Friday, August 26, 2022

Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Sekolah (Sesi Pagi)

Sempena kedatangan bulan Muharam 1444H Panitia Pendidikan Islam telah menganjurkan Program Sambutan Maal Hijrah Peringkat Sekolah 2022/1444H. Awal Muharam atau Maal Hijrah merupakan hari yang penting bagi umat Islam kerana memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Kota Mekah ke Madinah dan dari situlah agama Islam dapat disebarkan sehingga ke serata dunia.

Dalam konteks hari ini pula, hijrah bermaksud berubah kepada sikap yang lebih positif, peningkatan ilmu pengetahuan, penguasaan ekonomi dan sains teknologi dalam kalangan umat Islam bagi memperbaiki pandangan bukan Islam terhadap Islam.

Justeru itu, adalah amat penting majlis ini diadakan bagi mendedahkan dan membuka minda murid tentang betapa pentingnya hijrah pada umat Islam juga mengambil iktibar serta ibrah untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

Antara objektif Sambutan Maal Hijrah ialah:

1. Murid dapat mengetahui peristiwa yang membawa kepada penghijrahan.
2. Membuka minda murid betapa perlunya hijrah dan kebaikan berhijrah.
3. Menanamkan sifat kasih dan cinta kepada Rasulullah S.A.W.
4. Membentuk akhlak dan perilaku terpuji dalam kalangan murid menerusi program-program keagamaan.

Majlis ini diisi dengan ceramah yang disampaikan oleh guru Bahasa Arab SK Taman Putra Perdana iaitu Ustaz Zurilazman bin Abdullah. Pengisian ceramah ini menghuraikan mengenai surah At-Taubah ayat 40 iaitu menceritakan kronologi penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabatnya. Penyampaian ceramah ustaz begitu menarik perhatian murid-murid. Mereka mendengar dengan tekun dan khusyuk. Bagi memeriahkan lagi suasana beberapa soalan kuiz diutarakan bagi menguji minda dan ingatan murid. Syabas kepada murid-murid yang berjaya menjawab soalan kuiz dengan tepat dan jelas.

Di akhir program murid-murid mengalunkan lagu Maal Hijrah bersama dengan guru-guru SK Taman Putra Perdana.

Hijrah itu pengorbanan,
Hijrah itu perjuangan,
Hijrah itu persaudaraan,
Hijrah itu membentuk perpaduan

Antara gambar-gambar yang sempat dirakam sepanjang majlis ini dijalankan;

Pengerusi majlis ustaz Ahmad Mustafid bin Mat Syarif

Murid-murid bersedia menunggu majlis bermula

Penceramah ustaz Zurilazaman bin Abdullah

Barisan pentadbir turut menghayati ceramah

Murid-murid tekun mendengar ceramah yang disampaikan
oleh ustaz Zurilazman

Murid-murid yang berjaya menjawab soalan kuiz


Guru-guru turut serta mendengar ceramah Hijrah

 Murid-murid yang berjaya menjawab soalan kuiz

Penutup majlis semua murid mengalunkan lagu Maal Hijrah

Cenderahati buat penceramah 

Ahli jawatan kuasa yang menjayakan program
  


Semoga pendedahan mengenai peristiwa-peristiwa penting dalam sirah Nabawiah ini dapat menambahkan lagi ilmu, keimanan dan ketakwaan dalam diri dan sentiasa mengingati Rasulullah SAW sepanjang masa. Mudah-mudahan kehidupan kita sepanjang tahun ini dipelihara Allah dan sentiasa dalam naunganNya.

No comments:

Post a Comment