Kejadian penyakit berjangkit terutamanya penyakit cegahan vaksin
adalah merupakan salah satu penyebab utama morbiditi dan mortaliti
kanak-kanak. Imunisasi adalah merupakan satu cara yang paling berkesan
dalam menangani kejadian penyakit berjangkit dalam kalangan kanak-kanak.
Perkhidmatan imunisasi sekolah adalah salah satu perkhidmatan yang
diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada murid di
sekolah dalam usaha untuk mencegah penularan penyakit berjangkit.
Dalam keadaan di mana Malaysia sedang menghadapi wabak COVID-19 dan
tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan
Pemulihan(PKPP), penyampaian perkhidmatan imunisasi di sekolah tidak
dapat dijalankan seperti biasa kerana sekolah-sekolah masih lagi ditutup
dan sesi persekolahan masih lagi belum bermula. Ini akan melibatkan
pemberian imunisasi mencegah penyakit demam campak (Measles), Rubella,
Difteria dan kancing gigi (Tetanus) untuk murid Tahun 1, imunisasi Human
Papillomavirus (HPV) bagi murid perempuan Tingkatan 1 dan imunisasi ATT
(dos tambahan vaksin Tetanus) bagi murid Tingkatan 3.
KKM ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan imunisasi kepada murid
sekolah masih lagi diteruskan dan semasa tempoh penutupan sekolah pada
tahun 2020, di mana perkhidmatan imunisasi ini akan diberikan di
fasiliti kesihatan kerajaan seperti Klinik Kesihatan atau Klinik
Kesihatan Ibu dan Anak atau Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan.
Pada tahun 2020, keutamaan diberikan kepada pemberian imunisasi untuk
murid Tahun 1.
Sehubungan dengan itu, ibu bapa atau penjaga diminta membawa
anak-anak yang berada dalam Tahun 1 untuk mendapatkan imunisasi di
fasiliti kesihatan berhampiran apabila menerima jadual temujanji
perkhidmatan imunisasi melalui pihak sekolah. Untuk tujuan ini, KKM juga
telah mendapatkan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia untuk
membantu dalam menyelaras pemakluman kepada ibu bapa atau penjaga
mengenai perkhidmatan imunisasi ini.
Dalam keadaan di mana Malaysia sedang dalam usaha membendung
penularan jangkitan COVID-19, ibu bapa khususnya dan masyarakat amnya
diseru untuk bersama-sama KKM dan memainkan peranan masing-masing dalam
usaha mencegah penyakit berjangkit. Sokongan berterusan bagi program
imunisasi daripada semua pihak adalah sangat penting demi melindungi
kesihatan dan masa depan murid sekolah kerana mereka adalah aset negara.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
15 MEI 2020
https://kpkesihatan.com/2020/05/15/kenyataan-akhbar-kpk-15-mei-2020-pemberian-perkhidmatan-imunisasi-kepada-murid-sekolah-di-klinik-kesihatan/
Di bawah ini pula adalah jadual suntikan yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang. Ibu bapa murid Tahun 1 boleh merujuk jadual tersebut untuk tindakan. Sebarang pertanyaan, boleh dirujuk dengan guru kelas anak masing-masing. Harap maklum.
No comments:
Post a Comment