... SELAMAT DATANG KE BLOG SKTPP...TEL: 03-83119204...FAX: 03-83119234...SELAMAT DATANG KE BLOG SKTPP...TEL: 03-83119204...FAX: 03-83119234...SELAMAT DATANG KE BLOG SKTPP...TEL: 03-83119204...FAX: 03-83119234...

Wednesday, March 13, 2019

Jaulah Imtiyaz 5.0 Panitia Bahasa Arab SK Taman Putra Perdana



Pada hari Rabu bersamaan 13 Mac 2019, Panitia Bahasa Arab Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana telah mengadakan Jaulah Imtiyaz buat kali yang ke-5. Alhamdulillah,  atas kejayaan murid-murid dalam Peperiksaan Akhir Tahun 2018, Panitia Bahasa Arab SK Taman Putra Perdana dengan sukacitanya ingin meraikan kejayaan murid- murid cemerlang Bahasa Arab dengan mengadakan lawatan sambil belajar bagi murid-murid cemerlang serta beberapa kriteria yang telah ditentukan. Penganjuran Jaulah Imtiyaz 5.0 kali ini memilih lokasi sekitar Selangor dan Putrajaya merangkumi lima buah tempat yang telah dipilih iaitu:

  • Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi
  • Nasyrul Quran, Putrajaya
  • Masjid Putra, Putrajaya
  • Farm In The City, Seri Kembangan
  • Kilang Coklat Beryl’s, Seri Kembangan


Antara objektif penganjuran Jaulah Imtiyaz 5.0 ini adalah bertujuan:
  • Memberi pendedahan kepada murid-murid cemerlang Bahasa Arab tentang kecemerlangan Bahasa Arab di peringkat global.
  • Mengeratkan silaturahim dan kerjasama antara murid, guru dan pihak- pihak yang terbabit.
  • Menyuntik motivasi murid-murid agar lebih berusaha gigih untuk mengaplikasikan bahasa Arab dalam kehidupan seharian dan profesion.


Para peserta Jaulah Imtiyaz 5.0 bergambar kenangan sebelum bertolak ke destinasi yang pertama



Para peserta telah berkumpul di Laluan Patriotik SK Taman Putra Perdana pada jam 7.00 pagi. Setelah kesemua peserta dan kelengkapan mencukupi, rombongan Jaulah Imtiyaz sebanyak 2 bas telah bergerak ke lokasi yang pertama iaitu Perpustakaan Tun Sri Lanang yang terletak di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.  Ketibaan peserta pada jam 8.45 pagi telah disambut oleh petugas-petugas perpustakaan dan kemudian dibawa ke Ruang Utama Perpustakaan Tun Sri Lanang. Pihak Perpustakaan mengalu-alukan kedatangan peserta rombongan ke tempat mereka dan peserta telah diberikan taklimat ringkas mengenai sejarah Perpustakaan Tun Sri yang dilihat lebih kepada membentuk minat pelajar agar menyukai dan mencintai ilmu pengetahuan melalui pembacaan buku-buku ilmiah.

Jelas keterujaan peserta sewaktu tiba di Perpustakaan Tun Sri Lanang

Peserta Jaulah Imtiyaz mendengar penerangan daripada petugas perpustakaan

Peserta bergambar kenangan di ruangan yang disediakan di sudut perpustakaan



Beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kerana pihak sekolah kerana mempunyai inisiatif membuat lawatan sambil belajar yang mana ianya sangat bagus dalam membentuk minda yang positif sejak awal usia lagi dan boleh melihat hala tuju selepas ini secara praktikal.


Rombongan Jaulah Imtiyaz diteruskan lagi dengan sesi lawatan ke Perpustakaan Tun Sri Lanang. Para pelajar dilihat sangat seronok dan teruja dibawa melawat sekitar kawasan perpustakaan. Para peserta telah diiringi oleh petugas perpustakaan itu sendiri. Bukan itu sahaja, peserta telah dibawa melihat ke Bilik Kehakiman di mana bilik tersebut merupakan tempat untuk pelajar-pelajar UKM membuat latihan kehakiman yang merupakan mata pelajaran yang wajib diambil oleh para pelajar jurusan undang-undang dan syariah.



Gelagat guru pengiring sewaktu berada di bilik kehakiman 

peserta bergambar kenangan di bilik kehakiman

Penyampaian cenderahati daripada pihak sekolah kepada Perpustakaan Tun Sri Lanang


Destinasi Jaulah Imtiyaz yang seterusnya ialah Kilang Coklat Beryl’s. sudah menjadi kelaziman bahawa kanak-kanak sukakan manisan. Oleh yang demikian, di Kilang coklat ini para peserta dapat membeli coklat-coklat yang disukai oleh mereka sebagai cenderahati kenang-kenangan yang boleh dibawa pulang.  
Hasil belian peserta di Kilang Coklat Beryl's

Peserta lelaki selesai membeli coklat sedang menunggu yang lain yang membeli coklat di dalam kedai

Peserta bergambar kenangan sebelum bergerak ke destinasi seterusnya.



Peserta teruja membeli coklat yang dijual


Selepas lawatan ke Kilang Coklat Beryl’s, rombongan seterusnya bergerak ke Nasyrul Quran yang terletak di Putrajaya. Nasyrul Quran merupakan sebuah pusat percetakan al-Quran bersepadu utama di rantau Asia Tenggara yang dibangunkan di atas tanah seluas 5.514 ekar di Presint 14, Wilayah Persekutuan Putrajaya. Kos keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM60 juta bagi tujuan pembinaan dan pembelian mesin cetak yang dibantu oleh Kerajaan melalui Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Kompleks ini dibina demi pelaksanaan cita-cita murni negara bagi memiliki sebuah pusat pengeluaran al-Quran bertaraf antarabangsa dan kedua terbesar di dunia.


Peserta bergambar kenangan setibanya di Nasyrul Quran, Putrajaya


Nasyrul Quran diilhamkan daripada perkataan Arab yang bermaksud “Penyebaran al-Quran”. Ia memberikan gambaran fungsi kompleks ini sebagai pusat penyebaran al-Quran bermula daripada bidang penyelidikan, percetakan, pentafsiran, penterjemahan dalam pelbagai bahasa, penerbitan dan seterusnya pengagihan al-Quran.


Nasyrul Quran telah dibina ini bukan untuk bersaing dengan negara pencetak lain tetapi merupakan bentuk sumbangan Malaysia dalam mengembang dan memartabatkan kitab suci umat Islam itu di persada dunia. Pengoperasian kompleks itu akan menjamin usaha menampung keperluan Al-Quran di peringkat domestik dan dunia kerana populasi umat Islam dijangka mencecah tiga bilion orang daripada sembilan bilion penduduk dunia pada 2050.


Di sini, para peserta telah diberi taklimat oleh petugas Nasyrul Quran dan kemudian dibawa melawat di sekitar kawasan tersebut. Banyak maklumat yang dapat diperolehi oleh peserta dan juga guru pengiring yang mana secara tidak langsung dapat menambahkan lagi pengetahuan disamping ilmu yang sedia ada diketahui. Pastinya peluang yang sangat manis diperolehi oleh semua peserta kerana pengalaman ini merupakan sesuatu yang sangat berharga dan tidak akan dilupakan.



Kilang percetakan Al-Quran

Pintu masuk ke dalam Nasyrul Quran

Ruangan dalam Nasyrul Quran

Guru pengiring bergambar di ruangan utama Nasyrul Quran

Peserta Jaulah Imtiyaz bergambar di ruangan utama Nasyrul Quran 

Penyampaian cenderahati daripada pihak sekolah



Seterusnya, lawatan diteruskan lagi ke destinasi yang seterusnya iaitu Masjid Putra, Putrajaya untuk berehat, makan tengah hari dan solat zohor. Setibanya di masjid, peserta jaulah menunaikan solat zohor berjemaah dengan diimamkan oleh Imam Besar Masjid tersebut. Kemudian, peserta jaulah telah dijamu dengan hidangan makanan tengah hari. Ahli jawatankuasa masjid bergotong royong untuk menyediakan juadah makan tengah hari yang sangat lazat. 


Peserta sedang menikmati hidangan tengah hari yang disediakan oleh Masjid Putra



Peserta perempuan memberikan perhatian semasa taklimat dijalankan


Selepas makan tengah hari, sesi taklimat telah dijalankan di Bilik Kuliah Utama. Pegawai Perhubungan Masjid Putra telah memberi penerangan berkaitan dengan sejarah pembinaan Masjid Putra dan keperluannya kepada penduduk Islam di sekitar kawasan tersebut. Seni bina masjid itu yang lain daripada yang lain meningkatkan rasa teruja semua peserta rombongan yang turut serta.

Sedikit sejarah berkaitan Masjid Putra:

  • Masjid Putra dinamakan sempena Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj yang merupakan salah satu mercu tanda utama di Putrajaya. Kedudukannya adalah bersebelahan dengan Dataran Perdana dan berhadapan dengan Tasik Putrajaya. Masjid ini mula dibina pada Jun 1997 dan siap serta diserahkan kepada JAKIM pada 1 September 1999 iaitu selama 2 tahun.
  • Keluasan masjid ini seluas 1.37 hektar. Kawasan masjid bermula di Pintu Utama sehinggalah ke dalam kawasan masjid. Manakala Dataran Putra dan Souq tidak berada dalam lingkungan kawasan masjid.
  • Arkitek yang membina masjid ini iaitu Yang  Berbahagia Dato’ Dr. Nik Mohamad Bin Mahmood dari Kumpulan Senireka Sdn. Bhd. Kos pembinaan masjid ini menelan belanja kira-kira RM250 juta dan kos penyelenggaraan sebanyak RM100 ribu. Pembinaan masjid ini berkonsepkan 2 konsep iaitu Timur Tengah dan Tradisional Melayu.
  • Masjid ini mulai dibangun pada tahun 1997 dan selesai dua tahun kemudian. Letaknya berhadapan dengan Tasik Putrajaya. Dari masjid ini, dapat dilihat dengan jelas keindahan tasik yang luas dan kawasan sekitar Putrajaya yang indah.
  • Kerana lokasinya yang berada di tepi tasik Putrajaya, sepintas lalu kelihatan Masjid Putra ini seperti masjid terapung. Di depan Masjid Putra, para pengunjung akan melihat sebuah pemandangan lapangan besar berbentuk persegi, dengan tiang-tiang bendera negara yang mewakili semua negeri di Malaysia.
  • Sebelum memasuki bangunan masjid, seseorang akan dihadapkan pada sebuah bangunan gerbang masjid yang sangat tinggi dan megah. Gerbang ini dilengkapi dengan hiasan berbentuk geometris yang merupakan ciri artifak Islam serta seni kaligrafi yang indah. Gerbang dibentuk mirip dengan gerbang pada Masjid Raja Hassan II di Casablanca, Marocco. Gerbang tersebut dibuat dengan material dari granit berwarna merah dipadu dengan kayu cengal bercorak coklat untuk meningkatkan corak dekorasi pada bahagian pintu, jendela, dan panel. Gerbang ini juga dilengkapi ruang informasi dan tangga menuju tempat wudhu di lantai dasar.


Peserta Jaulah Imtiyaz 5.0 bergambar kenangan di hadapan Masjid Putra sebelum bergerak ke lokasi terakhir

Akhir sekali, rombongan Jaulah Imtiyaz tiba ke destinasi yang terakhir iaitu Farm In The City yang terletak di Seri Kembangan. Di sana, peserta jaulah telah dibawa melihat kawasan sekitar yang menempatkan pelbagai jenis haiwan yang dapat dilihat dengan lebih dekat. Peserta juga dapat melihat pertunjukan haiwan seperti burung kakak tua yang sangat menarik dan mampu untuk mengikuti arahan penjaganya. Jelas kelihatan yang para peserta sangat teruja melihat pertunjukan tersebut. Bukan itu sahaja, banyak lagi haiwan yang dapat dilihat seperti ayam, arnab, kura-kura gergasi dan sebagainya.


Setibanya peserta di Farm In The City

Gelagat guru pengiring yang ceria 

Peserta kelihatan tidak takut melihat haiwan yang ada

Peserta melihat pertunjukan burung kakak tua yang menghiburkan

Peserta perempuan bergambar kenangan di photobooth yang disediakan di pintu masuk Farm In The City

Peserta Jaulah Imtiyaz 5.0 bergambar kenangan di Farm In The City



Tepat jam 6.40 petang, rombongan Jaulah Imtiyaz telah selamat tiba di sekolah. Kelihatan ibu bapa telah ramai menanti kepulangan anak-anak mereka daripada jaulah ini. Diharapkan agar aktiviti ini dapat memberi manfaat kepada semua peserta dan menjadi motivasi buat semua untuk mencipta kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment