dirakam sepanjang majlis berlangsung;

Buku program

Perarakan masuk ke dewan

Hadirin mengambil tempat

Ustaz Ahmad Zunaidi memimpin bacaan doa

Ucapan YDP PIBG

Ucapan Guru Besar SKTPP

Ucapan oleh yang diraikan, Puan Rosmah binti Jamat

Sebahagian warga SK Taman Putra Perdana

Persembahan wakil guru dan murid

Naib YDP PIBG turut menyampaikan persembahan


Penyampaian cenderamata

Acara menyarung cincin

Sesi bergambar

Kuning emas masaknya padi,
Mawar merah dalam jambangan;
Terima kasih daun keladi,
Budi puan jadi kenangan.

Tuai padi antara nampak,
Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.




Penolong Kanan HEM
Puan Rosmah binti Jamat

Jelinglah kami jika rindu masih bertamu. Sapalah kami andai mesra akrab berpadu. Selamat bertugas di tempat yang baru diucapkan kepada Puan Rosmah binti Jamat. Semoga Allah sentiasa memberkati..

Disediakan oleh;
Puan Faridatul-Akmal binti Ismail
SK Taman Putra Perdana.

No comments:

Post a Comment