Program Transisi Tahun Satu 2.0 (PTTS 2.0) merupakan satu program yang dirangka oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan memberi penekanan terhadap aspek sosioemosi, kognitif dan fizikal murid bagi menyediakan mereka menghadapi perubahan, menyesuaikan diri dan membina keyakinan diri di sekolah rendah.
Program Transisi Tahun Satu 2.0 (PTTS 2.0) diorganisasi dalam dua fasa iaitu Fasa Penyesuaian (20 Mac – 31 Mac 2023), dan Fasa Kesediaan (3 April – 14 April 2023).
Program ini melibatkan 11 kelas tahun satu yang melibatkan seramai 446 orang murid. Kerangka konsep PTTS 2.0 dibangunkan berasaskan lima aspek iaitu sosioemosi, sikap dan nilai, kognitif (termasuk literasi dan numerasi asas), kreativiti dan estetika serta kesejahteraan fizikal dan kesihatan. Kelima-lima aspek ini dilaksanakan berasaskan pendekatan bertema dan bersepadu.
Program ini diharapkan dapat membantu murid dari pelbagai latar belakang, pengalaman pembelajaran dan perkembangan sosioemosi untuk memulakan proses pembelajaran di Tahun Satu pada tahap perkembangan dan pencapaian yang hampir sama.
PTTS 2.0 dirangka bagi mencapai objektif seperti berikut:
1. Membantu urid menghadapi perubahan daripada pendidikan di rumah atau prasekolah/tadika kepada pendidikan formal.
2. Menyesuaikan murid dengan keadaan dan persekitaran sekolah.
3. Membina hubungan antara murid dengan rakan sebaya dan guru.
4. Meningkatkan keyakinan murid dan membentuk sikap positif dalam interaksi sosial serta pembelajaran.
5. Membantu murid mengurus diri sendiri.
Jutaan terima kasih kepada Pn Hajah Rohaidah bt Mohd Ali, Guru Besar SK Taman Putra Perdana, di atas sokongan dan galakan yang diberikan dalam melaksanakan perancangan Program Transisi Tahun 1 bagi sesi 2023/2024. Tidak ketinggalan juga kepada En Naga Kannan a/l Vadivale, PK Petang yang banyak membantu dari segenap segi, PIBG, JK Pelaksana serta ibubapa yang sentiasa memberikan kerjasama yang baik.
Semoga perjalanan Program Transisi Tahun 1 ini berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai sasaran dan objektif yang telah ditetapkan. Buat murid Tahun 1 yang dikasihi, langkahlah dengan harapan dan pengakhirannya dengan sebuah kejayaan.
Berikut adalah gambar-gambar yang sempat dirakam lensa kamera. Semoga ianya menjadi kenangan buat murid-murid Tahun 1.
No comments:
Post a Comment