... SELAMAT DATANG KE BLOG SKTPP...TEL: 03-83119204...FAX: 03-83119234...SELAMAT DATANG KE BLOG SKTPP...TEL: 03-83119204...FAX: 03-83119234...SELAMAT DATANG KE BLOG SKTPP...TEL: 03-83119204...FAX: 03-83119234...

Monday, November 17, 2025

Majlis Penutupan Bulan Pusat Sumber Sekolah 2025 (Sesi Petang)

Sepanjang 5 minggu berlangsung, Pusat Sumber Sekolah telah dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik sempena Bulan Pusat Sumber Sekolah 2025, yang bertemakan Flora dan Fauna, "Alam Khazanah Ilmu". Murid-murid, guru, dan kakitangan sekolah telah berpeluang menyertai pelbagai pertandingan dan program seperti pameran dan jualan buku, kuiz dan program Seronok Membaca dan Bercerita bersama Syarikat Mommy Happy yang memfokuskan tentang kepelbagaian tumbuhan dan haiwan di sekitar kita. Program ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan minat membaca dan menimba ilmu, malah turut memupuk kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan keindahan biodiversiti.

Kini, kita sampai ke detik yang dinanti-nantikan iaitu Majlis Penutupan Bulan Pusat Sumber Sekolah 2025. Majlis ini telah berlangsung pada 17 November 2025 serentak dengan perhimpunan mingguan di Dewan Perdana SKTPP, ia menjadi platform untuk meraikan pencapaian murid sepanjang bulan, menghargai penyertaan aktif mereka dalam setiap aktiviti, serta mengiktiraf usaha guru dan kakitangan dalam menjayakan program yang bermanfaat ini. Dengan tema Flora dan Fauna, majlis ini diharap dapat menanamkan minat dan kesedaran berterusan terhadap dunia semula jadi, sambil memperkukuhkan peranan pusat sumber sebagai nadi ilmu dan kreativiti di sekolah.

Buku Program 
 Sila klik pautan untuk buku program penuh - 
https://online.fliphtml5.com/vfhql/jexu/

Majlis dimulakan dengan perhimpunan rasmi sekolah tepat jam 1 petang dan diikuti dengan persembahan pembukaan Majlis Penutupan Bulan Pusat Sumber 2025 yang dipersembahkan oleh murid-murid tahun 2. 


Majlis Penutupan Bulan Pusat Sumber Sekolah telah bermula dengan penuh meriah apabila pengacara majlis, Puan Nik Rosmaliza dan Encik Amirulfitri, membuka acara dengan ucapan alu-aluan yang hangat dan menghidupkan suasana di kalangan murid dan guru. Majlis dimulakan dengan gimik penutupan yang kreatif dan menarik, menandakan berakhirnya program sambil meninggalkan kenangan manis kepada semua yang terlibat. Suasana riang dan semangat kesatuan warga sekolah dapat dirasai sepanjang acara, menjadikan majlis ini bukan sahaja sebagai satu pengiktirafan, tetapi juga pengalaman pembelajaran dan inspirasi yang berharga.




Ini adalah bingkisan video Gimik Penutupan untuk Bulan Pusat Sumber Sekolah 2025. Begitu menarik sekali. 

Sebagai sebahagian tayangan video montaj yang disediakan oleh Cik Nurul Huda Amirah untuk mengenang detik-detik menarik sepanjang aktiviti dan pertandingan yang berlangsung sepanjang 5 minggu Bulan Pusat Sumber Sekolah 2025. Suasana gemilang dan penuh keceriaan menyelubungi majlis dengan acara penyampaian hadiah bagi pertandingan-pertandingan dibawah. Acara ini bertujuan untuk mengiktiraf dan menghargai usaha serta pencapaian murid dan guru yang telah menunjukkan dedikasi, kreativiti dan semangat tinggi sepanjang penyertaan mereka dalam pertandingan yang disediakan oleh Pusat Sumber Sekolah.  

Pertandingan Terbuka Kategori murid ialah : 
  • Pertandingan Bercerita Kategori Bahasa Melayu "Madah Nuri di Rimba"
  • Pertandingan Bercerita Kategori Bahasa Inggeris "Harimau Mengaum"
  • Pertandingan Jejak Maklumat "Akal Si Gagak"
  • Kuiz Harian - "Bila Ayam Berkokok"
  • Sudut NILAM Kelas Terbaik - "Pondok Merak"
  • Peminjam Buku Terbanyak Kategori Murid - "Kancil Ujana Ilmu"
  • Pengunjung Teraktif Kategori Murid - "Lebah Ujana Ilmu"
  • Rekod Terbanyak Bahan Bacaan - "Raja Rimba"
Pertandingan Terbuka Kategori Guru dan Staf :
  • Pertandingan Membina Latihan Interaktif - "Sentuhan Semalu"
  • Swafoto : Antara Aku, Buku dan (Flora dan Fauna)-"Anggun Bakawali"
  • Pembaca Terbanyak - "Kijang Emas"
  • Pengunjung Teraktif - Merpati Setia"







Tahniah kepada semua penerima hadiah atas pencapaian yang membanggakan. semoga kejayaan ini menjadi inspirasi untuk terus berusaha dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Kemuncak majlis diteruskan dengan sesi fotografi sebagai tanda kenang-kenangan. Sebagai penutup, Majlis Penutupan Bulan Pusat Sumber Sekolah 2025 dengan tema Flora dan Fauna ini telah berjaya memberi pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna kepada semua murid, guru, dan kakitangan. Semoga setiap pertandingan, aktiviti, pameran, dan program yang dijalankan bukan sahaja meningkatkan minat membaca dan pengetahuan tentang flora dan fauna, tetapi juga memupuk kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan keanekaan hayati di sekeliling kita. Diharapkan semangat dan ilmu yang diperoleh sepanjang bulan ini dapat diteruskan dalam aktiviti harian serta menjadi dorongan untuk meneroka lebih banyak ilmu pengetahuan melalui pusat sumber sekolah. Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini, semoga pusat sumber terus menjadi nadi ilmu yang menyokong pembelajaran, kreativiti, dan inspirasi kepada semua warga sekolah. Sekian, terima kasih. 

Disediakan oleh :
Puan Suziana binti Mohd Makhtar 
AJK Posting Blog 
Bulan Pusat Sumber Sekolah 2025. 










No comments:

Post a Comment