Saturday, September 30, 2017

Karnival Pameran Kerjaya Daerah Sepang 2017

Karnival Pameran Kerjaya Peringkat Daerah Sepang 2017 merupakan satu program anjuran bersama SK KLIA, Majlis Guru Kaunseling Daerah Sepang dan PIBG SK KLIA. Sasaran utama program ini adalah:
  • Wakil murid dan guru Sekolah-Sekolah Rendah Daerah Sepang
  • Komuniti setempat sekitar SK KLIA
  • Guru-guru SK KLIA dan Ibu/ Bapa/ Penjaga murid-murid SK KLIA

Objektif Karnival ini dijalankan adalah untuk :
  • Membantu murid-murid mengenal pasti kerjaya berdasarkan minat dan kecenderungan masing-masing.
  • Meningkatkan pengetahuan dan kefahaman tentang proses ke arah kerjaya, terutama yang berkaitan dengan sains dan teknologi.
  • Memberi peluang kepada murid-murid untuk menyertai pertandingan yang diadakan.
  • Memberi peluang kepada komuniti untuk mengeratkan tali silaturrahim melalui aktiviti yang diadakan.
Pameran & Aktiviti Yang Dijalankan:

Terdapat 20 booth dari pelbagai agensi seperti Jabatan Tenaga Manusia (Pinjaman Buku), PTPTN, LPPKN, Pusat GIAT MARA Sepang, UNIKL-MIAT, Klinik Kesihatan Sepang, Bomba, PDRM, Team Selangor dan lain-lain lagi.

Pengunjung juga boleh berurusan atau mendapat perkhidmatan di Bas Bergerak LPPKN - Mama Care dan Kaunter Bergerak Lembaga Zakat Selangor. Terdapat juga Rumah Mistik dan Petting Zoo untuk dilawati. Pengunjung juga boleh bermain Roler Blade, Soopa Dopa dan Memanah yang dikendalikan oleh Team Selangor. Terdapat juga gerai-gerai makanan untuk pengunjung menjamu selera.

Wakil setiap sekolah rendah di daerah Sepang pula digalakkan menyertai Pertandingan Mewarna, Pertandingan Melukis Poster Kerjaya dan Pertandingan Pakaian Seragam Kerjaya & Aksi Lakonan.
SK Taman Putra Perdana turut menghantar 4 orang wakil bagi menyertai pertandingan yang diadakan.
Murid-murid tersebut terdiri dari :
  • Justine Jana anak Joseph (Pertandingan Pakaian Seragam Kerjaya)
  • Hanis Syafiqah Bt Mohd Rashidi (Pertandingan Pakaian Seragam Kerjaya)
  • Muhammad Nur Rusyaidi Bin Bakri (Pertandingan Melukis Poster Kerjaya)
  • Amer Iskandar bin Yusrithaudeen (Mewarna)  
Wakil dari SK Taman Putra Perdana untuk Pertandingan Melukis Poster Kerjaya iaitu adik Nur Muhammad Rusyaidi telah berjaya mendapat tempat ketiga. Sementara adik Justine dan Hanis Syafiqah mendapat saguhati (tempat keempat) bagi pertandingan Pakaian Seragam Kerjaya. Semua peserta mendapat hadiah dan sijil.

Bersama ini dilampirkan gambar-gambar yang sempat dirakamkan sekitar program..

 AJK Pendaftaran dan Makanan Program

 VIP yang terlibat: Y.Bhg Dato' Marsum Bin Paing merupakan perasmi program

 Antara aksi-aksi cara melepaskan diri dari penjenayah dalam ceramah oleh PDRM

 Wakil murid SKTPP bergambar di Petting Zoo dan game air yg terdapat di Karnival

Pertandingan melukis poster kerjaya dan mewarna

 Antara aksi peserta pertandingan Pakaian Seragam Kerjaya & Aksi

 Adik Justine dan Anis Syafiqah wakil SKTPP 

 Barisan hakim dan peserta-peserta pertandingan Pakaian Seragam Kerjaya & Aksi

 Adik Rusyaidi mendapat tempat ketiga pertandingan Poster Kerjaya dan 
Adik Justine & Anis Syafiqah mendapat saguhati (tempat keempat)

Guru-guru Bimbingan & Kaunseling Sekolah-sekolah Rendah Daerah Sepang yang terlibat sebagai guru pengiring dan AJK Pelaksana Program bergambar kenangan bersama Tn. Haji Mohamad Shamsul bin Shahid (Penolong Pegawai PPD) dan Pn Norma bt Edros (Guru Besar SK KLIA)

Friday, September 29, 2017

Sambutan Hari Jadi Murid Bulan September 2017

Pada Jumaat, 29 September 2017 telah diadakan sambutan hari jadi untuk murid- murid yang dilahirkan pada bulan September. Program yang terkandung dalam Amalan Guru Penyayang ini dilaksanakan untuk memupuk budaya penyayang dalam kalangan warga sekolah.

Sambutan untuk bulan September dilakukan pada dua sesi yang berbeza iaitu sesi pagi dan sesi petang dan dipenuhi dengan kemeriahan. 

Objektif pelaksanaan program ini adalah untuk menghargai serta menjaga kebajikan setiap warga sekolah. Murid-murid akan merasakan diri mereka lebih dihargai sekaligus merasakan diri mereka adalah sebahagian aset sekolah. 

Semoga melalui program sebegini dapat mengeratkan hubungan sesama murid dan guru serta pihak pengurusan sekolah.

Berikut dipaparkan gambar- gambar sepanjang program berlangsung.

Wajah-wajah yang diraikan. 

Hadiah disampaikan oleh Puan Guru Besar kepada murid-murid sesi pagi

Penolong Kanan Petang, Puan Jumilah Ahmad menyampaikan hadiah kepada murid- murid sesi petang

Program Guru Penyayang (Aktiviti Mengalu-alukan Kehadiran Murid Bulan September 2017)

Amalan Guru Penyayang telah dilaksanakan secara berterusan dan menjadi budaya guru di sekolah ini. Guru-guru akan menyambut dan mengalu-alukan kehadiran murid di pintu pagar A dan B mengikut giliran yang telah disusun oleh pihak Jawatankuasa Guru Penyayang.

Tarikh pelaksanaan : Setiap hari waktu persekolahan
Masa : 7.00 pagi hingga 7.20 pagi (sesi pagi)
            1.00 tengah hari hingga 1.20 tengah hari (sesi petang)

Puan Norsiah sedang bersalam dengan murid sesi pagi di pagar A

Murid sedang bersalam dengan Puan Rosmawati Desa di pagar B

Puan Musaliha menyambut kedatangan murid dengan penuh kemesraan

Puan Suriyana sedang mengalu-alukan kehadiran murid sesi petang di pagar B

Thursday, September 28, 2017

Program Anugerah Dan Bicara Tokoh Dasar Warga Emas Negara (DWEN) Peringkat Daerah Sepang 2017

Program Anugerah Dan Bicara Tokoh DWEN peringkat Daerah Sepang 2017 ini adalah anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Sepang dengan kerjasama Majlis Guru Kaunseling Daerah Sepang dan SMK Sungai Rawang.

Berikut adalah butiran berkaitan program tersebut:
Tarikh: 28 September 2017
Tempat: Dewan Pusat Aktiviti Homestay Banghuris, Sg Pelek, Sepang.
Tokoh Jemputan: Tan Sri Datin Paduka Seri Hajah Zaleha Binti Ismail
Kehadiran wakil murid SKTPP:
1. Malique Imran bin Khairulnizam - 6 Zuhrah
2. Danish Akhtar Ameir bin Amirul Razwan - 6 Zuhal

Objektif Program:
1. Memantapkan pengetahuan, kepakaran dan pengalaman Tokoh Warga Emas bagi meningkatkan kerohanian, sahsiah dan jati diri dalam kalangan murid dan remaja.
2. Membudayakan nilai, sikap dan amalan saling menghormati, menghargai serta menyayangi sesama insan.
3. Mewujudkan jalinan kerjasama untuk menyampaikan maklumat berkaitan kerjaya di bidang kemahiran.

Atur Cara Majlis:
8.00 pagi: Pendaftaran
9.00 pagi: Taklimat halatuju pendidikan Kerjaya aliran kemahiran
10.00 pagi: Ketibaan Tetamu Jemputan dan Bacaan Doa
10.15 pagi: Persembahan Sketsa
11.00 pagi: Bicara Tokoh oleh YBhg Tan Sri Datin Paduka Seri Hajah Zaleha Binti Ismail
12.00 tgh.hari: Demonstrasi Pendidikan Kemahiran

Berikut adalah gambar-gambar aktiviti semasa program:


Malique Imran dan Danish Akhtar Ameir mewakili murid SKTPP ke program ini

Melihat demonstrasi kerjaya bidang kemahiran

Tokoh Dasar Warga Emas Negara (Tan Sri Datin Paduka Seri Hajah Zaleha Binti Ismail

Suasana di Dewan Pusat Aktiviti Homestay Banghuris

Lagi laporan program DWEN ini dalam blog Bimbingan dan Kaunseling SKTPP di sini.

Wednesday, September 27, 2017

Kejohanan Hoki Bawah 11 Tahun MSSD Sepang 2017

Pada 27 September 2017, SK Taman Putra Perdana telah menyertai Kejohanan Hoki Bawah 11 Tahun Majlis Sukan Sekolah Daerah Sepang 2017. SKTPP telah menghantar dua kumpulan iaitu lelaki dan perempuan. Kejohanan hoki ini berlangsung di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia. SKTPP telah berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir bagi kumpulan lelaki dan peringkat akhir bagi kumpulan perempuan.
       Alhamdulillah, SKTPP telah menjadi juara keseluruhan bagi kumpulan perempuan dan kumpulan lelaki berjaya mendapat tempat ketiga setelah tewas kepada SJKT Sepang dan SK Kota Warisan. Semoga kejayaan ini akan terus menyuntik semangat buat murid-murid agar terus bergiat aktif dalam sukan seperti hoki. Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah diucapkan kepada pemain dan juga jurulatih!

Perlawanan hoki antara kumpulan perempuan

Perlawanan hoki antara kumpulan lelaki
SKTPP menjadi juara bagi kumpulan perempuan dan tempat ketiga bagi kumpulan lelaki. Tahniah!

Program Latihan Kecemasan dan Kebakaran (Sesi petang)

Pada 27 September 2017, Program Latihan Kecemasan dan Kebakaran peringkat Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana telah berlangsung dengan jayanya. Program ini dijalankan oleh Unit Keselamatan Sekolah, Sekolah Taman Putra Perdana (SKTPP) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Cyberjaya. Pihak jabatan bomba hadir dengan kekuatan lima orang anggota serta sebuah jentera bomba. 
             Menurut Tuan Rosman bin Abdul Rahman, Pegawai Kanan II dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, latihan pengungsian bangunan yang dijalankan oleh Unit Keselamatan Sekolah SKTPP telah dilaksanakan dengan jayanya. Namun beliau menyatakan teguran terhadap sikap murid-murid yang gemar berlari semasa menuju ke kawasan berkumpul. Sikap ini berisiko mengundang kemalangan seperti jatuh atau berlanggar dengan rakan. Sebaliknya, murid-murid harus berjalan pantas dengan teratur dalam kumpulan kelas masing-masing. 
             Program pada petang itu diteruskan dengan taklimat oleh Tuan Rosman berkaitan situasi kebakaran dan simulasi memadam kebakaran. Puan Jumilah bersama beberapa orang guru turut terlibat dalam simulasi memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api. Pegawai-pegawai bomba berkongsi langkah-langkah yang perlu dipatuhi semasa mengendalikan alat pemadam api. 
             Seterusnya murid-murid diberi peluang menaiki jentera bomba dengan kawalan guru-guru. 
                                               
Warga sekolah berkumpul di padang setelah loceng kecemasan dibunyikan.

Taklimat oleh Tuan Rosman. 





Guru-guru diberi peluang menjadi pegawai bomba.


Murid-murid serta guru-guru tidak melepaskan peluang bergambar bersama jentera bomba. 

Disediakan oleh, 
Nor Amirulfitri bin Othman

Program Latihan Kecemasan dan Kebakaran (Sesi Pagi)

27 Sept - Pada hari ini Unit Keselamatan sekolah telah mengadakan latihan kecemasan dan kebakaran bagi sesi 2017. Program ini dijalankan dengan kerjasama dari Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya. Sebuah jentera bomba bersama lima anggota bomba hadir untuk menjalankan aktiviti simulasi kebakaran. Melalui latihan seperti ini diharap semua warga sekolah mendapat info dan sentiasa bersiap sedia dengan langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku kebakaran di kawasan sekolah.
Sebelum aktiviti simulasi kebakaran dijalankan, semua murid dan guru diberi taklimat ringkas oleh Pegawai Kanan II, Tuan Rosman Bin Abdul Rahman dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya tentang cara-cara mengendalikan latihan kecemasan.

Gambar-gambar sepanjang program:

























Tuan Rosman membuat refleksi dengan memaklumkan latihan kecemasan dan kebakaran pada hari ini telah berjaya mencapai objektifnya. Di samping itu, murid-murid telah berkumpul dalam jangka masa yang singkat iaitu 4 minit setelah mendengar loceng kecemasan. Beliau juga berpesan sekiranya berlaku sebarang waktu kecemasan murid-murid dminta berjalan dengan cepat dan tidak berlari-lari semasa bergerak ke kawasan lapang.