Saturday, November 27, 2021

Majlis Penutupan Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat SK Taman Putra Perdana 2021

Hari ini Sabtu (27 November 2021), telah diadakan Majlis Penutupan Sambutan Hari Kanak-Janak peringkat sekolah secara dalam talian anjuran Unit Hal Ehwal Murid (HEM) dengan kerjasama Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG).

Bagi menyambut dan meraikan kanak-kanak yang juga merupakan murid-murid SK Taman Putra Perdana, pihak sekolah mengambil inisiatif mengadakan Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Sekolah. 

Objektif program adalah seperti berikut:

  • Sebagai satu acara penghormatan dan pengiktirafan oleh pihak sekolah dan masyarakat kepada generasi kanak-kanak.
  • Dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat keseluruhan akan peranan dan tanggungjawab untuk memelihara hak serta masa depan kanak-kanak di Malaysia.
  • Menanam dan menyuburkan kesedaran murid-murid tentang hak-hak mereka.
  • Memberikan kegembiraan kepada kanak-kanak yang bakal mewarisi dunia kelak.

Poster Majlis Penutupan Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Sekolah 2021 telah disediakan oleh ahli jawatankuasa yang terlibat di bawah pimpinan Encik Rusydan bin Ismail.

Buku program Majlis Penutupan Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Sekolah 2021 pula merupakan hasil kerja dan kreativiti Puan Halijah binti Mihat dengan kerjasama dari semua ahli jawatankuasa di bawah pimpinan beliau.

Klik sini untuk ke pautan buku program.

Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak pada tahun ini telah dikemudikan oleh dua orang guru yang sangat berpengalaman sebagai pengacara majis iaitu Cik Roslinda binti Mansor dan Puan Nurliza binti Ab Rahman. Memetik ucapan pembukaan daripada pengerusi majlis pada hari ini, Sambutan Hari Kanak-kanak peringkat kebangsaan tahun 2021 telah disambut pada 16 Oktober 2021 yang lalu. Kanak-kanak didefinisikan sebagai seorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-kanak.

Bertemakan ‘Anak Kita Masa Depan Kita’ Sambutan Hari Kanak-kanak peringkat sekolah pada tahun ini telah diadakan dalam medium yang berbeza. Majlis sambutan penutupan kali ini julang-julung kalinya diadakan secara dalam talian menggunakan platform aplikasi youtube.

Berikut merupakan bingkisan gambar-gambar semasa perjalanan Majlis Penutupan Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Sekolah 2021.

Pengacara majis, Cik Roslinda binti Mansor.

Pengacara majis, Puan Nurliza binti Ab Rahman.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang telah dipimpin oleh Ustaz Syed Farhan Hanafi bin Syed Abdullah. Semoga dimakbulkan doa yang telah dibacakan oleh ustaz.

Bacaan doa dipimpin oleh, Ustaz Syed Farhan. 

Pembuka tirai ucapan pada majlis kali ini telah dimulakan dengan ucapan daripada wakil murid, adik Alya Zayyan binti Mohd Al Baasit dari kelas 6 Harmoni.

Ucapan daripada wakil murid, adik Alya Zayyan.

Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan aluan daripada Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKTPP, Tuan Haji Khairul Azhar bin Muhammad Suffian.

Kata aluan daripada,
Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SKTPP,
 Tuan Haji Khairul Azhar bin Muhammad Suffian.

Seterusnya, Majlis Penutupan Sambutan Hari Kanak-Kanak peringkat sekolah diteruskan dengan ucapan perasmian daripada Guru Besar SK Taman Putra Perdana, Puan Hajah Rohaidah binti Mohd Ali. Guru Besar telah menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Hari Kanak-Kanak peringkat sekolah bagi tahun 2021.

Ucapan perasmian daripada Guru Besar SK Taman Putra Perdana,
Puan Hajah Rohaidah binti Mohd Ali.

Meneruskan kelangsungan acara pada hari ini, majlis telah disajikan dengan video persembahan taranum Al-Quran yang telah disampaikan oleh adik Nik Khairunnisa binti Nik Syafful Hadi dari kelas 6 Harmoni. Persembahan adik Nik Khairunnisa telah dibimbing oleh Ustazah Safinatunajakh binti Mat Som.

Taranum Al-Quran oleh adik Nik Khairunnisa binti
Nik Syafful Hadi dari kelas 6 Harmoni. 

Pelbagai aktiviti telah diadakan sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak pada tahun ini. Aktiviti-aktiviti  ini telah melibatkan semua murid prasekolah, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), dan murid-murid aliran perdana yang terdiri daripada tahun 1 hingga tahun 6. Antara aktiviti yang telah dilaksanakan ialah;

  • -        Acara sukaneka (Prasekolah dan PPKI)
  • -        Pertandingan sajak
  • -        Pertandingan syair
  • -        Pertandingan pidato
  • -        Pertandingan bercerita
  • -        Pertandingan nyanyian
  • -        Pertandingan tarian

Aktiviti-aktiviti ini telah dilangsungkan bermula 22 Oktober hingga 14 November 2021 yang lalu.

Majlis diteruskan dengan tayangan video-video pemenang dan persembahan pemenang bagi setiap kategori. Berikut merupakan antara gambar-gambar semasa persembahan pemenang yang telah ditayangkan semasa siaran langsung Sambutan Hari Kanak-Kanak melalui aplikasi youtube.  Senarai penuh nama pemenang bagi setiap aktiviti yang dilaksanakan telah dipaparkan semasa siaran langsung pada hari ini. Tahniah diucapkan kepada semua murid yang terlibat!

Antara gambar-gambar persembahan pemenang

Antara gambar-gambar persembahan pemenang

Turut dilampirkan semasa siaran langsung adalah bingkisan gambar dan video Sambutan Hari Kanak-kanak yang telah disambut oleh murid-murid prasekolah dan PPKI secara bersemuka di sekolah dengan mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan.

Video Sambutan Hari Kanak-Kanak Prasekolah

Video Sambutan Hari Kanak-Kanak PPKI

Persembahan seterusnya pada hari ini adalah sebuah persembahan yang sangat unik iaitu persembahan pencak silat yang telah disampaikan oleh adik Nur Dayana Qamelia dari kelas 4 Iphone di bawah bimbingan Cikgu Halim. Video persembahan adik Nur Dayana telah dirakamkan khas di Putrajaya sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak SKTPP bersama-sama pesilat SUKMA Kuala Lumpur yang juga dibimbing oleh Cikgu Halim.

Persembahan pencak silat oleh adik
Nur Dayana Qamelia dari kelas 4 Iphone

Majlis pada hari ini sampai ke acara kemuncaknya iaitu acara penyampaian hadiah Tokoh Kanak-Kanak peringkat sekolah 2021. Biodata tokoh sesi pagi telah dibacakan oleh Cik Roslinda selaku pengacara majlis dan seterusnya diikuti dengan pengumuman nama tokoh iaitu Adik Rayyan Hayy bin Zunaizan dan ucapan daripada Tokoh Kanak-Kanak sesi pagi peringkat SKTPP 2021.

Tokoh Kanak-kanak sesi pagi,
 adik Rayyan Hayy bin Zunaizan

Biodata Tokoh Kanak-Kanak sesi petang pula telah dibacakan oleh Puan Nurliza dan seterusnya diikuti dengan pengumuman nama tokoh iaitu adik Muhammad Haziq bin Mohd Amir dan ucapan daripada Tokoh Kanak-Kanak sesi petang peringkat SKTPP 2021.


Tokoh Kanak-Kanak sesi petang,
adik Muhammad Haziq bin Mohd Amir

Sebelum majlis pada hari ini melabuhkan tirainya, majlis telah diserikan dengan persembahan gimik yang yang dibawa khas oleh Ustaz Mohd Hadri bin Ag Idris.

Persembahan gimik yang yang dibawa khas
oleh Ustaz Mohd Hadri bin Ag Idris

Video penuh Majlis Penutupan Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat SK Taman Putra Perdana 2021 boleh ditonton melalui aplikasi YouTube. Tahniah dan syabas diucapkan kepada ahli jawatankuasa persembahan video yang telah diketuai oleh Puan Nur Malisha binti Omar atas penghasilan video yang sangat menarik dan kreatif pada kali ini.

Pengerusi majlis telah mengakhiri siaran langsung majlis penutupan pada kali ini dengan mewakili semua ahli jawatankuasa memohon kemaafan sekiranya terdapat kekurangan dan keterlanjuran sepanjang majlis ini diadakan.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih juga diucapkan kepada barisan pentadbir, semua ahli jawatankuasa guru, ibu bapa, murid-murid dan semua warga sekolah yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan majlis ini.

Laporan majlis diakhiri dengan sebuah tayangan video pendek ucapan Sambutan Hari Kanak-Kanak daripada anak-anak murid kesayangan warga SK Taman Putra Perdana. Selamat Hari Kanak-Kanak!

"Anak Kita Masa Depan Kita"


Disediakan oleh,

Amalina binti Abd Hamid

Ahli Jawatankuasa Pelaksana
Majlis
Penutupan Sambutan Hari Kanak-Kanak 2021
SK Taman Putra Perdana

No comments:

Post a Comment