Saban hari kita didengarkan dengan berita - berita yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah di muka hadapan akhbar-akhbar tempatan. Penyalahgunaan serta ketagihan dadah seterusnya akan menyebabkan seseorang penagih tidak boleh berfikir secara waras dan mendorong penagih untuk bertindak di luar kawalannya seperti berkhayal pada amnya dan melakukan aktiviti jenayah secara khususnya.
Sebagai langkah untuk meningkatkan kesedaran terhadap bahaya penyalahgunaan dadah, Ceramah Dan Pameran Anti Dadah peringkat sekolah telah diadakan pada 12 Julai 2011, bertempat di Dewan Perdana, Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana. Ceramah yang penuh informasi ini telah diberikan oleh pegawai - pegawai yang diundang khas dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Daerah Sepang, Cik Dahlia Binti Bujang, Encik Khairool Aziman Bin Tuah dan Encik Halman Bin Salleh. Objektif pendedahan awal ini adalah untuk membekalkan maklumat tentang bahaya penyalahgunaan dadah dan memastikan pelajar - pelajar yang merupakan aset dan harapan negara tidak terjerumus dalam alam khayalan dan kancah jenayah seperti bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya dahulu.
Ini merupakan satu langkah pencegahan awal memandangkan statistik penyalahgunaan dadah menunjukkan, jumlah penagih dadah terkumpul dari tahun 1988 sehingga tahun 2005 di negara kita adalah seramai 289,763 orang. (Sumber AADK). Sehubungan itu, marilah kita bertekad dan berazam untuk menghapuskan penyalahgunaan dadah yang boleh “menjahanamkan” masyarakat. PERANGILAH DADAH HABIS - HABISAN.
No comments:
Post a Comment