Saturday, October 7, 2017

Program Motivasi Pelajar Dan Ibu Bapa "Inspirasi Juara" Bersama Ahli Sukan Negara

Pada hari Sabtu bersamaan 7 Oktober 2017, telah diadakan satu program motivasi pelajar dan ibu bapa “Inspirasi Juara” bersama ahli sukan negara yang telah mencapai kecemerlangan yang membanggakan di dalam bidang sukan dan pelajaran. Program ini bertempat di Auditorium Pusat Kecemerlangan PROTON, (COE), Subang Jaya, Selangor.

Program ini dianjurkan oleh pihak PROTON sebagai satu langkah tanggungjawab sosial dan bagi memelihara hubungan baik antara PROTON dan pihak sekolah. Kelab PROTON mengambil inisiatif mengadakan program motivasi untuk pelajar dan ibu bapa “Inspirasi Juara” bersama ikon negara yang terdiri daripada atlet terjun negara iaitu Brian Nickson Lomas, Leong Mun Yee serta Pandalela Rinong. Selain daripada itu, atlet bola jaring yang semakin menyerlah iaitu Annajwa turut sama memberi sokongan dalam memberi semangat dan motivasi kepada jemputan yang hadir. 

Program ini juga turut diserikan dengan penampilan istimewa oleh Datuk Zaiton Othman yang kini menyandang jawatan sebagai Pesuruhjaya Sukan Negara. Bukan itu sahaja, seorang tetamu khas turut hadir menzahirkan sokongannya terhadap program ini iaitu Encik Yusri Bin Yusuf, Pengarah Pengurusan Strategik Korporat PROTON.

Program ini telah disertai oleh 42 orang pelajar yang kesemuanya merupakan pelajar yang bergiat aktif dalam bidang sukan di Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana. Pelajar-pelajar ini terlibat dalam sukan kriket, bola baling, hoki dan bola jaring. Seramai 4 orang guru pengiring turut sama menyertai program ini yang merupakan jurulatih dan guru pembimbing bagi sukan-sukan tersebut.

Setibanya di sana, kesemua pelajar telah disambut baik oleh pegawai yang menguruskan penyertaan pelajar dan kemudiannya dibawa melawat pameran dan koleksi keluaran PROTON daripada model kereta yang pertama iaitu kereta Saga sehinggalah kepada keluaran yang terbaru seperti Proton Ertiga, Perdana, Persona dan banyak lagi. Keterujaan pelajar melihat kesemua jenama keluaran Proton dapat dilihat melalui semangat yang mereka tunjukkan semasa pegawai yang bertugas memberi penerangan tentang model keluaran mereka.

Para pelajar SK Taman Putra Perdana selamat tiba di Auditorium Pusat Kecemerlangan PROTON

Cikgu Izwan merupakan salah seorang guru pengiring yang menyertai rombongan

Sebahagian pelajar perempuan yang mengikuti pogram ini

Sebahagian pelajar lelaki yang turut sama dalam program motivasi

Pelajar bergambar kenangan dengan kereta yang dipamerkan

Pelajar melihat kereta keluaran PROTON dengan lebih dekat

Enjin kenderaan PROTON turut dipamerkan

Pegawai memberi penerangan tentang kereta yang dipamerkan

Pelajar bergambar kenangan 

Program bersama dengan pelajar dan ibu bapa dimulakan dengan sesi perkongsian oleh Datuk Zaiton Othman. Sedikit biodata tentang kegemilangannya, beliau merupakan jagoan dalam acara heptathlon serta 400 meter semasa era kegemilangannya. Beliau juga dikenali dengan dengan jolokan “wanita besi” dan merupakan pemegang rekod kebangsaan heptathlon di Sukan SEA Manila 1981. Beliau memenangi anugerah Olahragawati Kebangsaan pada tahun 1982.

Sesi perkongsian diteruskan lagi bersama dengan penerjun negara iaitu Brian Nickson Lomas. Beliau merupakan atlet Malaysia termuda yang melayakkan diri ke sukan Olimpik ketika berumur 14 tahun dan merupakan atlet pertama yang memenangi pingat emas acara 3 meter papan anjal pada Kejohanan Dunia yang berlangsung di Brazil pada tahun 2004.

Bukan sahaja atlet penerjun lelaki yang turut serta dalam program ini, malah dua orang penerjun wanita negara turut memeriahkan program. Mereka merupakan pasangan penerjun negara iaitu Pandalela Rinong dan Leong Mun Yee. Pandalela Rinong menjadi atlet wanita pertama Malaysia sebagai pembawa bendera di upacara pembukaan Sukan Olimpik Musim Panas di London pada tahun 2012 dan mencatat sejarah sebagai atlet wanita Malaysia pertama memenangi pingat olimpik (pingat gangsa) dalam acara terjunan 10 meter platform wanita.

Manakala pencapaian yang diperolehi oleh Leong Mun Yee ialah beliau berjaya merangkul pingat perak pada Fina Diving World Cup di Shanghai, China pada 2014 selain pingat gangsa pada acara 10 meter synchro di Sukan Asia Incheoon, Korea.

Perkongsian terakhir pula diberikan oleh Pengarah Pengurusan Strategik Korporat PROTON iaitu Encik Yusri Bin Yusuf yang memberi inspirasi kepada pelajar dan ibu bapa tentang perjalanan karier dalam bidang kerjayanya daripada seorang “eksekutif” menjadi seorang “direktor” yang disegani. 

Pegawai Kelab PROTON sedang memberikan taklimat ringkas sebelum program bermula

Pentas utama program motivasi

Bersama pengulas sukan terkenal, Haji Zainal Abidin Rawop selaku pengacara majlis

Datuk Zaiton Binti Othman 

Datuk Zaiton Binti Othman sedang memberikan ucapan serta motivasi kepada para pelajar

Brian Nickson Lomas, atlet terjun lelaki negara

Atlet terjun negara bersemangat dalam menyampaikan ucapannya kepada para hadirin yang datang

Annajwa, atlet bola jaring yang menyumbang emas dalam Sukan Sea 2017 yang lalu

Perkongsian daripada Annajwa

Detik kegemilangan Annajwa dalam sukan bola jaring

Encik Yusri Bin Yusuf, Pengarah Pengurusan Strategik Korporat PROTON

Encik Yusri Bin Yusuf sedang memberi input berguna kepada hadirin

Leong Mun Yee, atlet terjun wanita negara

Pengacara majlis bertanyakan soalan kepada atlet negara

Pandalela Rinong, atlet terjun wanita negara

Kewibawaan Pandalela Rinong terserlah melalui perkongsian motivasi beliau

Barisan atlet negara yang menyumbang bakti menaikkan motivasi pelajar

Apa yang boleh disimpulkan hasil daripada perkongsian-perkongsian dan motivasi daripada panel jemputan ialah:
  1.  Setiap pelajar perlulah mempunyai semangat yang kuat dalam melakukan sesuatu yang ingin dicapai baik dari aspek akademik mahupun kokurikulum.
  2.  Setiap pelajar perlu memastikan momentum dalam melakukan sesuatu sentiasa diperbaharui dan dikekalkan serta mengelakkan diri daripada mudah berputus asa apabila mengalami kegagalan. Sebaliknya menjadikan kegagalan sebagai satu pemangkin semangat untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang kerana kegagalan yang berlaku hari ini bukan bermaksud gagal untuk selama-lamanya.
  3. Tidak senang untuk menjadi senang, tidak susah untuk menjadi susah.
  4. Selagi mana kita mahukan sesuatu, ia bermaksud kita boleh pergi dengan lebih jauh untuk mencapai hasrat dan keinginan diri sendiri.
  5. Setiap pelajar perlu menanam di dalam diri masing-masing untuk sentiasa berusaha dengan lebih gigih dalam membangunkan diri.
  6. Setiap pelajar boleh membuat perancangan yang rapi tentang apa yang hendak dicapai dalam akademik dan kokurikulum.
  7. Setiap pelajar perlu menghormati ibu bapa dan mendapatkan restu dan berkat daripada mereka agar laluan mereka sentiasa dipermudahkan dan tercapai segala yang dihajatkan.
  8. Sebagai ibu bapa perlulah mendengar apa yang anak-anak mereka mahukan dan tidak menyekat atau menghalang keinginan anak-anak serta terus memberikan sokongan moral dan bimbingan supaya kecemerlangan anak-anak dapat dioptimumkan.
  9. Pihak sekolah boleh memberikan sokongan dari segi ilmu dan kemahiran kepada pelajar di sekolah.
Selepas sesi perkongsian dan motivasi daripada atlet-atlet negara, program diteruskan dengan penyampaian cenderahati daripada pihak PROTON sebagai kenang-kenangan dan menghargai jasa dan pengorbanan atlet negara dalam mencapai misi sukan negara. Setiap atlet telah menerima jaket PROTON yang diharap memberikan impak yang lebih baik dalam menjana kecemerlangan mereka dalam pelajaran dan sukan.

Brian Nikcson Lomas menerima jaket sumbangan PROTON

Penyampaian cenderahati kepada atlet terlibat

Annajwa turut menerima cenderahati dari Setiausaha Kelab PROTON

Atlet-atlet negara bergambar kenangan

Selepas tamat program, atlet-atlet sukan negara bergambar bersama tetamu dan hadirin yang datang meraikan mereka dan para pelajar tidak melepaskan peluang untuk bermesra dan mengambil gambar dengan ikon sukan negara dengan lebih dekat. Selepas sesi bergambar, semua hadirin menikmati hidangan yang telah disediakan dan tepat jam 3.40 petang, rombongan pelajar telah selamat sampai ke sekolah. Semoga segala pengisian yang diperolehi daripada program motivasi pelajar dan ibu bapa bersama ahli sukan negara ini dapat memberikan pengetahuan dan semangat baru kepada atlet sukan Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Syabas dan tahniah ikon sukan negara.

“MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA”

Disediakan oleh:
Syahirah Binti Tumar

No comments:

Post a Comment