Tuesday, May 31, 2022

Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) Sesi 2022/23

Syukur alhamdulillah.... setelah dua tahun tiada majlis secara bersemuka, hari ini semua PRS diraikan dalam majlis yang sederhana tapi cukup bermakna iaitu Penyampaian Watikah Pelantikan PRS. Seramai 72 orang PRS yang terdiri daripada murid Tahun 3 hingga 6 dan juga murid PPKI terlibat dalam majlis hari ini. Kedua-dua sesi majlis hari ini dimulakan dengan ucapan aluan pengerusi majlis, bacaan doa untuk memperoleh berkat dan seterusnya ucapan daripada wakil pentadbir.

Buat pengetahuan semua, Pembimbing Rakan Sebaya berperanan sebagai rakan yang peka kepada perasaan orang lain dan keadaan sekeliling. Seiring dengan falsafahnya, "Bantu Diri Supaya Berupaya Membantu Orang Lain" dijadikan pegangan dalam membantu menggerakkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah, juga menjadi ikon kepada murid-murid lain.

Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Berikut rakaman gambar sepanjang majlis dijalankan.            

🔖Majlis Pelantikan PRS Sesi Pagi🔖








🔖Majlis Pelantikan PRS Sesi Petang🔖




Syabas dan tahniah buat semua ahli PRS yang cikgu sayangi. Semoga dengan pengiktirafan ini, para PRS sekolah terus komited dalam menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah seterusnya dapat membudayakan kasih mesra dan saling membantu dalam kalangan murid. Jadikan keikhlasan sebagai panduan dalam membentuk personaliti diri yang unggul.

Monday, May 30, 2022

Makluman Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah

Dimaklumkan bahawa Majlis Sambutan Hari Guru akan diadakan pada 3 Jun 2022 (Jumaat). Semua murid sesi pagi dan petang dikehendaki hadir sebelah pagi (1 sesi).

Sekolah akan bermula pada jam 7.20 pagi dan murid-murid akan balik pada pukul 12.00 tengah hari.

Kerjasama semua diucapkan terima kasih.



Disediakan oleh:
Nurul Azean binti Mohd Salleh

Friday, May 27, 2022

Laporan Bertugas Minggu Ke-9 (Sesi Petang)

Tarikh: 23 - 27 Mei 2022

Hari: Isnin - Jumaat

Masa: 1.10 tengah hari - 6.10 petang

Tema: Sayangi Sekolah

Senarai guru bertugas:

1. Encik Saifullah bin Mat Saupi (Ketua)

2. Cik Amalina binti Abd Hamid (Penolong)

3. Puan Nik Rosmaliza binti Nik Hussain

4. Puan Fadhilah binti Talib

5. Puan Siti Maziah binti Muhamad Tajuddin

6. Puan Nazahiyah binti Ab Rahman

7. Puan Nor Farhani binti Mukhtar

8. Puan Zabedah binti Othman

9. Cik Nurul Hanani binti Mohamad Kamal

10. Puan Khairiah binti Razali

Laporan

1.0 Nyanyian, Bacaan Doa dan Bacaan Ikrar

1.1 Perhimpunan rasmi sekolah buat kali pertama dimulakan dengan nyanyian tiga buah lagu iaitu Lagu Negaraku, Lagu Negeri Selangor dan Lagu Sekolah.

1.2 Bacaan doa dipimpin oleh Ustaz Abdul Hafiz. 

1.3 Bacaan Ikrar Rukunegara dan Ikrar Keselamatan Jalan Raya telah diketuai oleh Puan Nik Rosmaliza selaku pengacara majlis. 

1.4 Ikrar Murid telah diketuai oleh adik Wan Muhammad Adam dari kelas 3 Topaz



Bacaan doa disempurnakan oleh Ustaz Abdul Hafiz

Bacaan ikrar diketuai oleh Puan Nik Rosmaliza. 


Pengawas Sekolah membantu kelancaran majlis dengan menunjukkan cara mengangkat ikrar kepada murid-murid lain.

Murid mengangkat ikrar

2.0 Laporan Guru Bertugas Minggu Lepas

Laporan guru bertugas pada minggu lepas telah disampaikan oleh Ustaz Hadri. Intipati laporan adalah seperti berikut: 

  • Kehadiran murid ke sekolah selepas era pandemik adalah amat baik. Walau bagaimanapun, murid-murid diingatkan supaya mematuhi waktu datang yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Hal ini kerana terdapat beberapa murid yang kerap datang lewat ke sekolah sekaligus mengganggu kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran.
  • Kebersihan dan keceriaan sekolah berada pada tahap memuaskan. Masih terdapat murid yang membuang sampah di merata-rata tempat terutamanya di kantin dan dewan.
  • Program Sambutan Hari Raya yang telah diadakan pada minggu lepas berjalan lancar.  Murid sangat gembira dan disiplin murid sangat terkawal. Syabas!

3.0 Ucapan Guru Bertugas

Ucapan guru bertugas minggu ini telah disampaikan oleh Cikgu Nik Rosmaliza. Intipati ucapan adalah seperti yang berikut: 
  • Tema ucapan adalah Sayangi Sekolah.
  • Terdapat berbagai-bagai cara untuk menyatakan semangat menyayangi sekolah. Murid-murid mesti tanam dalam minda bahawa sekolah adalah tempat mulia yang harus dihormati. 
  • Murid-murid perlu menghormati guru dan warga sekolah. Sentiasa jaga tingkah laku dan tutur kata dengan bercakap sopan dan patuh pada arahan dan undang- undang sekolah. 
  • Murid-murid juga mesti sentiasa menjaga kebersihan dan keceriaan sekolah dengan tidak membuang sampah di merata-rata tempat, jaga kebersihan kelas dan makan dengan tertib di kantin semasa waktu rehat. 

4.0 Ucapan Puan Guru Besar

Puan Hajah Rohaidah selaku Guru Besar memulakan ucapan dengan menyatakan perasaan gembira apabila Perhimpunan Rasmi Sekolah dapat diadakan semula setelah hampir dua tahun tidak dibenarkan.
Intipati ucapan beliau adalah seperti yang berikut:
  • Perhimpunan adalah medium di mana segala maklumat, ucapan yang disampaikan oleh guru dapat didengari oleh semua murid & diambil tindakan yang sewajarnya. 
  • Perhimpunan juga merupakan pentas berkongsi kejayaan dan pencapaian warga sekolah. Kejayaan terkini yang dirangkul oleh sekolah ialah melalui kriket SRCC dalam Pertandingan Persahabatan menentang pasukan Wanita Kebangsaan Bawah 19 Tahun
  • Kita juga telah memasuki pertandingan Anugerah Pengurusan SPBT Cemerlang Peringkat Negeri Selangor. Semoga berjaya.
  • Murid-murid diminta belajar & menghafal nyanyian tiga buah lagu rasmi iaitu Lagu Negaraku, Lagu Negeri Selangor dan Lagu Sekolah. 
  • Murid-murid diwajibkan mematuhi waktu datang dan balik sekolah yang telah ditetapkan.
Puan Hajah Rohaidah sedang menyampaikan ucapan. 

Dengan ucapan Puan Guru Besar, maka berakhirlah Perhimpunan Rasmi Sesi Petang.



Laporan disediakan oleh:
Nazahiyah Ab Rahman

Laporan Bertugas Minggu Ke-9 (Sesi Pagi)

Tarikh: 23 Mei 2022 - 27 Mei 2022

Hari: Isnin - Jumaat

Masa: 7.30 pagi - 1.00 petang

Guru bertugas pada minggu ke-9 (Kumpulan C)

Senarai Nama Guru Bertugas:

  1. Rosmizawati binti Yusub (K) 
  2. Syed Farhan Hanafi bin Syed Abdullah (P)
  3. Faridatul-Akmal binti Ismail
  4. Junaidah binti Rus
  5. Nur Murni binti Abdullah
  6. Nurul Iman binti Illyas
  7. Ahmad Musrizuan bin Daud 
  8. Jamunarani a/p Bhoja Rajan
  9. Mazzaini binti Muda
  10. Mohd. Azarul bin Mohd. Mokhtar
  11. Muhammad Afiq bin Azli
  12. Siti Fatimah binti Wan Yaacob 
    Minggu ke-9 bermula dengan sesi perhimpunan buat kali pertama bagi persekolahan sesi 2022/2023 setelah negara memasuki peringkat endemik bagi wabak Covid-19. Sesi perhimpunan dimulakan dengan bacaan doa, nyanyian lagu 'Negaraku', lagu negeri Selangor dan lagu sekolah. Bacaan ikrar 'Rukun Negara' dan ikrar keselamatan jalan raya dipimpin oleh Ustaz Syed Farhan manakala ikrar murid dipimpin oleh Ketua Pengawas. Kemudian, guru bertugas pada minggu ke-8 iaitu Puan Rosmawati binti Md Desa menyampaikan laporan sepanjang minggu lepas. 

Ustaz Syed Farhan memimpin bacaan ikrar

    Perhimpunan diteruskan dengan ucapan daripada guru bertugas iaitu Ustaz Syed Farhan. Beliau mengucapkan tahniah atas kehadiran semua murid dan mengingati murid-murid agar membawa buku komunikasi untuk mencatat perkataan bagi "Learn A Word A Day" (LAWAD). Tema untuk minggu ke-9 ialah 'Sayangi Sekolah Kita'. Dalam ucapan beliau, antara cara bagi murid menyayangi sekolah ialah memelihara harta benda sekolah seperti meja dan kerusi. Kedua, murid perlu mematuhi peraturan dan menjaga disiplin di sekolah seperti menjaga kekemasan diri serta bertingkah laku dengan baik sesama warga sekolah. Akhir sekali, beliau menekankan kesungguhan dan keazaman murid dalam mencapai kecemerlangan akademik dan kokurikulum seperti menyertai pelbagai pertandingan untuk mewakili sekolah.

    LAWAD untuk hari Isnin ialah seperti berikut:
  • Bahasa Melayu: "ambil berat" bermaksud "memberi perhatian"
  • Bahasa Inggeris: "badge" bermaksud "lencana"
  • Bahasa Arab: "Yanadiru" bermaksud "Januari"

Murid duduk mengikut kelas masing-masing


Suasana di tapak perhimpunan sekolah

Murid-murid membaca doa

Murid-murid PPKI

Guru-guru segak dengan berbusana warna jingga

    Seterusnya, perhimpunan disambung dengan ucapan daripada Cikgu Roslinda binti Mansor selaku guru Jawatankuasa Unit Pengawas. Beliau memperkenalkan Ketua Pengawas iaitu Muhammad Adam Syaqir bin Muhammad Hafiz dari kelas 6 Ibnu Thufail dan Penolong Ketua Pengawas iaitu Nur Irdina Sofiy binti Mohammad Sharil, juga dari kelas 6 Ibnu Thufail. Beliau berharap semua murid dapat menghormati pengawas-pengawas sekolah serta memberi kerjasama yang baik.

Ketua Pengawas SKTPP 2022/ 2023

Penolong Ketua Pengawas SKTPP 2022/ 2023


Puan Roslinda bersama-sama Ketua Pengawas
dan Penolong Ketua Pengawas

    Sesi perhimpunan diteruskan dengan ucapan daripada Guru Besar, Puan Hajah Rohaidah binti Mohd Ali. Dalam ucapannya, beliau mengingati murid-murid supaya kekal memakai pelitup muka dalam ruang bertutup serta memaklumkan bahawa semua murid perlu memakai uniform sekolah lengkap pada hari Isnin ketika perhimpunan rasmi sekolah. Beliau turut menyampaikan tujuan perhimpunan rasmi sekolah iaitu pertama, mendengar amanat dan ucapan daripada guru bertugas dan pentadbir. Kedua, perhimpunan merupakan ruang mendengar program dan aktiviti sekolah yang telah dan bakal dijalankan. Ketiga, perhimpunan menjadi ruang berkongsi kejayaan dan pencapaian sekolah. Keempat, memberi peluang kepada semua murid menyaksikan penyampaian hadiah dan piala bagi apa-apa pertandingan.

    Guru Besar juga memaklumkan bahawa pasukan Sepang Rangers Cricket Club (SRCC) bawah 15 tahun akan bertanding dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan wanita kebangsaan bawah 19 tahun dari Malaysian Cricket Association pada hari Isnin, 23 Mei. Semoga SRCC berjaya. Beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua warga SKTPP setelah bertungkus-lumus dalam pertandingan Anugerah SPBT Cemerlang Negeri Selangor dan berharap sekolah akan beroleh kejayaan. Akhir sekali, beliau berharap supaya sesi persekolahan bersemuka berjalan dengan baik dan lancar. Perhimpunan tamat sekitar jam 8.30 pagi.

Guru Besar menyampaikan ucapan

    Bagi persekolahan sesi pagi minggu ini, kedatangan murid-murid disambut mesra oleh guru-guru bertugas di Pagar A dan Pagar B. Seperti biasa, murid-murid diingatkan untuk mengamalkan kebersihan dan kerap membasuh tangan. Ketika waktu pulang, murid-murid berjalan riang mengikut laluan dan pintu pagar yang telah ditetapkan. Alhamdulillah, perjalanan persekolahan sesi pagi minggu ini berjalan lancar sama ada di kantin, bilik darjah, dewan terbuka mahupun di padang sekolah.

Murid-murid tiba di Pagar A

Murid-murid cuci tangan di singki sebelum ke kelas

Tunggu giliran yee..

Murid-murid tiba di Pagar B


Berkumpul di dewan terbuka sebelum ke kelas


Jom kita masuk kelas!

Loceng sekolah dah berbunyi. Jom balik!

    Pada minggu ini juga, SKTPP mengadakan jamuan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Guru buat semua pentadbir, guru dan anggota kumpulan pelaksana pada hari Khamis, 26 Mei 2022.

Ucapan dari Pengerusi KKGK, Cikgu Azarul

Para kerani sekolah tersenyum malu 

Cikgu-cikgu berposing sebelum menikmati juadah

Sesiapa yang ingin rasa lemang dan rendang
boleh ke meja Kumpulan A :)

Cikgu-cikgu lelaki ambil peluang bergambar jugak..

       Jutaan terima kasih dan tahniah diucapkan kepada semua guru bertugas bagi Kumpulan C atas kerjasama dan komitmen yang mantap sepanjang melaksanakan tugas pada minggu ke-9. Semoga kita semua terus istiqamah dalam mendidik anak bangsa dan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. 


Disediakan oleh:
Muhammad Afiq bin Azli

Wednesday, May 25, 2022

Program Kursus Kepimpinan Kokurikulum Murid 2022

Barisan kepimpinan Unit Beruniform,Kelab/Persatuan dan Sukan/Permainan sekolah adalah para pelajar yang terpilih yang diberikan tanggungjawab untuk membantu pihak sekolah, terutamanya dalam hal meningkatkan pencapaian kokurikulum para pelajar ke tahap yang lebih baik. Pelajar tersebut memerlukan keyakinan diri untuk bertugas dengan penuh dedikasi dan berketrampilan. Bagi merealisasikannya mereka memerlukan bimbingan dan panduan.

Untuk mencapai tahap keyakinan diri dan kelicinan tugas barisan kepimpinan ini memerlukan bantuan pihak guru atau pihak sekolah untuk memberi motivasi dan tunjuk ajar kepada mereka. Mereka perlu mengetahui dengan jelas bidang tugas mereka serta mengetahui perkembangan bidang Kokurikulum. Percambahan fikiran dan minda adalah salah satu cara yang dapat memantapkan keyakinan terhadap tugas mereka. Maka atas dasar dan tujuan tersebut Kursus Kepimpinan ini sangat sesuai dilaksanakan. 


Pada 25 Mei 2022, telah berlangsungnya Kursus Kepimpinan Kokurikulum Murid 2022. Kursus ini bermula pukul 1.00 tengah hari hingga 3.20 petang bertempat di Terminal Muafakat SK Taman Putra Perdana. Kursus ini melibatkan semua AJK tertinggi bagi Unit Beruniform, Kelab & Persatuan serta Sukan & Permainan. Kursus ini juga merupakan salah satu aktiviti tahunan yang akan dilaksanakan oleh Unit Kokurikulum pada setiap tahun.

Sila klik link di bawah untuk dapatkan buku program dalam bentuk anyflip..

 http://online.anyflip.com/ozibu/yhnu/mobile/

Poster Program

Rasional kursus ini adalah untuk melatih dan membekalkan ilmu pengetahuan kepada pemimpin-pemimpin kokurikulum yang masih muda dan belum cukup berpengetahuan.

Manakala matlamatnya adalah untuk melatih pelajar-pelajar membentuk jati diri sebagai pemimpin yang berkarisma dalam setiap unit Kokurikulum dan membentuk pemimpin kokurikulum yang sedia merancang, mengelola dan melaksana setiap program Unit Kokurikulum. Selain itu,kursus ini diadakan bertujuan untuk memberi penghargaan kepada murid-murid yang telah dilantik dalam organisasi Kokurikulum.

Melalui kursus yang diadakan ini juga, diharapkan para peserta kursus dapat:

  • Mengetahui dan melaksanakan tugas sebagai seorang pemimpin yang telah diamanahkan dengan jujur, dedikasi dan tanggungjawab.
  • Melahirkan pemimpin yang akan menjadi contoh kepada murid lain, berbudi pekerti dan mempunyai jati diri yang tinggi dan berbakti kepada guru dan sekolah.
  • Membentuk sahsiah dan keterampilan pemimpin yang dihormati.

Para pelajar didedahkan kepada  Bidang Tugas, Peranan & Tanggungjawab Ahli Jawatankuasa dalam Organisasi, Cara Kendalian Tugas dan Ciri-ciri Pemimpin Berketrampilan.

Bagi mengikuti aktiviti yang dijalankan, berikut adalah gambar-gambar yang sempat dirakamkan sebagai tontonan..



Sesi pembukaan majlis oleh pengerusi majlis bertugas, Pn. Nurliza binti Ab Rahman


Bacaan doa yang dipimpin oleh En. Ahmad Mustafid bin Sharif

Ceramah: Bidang Tugas dan Peranan AJK dalam organisasi oleh Encik Zunaidi bin Jinalidin

Ceramah: Cara Kendalian Tugas dan Ciri-ciri Pemimpin yang Berketrampilan oleh Puan Noor Hayati binti Yusof




Gambar sekitar Kursus Kepimpinan Kokurikulum 2022

Di akhir kursus,peserta diberi peluang untuk bersoal jawab bersama penceramah. Semoga program ini dapat mengasah dan menggilap bakat pemimpin-pemimpin muda ini dan membentuk mereka menjadi pemimpin yang berwibawa dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab yang diberikan.

Tahniah dan syabas diucapkan sekali lagi kepada semua pentadbir, AJK Pelaksana dan peserta serta warga SKTPP yang telah bekerjasama secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini.


Disediakan oleh:

Siti Fatimah binti Wan Yaacob