Friday, June 8, 2018

Program Mahabbah Ramadhan 2018

Alhamdulillah, dengan izin dariNya, pada tarikh 08 Jun 2018, Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana melalui Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab telah berjaya menganjurkan satu program yang dinamakan sebagai Program Mahabbah Ramadhan. Program ini bertujuan untuk menyampaikan sumbangan kepada murid-murid SKTPP yang terdiri daripada anak-anak yatim dan juga murid yang kurang berkemampuan. Semoga dengan sumbangan yang diterima sedikit sebanyak dapat meringankan beban sempena menyambut hari lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi.

Program tahunan ini telah dihadiri oleh YDP PIBG SKTPP, iaitu Yang Berbahagia Tuan Haji Khairul Anuar bin Mohammad Suffian dan juga beberapa jemputan khas iaitu, ibu bapa penerima sumbangan.

Sebelum program ini bermula, diadakan majlis bacaan Yasin yang diketuai oleh Ustaz Ahmad Zubair. Setelah itu barulah program Mahabbah Ramadhan dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Mahadir bin Midun dengan harapan agar majlis yang akan berlangsung ini berjalan lancar dan mendapat keredhaan dan keberkatanNya.

Selepas itu, Guru Besar SKTPP, Pn. Hajjah Rohaidah binti Mohd Ali telah menyampaikan ucapannya dan diikuti dengan ucapan oleh YDP PIBG SKTPP, Yang Berbahagia Tuan Haji Khairul Anuar bin Mohammad Suffian.

Seterusnya majlis pemberian sumbangan mengisi ruang program. Anak-anak yatim dan anak-anak kurang berkemampuan ini menerima sumbangan berupa duit raya dan hamper biskut raya. Manakala seramai 15 orang murid terpilih pula menerima sumbangan daripada pihak YPEIM iaitu duit raya dan beg sekolah. Pihak sekolah juga berbesar hati menyampaikan sumbangan duit raya kepada pekerja Syarikat Keselamatan Sekolah dan Syarikat Pembersihan Sekolah yang diterima oleh wakil syarikat masing-masing.

Sepanjang program ini berlangsung, ia turut diselangselikan dengan beberapa acara, seperti bacaan Al-Quran dan terjemahannya oleh Adik Muhammad Luqman Hakim dan Nur Ainin Syakila, persembahan Multimedia 1 yang dijayakan oleh Ustaz Mohd Ishak Shairazi, persembahan Multimedia 2 yang dikelolakan oleh Ustazah Norziani dan persembahan Gema Selawat yang dijayakan oleh Ustaz Mohd Ishak Shairazi dan Ustaz Saiffol serta beberapa orang murid dari Tahun 4, 5 dan 6. Turut diadakan adalah penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang dari kelas PPKI dan Prasekolah sempena penyertaan mereka dalam bebrapa pertandingan sempena Program Ihya’ Ramadhan yang telah dilaksanakan sepanjang bulan Ramadhan yang lalu.

Selain itu, pihak Galeri Ilmu yang cukup sinonim dengan jenama majalah Islamik kanak-kanak iaitu “ASUH” melalui wakilnya,  Cik Nur Suriati binti Mohd Soffee turut memeriahkan majlis dengan ceramah beliau iaitu “Adab Berhari Raya”. Penampilan Maskot majalah “ASUH”, paling mendapat tempat di hati murid-murid.

Majlis Program Mahabbah Ramadhan 2018 diakhiri dengan majlis pemberian duit raya kepada semua murid SKTPP yang hadir dan majlis bersalam-salaman memohon ampun dan maaf sempena kehadiran Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Ramadhan bakal beransur pergi,
Syawal menjelma di Aidilfitri
Seikhlas hati menyusun jari
Memohon maaf kekhilafan diri

Semoga program ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang.


















Sesi bersama Majalah "ASUH"

Pemberian duit Raya dari pihak Sekolah dan sesi bersalam-salaman
sempena Syawal yang bakal menjelang tiba

Disediakan oleh:
Nor Azian Binti Ahmad

No comments:

Post a Comment