Tarikh : 5 April 2019
Hari : Jumaat
Masa : 8.00 pagi
Tempat : Dewan Perdana, SK Taman Putra Perdana
Hari ini telah berlangsungnya satu program di bawah Panitia Pendidikan
Islam, SKTPP iaitu Sambutan Isra’ Mikraj peringkat sekolah bagi sesi pagi.
Program berbentuk ceramah keagamaan ini telah direncanakan bagi memberi
pendedahan serta ilmu pengetahuan yang baru di samping dapat mengingati semula
serta mengambil iktibar daripada peristiwa Isra’ Mikraj yang berlaku kepada
Baginda Rasulullah S.A.W.
Sebelum memulakan ceramah, program dimulai dengan bacaan Yassin yang
sudah menjadi kelaziman buat semua warga SKTPP setiap hari jumaat. Sebaik
sahaja selesai membaca Yassin, program diteruskan lagi dengan ceramah Isra’
Mikraj. Program ini dimulai dengan kata alu-aluan oleh Ustaz Ahmad Zubair Bin
Haji Muhammad Taib selaku pengerusi majlis dan diteruskan lagi dengan persembahan
nasyid yang disampaikan oleh Kumpulan Nasyid Al-Wijdaan. Mereka menyampaikan
dua buah lagu yang bertemakan Al-Quran dan Rasullullah S.A.W.
|
Ustaz Ahmad Zubair Bin Haji Muhammad Taib memulakan majlis dengan memberi ucapan alu-aluan pembuka Sambutan Isra' Mikraj |
|
Pelajar yang hadir memeriahkan sambutan yang diadakan |
|
Kumpulan nasyid Al-Wijdaan membuat persembahan dua buah lagu yang bertemakan Al-Quran dan Rasulullah SA.W |
Kini, tibalah masa untuk slot yang dinanti-nantikan iaitu perkongsian
Peristiwa Isra’ dan Mikraj yang telah disampaikan oleh gabungan dan padanan
terbaik dua orang guru SKTPP iaitu Ustaz Zurilazman Bin Abdullah Dan Ustaz
Mahadir Bin Midun. Mereka sangat bersemangat dalam menyampaikan ceramah
sehinggakan pelajar memberikan sepenuh perhatian dan fokus dalam mendengar
segala intipati yang telah disampaikan. Ceramah yang disampaikan dalam bentuk
bual bicara dan santai menjadikan sesi ceramah ini memberi kesan yang mendalam
kepada semua warga SKTPP.
|
Ustaz Zurilazman Bin Abdullah selaku penceramah |
|
Ustaz Mahadir Bin Midun yang juga penceramah bersama sedang menyampaikan perkongsian berkenaan peristiwa yang berlaku semasa Isra' Mikraj |
|
Barisan pentadbir yang hadir memberi sokongan atas program yang dijalankan |
|
Barisan tenaga pengajar yang turut sama di dalam Program Sambutan Isra' Mikraj |
|
Pelajar memberi perhatian semasa ceramah disampaikan |
Sedikit bingkisan berkaitan dengan Peristiwa Isra’ Mikraj ini adalah
seperti berikut:
- Peristiwa
Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Nabi
Muhammad S.A.W dari Mekah ke Madinah. Apabila bercerita tentang
peristiwa Isra’ dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah
perjalanan Rasulullah S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail
yang boleh dibahagikan kepada dua fasa iaitu Isra’ yakni perjalanan
Nabi Muhammad S.A.W menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram
di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin dan Mikraj
iaitu perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha di langit yang
ketujuh. Perjalanan Nabi Muhammad S.A.W ini
telah diabadikan oleh Allah di dalam Al-Quran dalam surah Al-Israa ayat 1.
- Peristiwa
Isra’ dan Mikraj telah memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh
pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa
mengingati Allah S.W.T dan takut kepada kekuasaan-Nya.
- Seandainya
peristiwa dalam Isra’ dan Mikraj ini dipelajari dan benar-benar dihayati, manusia
mampu mengelakkan diri daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan.
- Peristiwa
Isra’ dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat
atau kekuasaan Allah S.W.T. yang ditunjukkan melalui bukti-bukti kekuasaan
dan kebesaranNya kepada Baginda Rasulullah S.A.W.
Selepas berakhirnya perkongsian
daripada kedua-dua penceramah, program telah diteruskan dengan kuiz yang
mana bertujuan untuk menguji sejauh mana penguasaan pelajar dalam ceramah yang
disampaikan. Kelihatan semua murid sedaya upaya berusaha untuk menjawab
soalan-soalan yang dikemukakan. Pelajar yang dapat menjawab soalan dengan betul
diberikan hadiah yang disediakan oleh Panitia Pendidikan Islam.
|
Pelajar menerima hadiah kuiz daripada Ustaz Zurilazman Bin Abdullah sambil diperhatikan oleh Ustaz Mahadir Bin Midun |
|
Pelajar yang lain sedang menjawab soalan yang dikemukakan |
|
Antara ragam dan gelagat pelajar yang mencuba untuk menjawab kuiz dengan penuh semangat dan keterujaan |
|
Pelajar perempuan turut sama diberikan peluang untuk menjawab kuiz yang diberikan |
Sebelum majlis bersurai, majlis penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata telah disampaikan oleh Puan Rosmah Binti Jamat selaku Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SKTPP kepada kedua-dua penceramah sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti yang telah diberikan dalam membentuk individu pelajar yang mempunyai nilai-nilai murni yang baik.
|
Ustaz Zurilazman Bin Abdullah menerima sijil penghargaan daripada Penolong Kanan HEM; Puan Rosmah Binti Jamat |
|
Ustaz Mahadir Bin Midun juga menerima sijil penghargaan dan cenderamata |
Alhamdulillah, atas izinNYA program ini
telah berjalan dengan lancar. Semoga dengan penganjuran program seperti ini
dapat menyemai sikap cintakan ilmu pengetahuan dalam kalangan pelajar di
samping dapat menghayati dan mengambil iktibar daripada peristiwa yang telah
berlaku. Sekalung penghargaan kepada barisan pentadbir yang sentiasa memberi
sokongan yang padu kepada Panitia Pendidikan Islam dalam menjayakan semua
program yang telah dirancang. Tidak dilupakan juga buat semua warga SKTPP yang
telah memberi kerjasama secara langsung mahupun tidak langsung. Semoga SKTPP
akan terus maju pada masa akan datang.
|
Sekalung penghargaan untuk barisan jawatankuasa pelaksana yang bertungkus lumus dalam menjayakan program ini
|
“UJANA ILMU WADAH KECEMERLANGAN”
No comments:
Post a Comment