Tuesday, August 17, 2021

Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-64 dan Hari Malaysia Ke-58 SK Taman Putra Perdana 2021

Hari Kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun mempunyai peranan yang sangat penting dalam membina sebuah negara dan bangsa Malaysia yang berdaulat. Sambutan Hari Kemerdekaan atau Kebangsaan serta Hari Malaysia pada tahun 2021 adalah bertemakan “Malaysia Prihatin”. Tema ini dikekalkan seperti tahun lepas. Tahun ini merupakan tahun ke-64 Malaysia menyambut kemerdekaan. Sambutan rasmi diadakan secara sederhana dalam norma baharu seperti tahun lepas.

Hari Malaysia pula disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia. Tanggal 16 September tahun ini, usia Malaysia sebenarnya baharu mencecah 58 tahun.

Peristiwa kemerdekaan dan penubuhan Malaysia merupakan dua peristiwa penting bagi rakyat Malaysia. Bagi menghayati semangat patriotik dalam kalangan murid-murid, pihak sekolah mengambil inisiatif mengadakan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 peringkat sekolah. 

Objektif program adalah seperti berikut:

1. Menyemai semangat cinta akan negara

2. Memupuk dan memperkukuhkan semangat setia negara dan jati diri serta menanam rasa tanggungjawab kepada sekolah dan negara

3. Menerapkan nilai-nilai murni seperti cintakan negara, berdisiplin dan bekerjasama

4. Sebagai kayu ukur bagi menguji kesedaran murid tentang semangat patriotism

5. Mensyukuri perjuangan generasi dahulu dalam mendapatkan kemerdekaan negara

Poster Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-64 dan Hari Malaysia Ke-58 telah dihasilkan oleh Encik Mohd Rusydan bin Ismail..


Buku Program Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-64 dan Hari Malaysia Ke-58 pula adalah hasil tangan Puan Maizara binti Mahat dan ahli jawatankuasa yang terlibat..

Klik sini untuk paparan lengkap buku program
Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-64 dan Hari Malaysia Ke-58


Saksikan bingkisan gambar-gambar semasa perjalanan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia yang telah berlangsung secara atas talian melalui aplikasi YouTube.

Majlis ini telah dimulakan dengan ucapan aluan daripada Puan Nurliza binti Ab Rahman selaku pengerusi majlis dan diikuti bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Syed Farhan Hanafi bin Syed Abdullah dengan harapan agar program berjalan dengan baik dan lancar serta dipermudahkan

Puan Nurliza binti Ab Rahman selaku pengerusi majlis

Bacaan Doa oleh Ustaz Syed Farhan Hanafi

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana iaitu Tn. Haji Khairul Azhar bin Muhammad Suffian. Beliau selaku wakil ibu bapa mengucapkan rasa kesyukuran kerana kita dapat menyambut bulan kemerdekaan dalam suasana yang aman dan harmoni walaupun pada ketika ini dunia sedang dilanda wabak Covid-19. Beliau turut mengharapkan agar semua pihak dapat mengambil iktibar dari peristiwa kemerdekaan, memainkan peranan dalam memerdekakan diri dan berfikiran positif dalam kehidupan seharian.

Tn. Haji Khairul Azhar bin Muhammad Suffian mewakili
PIBG SKTPP menyampaikan ucapannya

Tidaklah lengkap sesuatu program sekiranya tiada ucapan pelancaran daripada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana iaitu Puan Hajah Rohaidah binti Mohd Ali. Menerusi ucapan pelancarannya, Puan Hajah Rohaidah mengucapkan rasa kesyukuran atas usaha pihak sekolah dalam menganjurkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia. Kerjasama daripada semua warga sekolah terutama panitia-panitia yang terlibat sebagai jawatan kuasa pelaksana penganjuran program ini diharapkan akan menjadi satu wadah perjuangan dalam usaha menerapkan semangat cinta dan sayang akan negara selain memperkasa jati diri kita.

Puan Hajah Rohaidah Binti Mohd Ali selaku Guru Besar SKTPP menyampaikan ucapan pelancaran

Selain itu, beliau juga mengucapkan sekalung syabas dan tahniah kepada seluruh jawatankuasa pelaksana atas kerjasama demi menjayakan aktiviti yang dirancang. Adalah diharapkan sambutan ini berupaya merealisasikan objektifnya untuk memberi pendedahan tentang pengetahuan dan penghayatan terhadap semangat kemerdekaan melalui acara dan aktiviti yang melibatkan seluruh warga SKTPP.

Majlis seterusnya diikuti dengan tayangan video gimik Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat sekolah pada tahun ini. Video gimik pelancaran ini telah dihasilkan oleh Puan Malisha binti Omar dengan kerjasama guru-guru serta warga SKTPP.


Menyusul selepas video gimik pelancaran majlis ialah nyanyian lagu tema hari kebangsaan 2021 yang berjudul Malaysia Prihatin. Semua warga sekolah dijemput untuk sama-sama mengibarkan jalur gemilang dan menyanyikan lagu tema ini walau di mana sahaja kita berada.

Lirik Lagu Tema Malaysia Prihatin

Video nyanyian lagu Malaysia Prihatin

Seterusnya ialah hebahan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan sepanjang tempoh berlangsungnya Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat sekolah. Hebahan dan penerangan ringkas tentang aktiviti yang akan dilaksanakan telah disampaikan oleh Cik Rosalinda binti Mansor.

Cikgu Rosalinda sedang memberikan penerangan ringkas
 berkaitan aktiviti-aktiviti sepanjang bulan kemerdekaan

Ringkasan aktiviti yang telah dirancang

Pengerusi majlis Puan Nurliza telah mengakhiri siaran langsung majlis pelancaran pada kali ini dengan perumpamaan yang berbunyi;

Ibarat menanam sudah dituai 

Ibarat musafir sudah sampai

Umpama belayar sudah sampai ke pelabuhan

Umpama berjalan sudah sampai ke destinasi

Pengerusi juga turut mewakili ahli jawatan kuasa memohon kemaafan sekiranya terdapat kekurangan dan keterlanjuran sepanjang majlis ini diadakan.

Sebelum melabuhkan tirainya majlis diakhiri dengan sebuah tayangan video pendek ucapan sambutan kemerdekaan daripada warga SK Taman Putra Perdana.

Antara wajah-wajah warga SKTPP yang telah memberikan ucapan

Video pendek ucapan sambutan kemerdekaan daripada warga SK Taman Putra Perdana

Antara murid SKTPP yang telah menyertai majlis pelancaran secara dalam talian di rumah

Antara murid PPKI SKTPP yang telah menyertai
majlis pelancaran secara dalam talian di rumah

Video penuh Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia boleh ditonton melalui aplikasi YouTube

Semua murid dan warga sekolah diharapkan agar dapat memberi sokongan dengan melibatkan diri dan menyertai aktiviti-aktiviti yang telah dirancang sepanjang sambutan bulan kebangsaan pada tahun ini. Diharapkan program ini dapat memberi pendedahan tentang pengetahuan dan penghayatan terhadap semangat kemerdekaan.  Secara tidak langsung, program ini akan berjaya menerapkan semangat cinta dan sayang akan negara kita.

Disediakan oleh,

Amalina binti Abd Hamid

AJK Posting Blog
Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan ke-64 dan Hari Malaysia ke-58 2021
SK Taman Putra Perdana

No comments:

Post a Comment