Sunday, June 21, 2020

Jadual Suntikan Murid Tahun 1 2020

Kejadian penyakit berjangkit terutamanya penyakit cegahan vaksin adalah merupakan salah satu penyebab utama morbiditi dan mortaliti kanak-kanak. Imunisasi adalah merupakan satu cara yang paling berkesan dalam menangani kejadian penyakit berjangkit dalam kalangan kanak-kanak. Perkhidmatan imunisasi sekolah adalah salah satu perkhidmatan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada murid di sekolah dalam usaha untuk mencegah penularan penyakit berjangkit.

Dalam keadaan di mana Malaysia sedang menghadapi wabak COVID-19 dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP), penyampaian perkhidmatan imunisasi di sekolah tidak dapat dijalankan seperti biasa kerana sekolah-sekolah masih lagi ditutup dan sesi persekolahan masih lagi belum bermula. Ini akan melibatkan pemberian imunisasi mencegah penyakit demam campak (Measles), Rubella, Difteria dan kancing gigi (Tetanus) untuk murid Tahun 1, imunisasi Human Papillomavirus (HPV) bagi murid perempuan Tingkatan 1 dan imunisasi ATT (dos tambahan vaksin Tetanus) bagi murid Tingkatan 3.


KKM ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan imunisasi kepada murid sekolah masih lagi diteruskan dan semasa tempoh penutupan sekolah pada tahun 2020, di mana perkhidmatan imunisasi ini akan diberikan di fasiliti kesihatan kerajaan seperti Klinik Kesihatan atau Klinik Kesihatan Ibu dan Anak atau Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan. Pada tahun 2020, keutamaan diberikan kepada pemberian imunisasi untuk murid Tahun 1.

Sehubungan dengan itu, ibu bapa atau penjaga diminta membawa anak-anak yang berada dalam Tahun 1 untuk mendapatkan imunisasi di fasiliti kesihatan berhampiran apabila menerima jadual temujanji perkhidmatan imunisasi melalui pihak sekolah. Untuk tujuan ini, KKM juga telah mendapatkan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membantu dalam menyelaras pemakluman kepada ibu bapa atau penjaga mengenai perkhidmatan imunisasi ini.

Dalam keadaan di mana Malaysia sedang dalam usaha membendung penularan jangkitan COVID-19, ibu bapa khususnya dan masyarakat amnya diseru untuk bersama-sama KKM dan memainkan peranan masing-masing dalam usaha mencegah penyakit berjangkit. Sokongan berterusan bagi program imunisasi daripada semua pihak adalah sangat penting demi melindungi kesihatan dan masa depan murid sekolah kerana mereka adalah aset negara.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
15 MEI 2020


Petikan asal kenyataan akhbar boleh dicapai di laman sesawang di bawah ↴

https://kpkesihatan.com/2020/05/15/kenyataan-akhbar-kpk-15-mei-2020-pemberian-perkhidmatan-imunisasi-kepada-murid-sekolah-di-klinik-kesihatan/


Di bawah ini pula adalah jadual suntikan yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang. Ibu bapa murid Tahun 1 boleh merujuk jadual tersebut untuk tindakan. Sebarang pertanyaan, boleh dirujuk dengan guru kelas anak masing-masing. Harap maklum.



No comments:

Post a Comment