... SELAMAT DATANG KE BLOG SKTPP...TEL: 03-83119204...FAX: 03-83119234...SELAMAT DATANG KE BLOG SKTPP...TEL: 03-83119204...FAX: 03-83119234...SELAMAT DATANG KE BLOG SKTPP...TEL: 03-83119204...FAX: 03-83119234...

Monday, August 13, 2018

Bengkel Anugerah Pandu Puteri Tunas Harapan Ketua Pesuruhjaya (BATHKP)

Pada 10 hingga 12 Ogos 2018 telah dilaksanakan Bengkel Anugerah Pandu Puteri Tunas Harapan Ketua Pesuruhjaya (BATHKP) di Kem Kepimpinan IM4U Meru, Klang Selangor. Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana telah menghantar dua orang murid ke BATHKP iaitu Nur Alya Syuhanis dan Amira Syadiyah yang merupakan murid Tahun 5. Bengkel ini telah disertai oleh beberapa buah sekolah di seluruh negeri Selangor. Sekolah yang terlibat ialah daerah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Gombak dan Klang.  

Objektif Bengkel Anugerah Pandu Puteri Tunas Harapan Ketua Pesuruhjaya ialah:
1) Sebagai pemangkin kepada ahli Pandu Puteri Tunas untuk bergerak aktif dalam melakukan aktiviti-aktiviti Pandu Puteri. 
2) Memartabatkan Program Pandu Puteri Tunas melalui pemilihan penerima anugerah.
3) Sebagai insentif kepada ahli Pandu Puteri Tunas yang telah mencapai kriteria yang ditetapkan.
4) Membina keyakinan diri yang utuh apabila berhadapan dengan cabaran dan perkembangan semasa.

Pada hari pertama peserta diminta menyiapkan log kemajuan, kecekapan  dan peribadi  terlebih dahulu. Murid harus memastikan log yang telah disediakan lengkap dan mengikut kriteria yang telah ditetapkan. 

Setiap peserta BATHKP perlu menyediakan tiga log iaitu log peribadi, log kemajuan dan log kecekapan. Pada hari pertama bengkel, murid-murid diminta menyiapkan ketiga-tiga log dengan lengkap dan mengikut kriteria yang telah ditetapkan. Guru-guru dari setiap sekolah perlu membuat penyemakan log peserta masing-masing sebelum dihantar untuk semakan dan penentuan markah.

Pada sebelah malam, setiap peserta perlu menghantar log kemajuan terlebih dahulu untuk penyemakan dan penetapan markah. Bagi log kemajuan ini, peserta perlu mendapat markah 50 ke atas untuk lulus dalam log kemajuan ini. Sekiranya peserta mendapat markah kurang daripada 50, peserta dikira tidak lulus atau diberikan lulus bersyarat yang mana mereka perlu membaiki dan membuat penambahbaikan dalam log masing-masing mengikut tempoh yang telah ditetapkan. Alhamdulillah murid kita Nur Alya Syuhanis dan Amira Syadiyah berjaya mendapat markah 90 ke atas dan lulus bagi log kemajuan ini.

Pada 11 Ogos 2018 bersamaan hari Sabtu, semua peserta diminta berkumpul di dataran untuk senaman pagi kemudian bersarapan di kafeteria setelah selesai bersenam. Pada pukul 8.30 pagi, semua peserta berkumpul di dewan untuk bergerak ke rumah anak yatim Al-Mahabbah. Di sana peserta disambut dengan persembahan nasyid oleh anak-anak yatim di Rumah Al-Mahabbah. Kemudian, aktiviti gotong-royong bertukar kepada aktiviti suai kenal bersama-sama anak-anak yatim di rumah Al-Mahabbah kerana adik-adik rumah al-Mahabbah ini telah melaksanakan aktiviti gotong-royong di sebelah pagi. Peserta BATHKP juga telah membuat persembahan nyanyian di hadapan anak-anak yatim di rumah Al-Mahabbah serta telah menghulur sumbangan dalam pelbagai bentuk kepada Puan Mahani; penjaga rumah Al-Mahabbah ini sebagai wakil kepada anak-anak yatim di rumah Al-Mahabbah tersebut.

Pada sebelah petang pula, para peserta diminta menghantar log kecepakan untuk semakan dan penetapan markah. Log kecekapan ini perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan dari segi pemarkahan. Alhamdulillah log kecekapan yang telah disediakan oleh murid-murid SKTPP mengikut kriteria yang telah ditetapkan dan mereka lulus. Pada pukul 6.00 petang semua peserta diminta berkumpul di dataran untuk aktiviti riadah, selepas itu bergerak ke dewan makan untuk makan malam.

Semua peserta juga telah diberi taklimat untuk menyediakan sebuah persembahan bertemakan kemerdekaan mengikut daerah masing-masing bagi aktiviti Malam Kebudayaan pada sebelah malamnya. Persembahan Malam Kebudayaan telah bermula pada pukul 10.00 malam di dewan IM4U. Semua daerah telah menunjukkan persembahan yang menarik dan mengikut kreativiti tersendiri. Melalui aktiviti malam kebudayaan ini, semua peserta dapat mengeratkan lagi hubungan silaraturrahim dengan peserta-peserta dari sekolah lain di samping mencungkil bakat-bakat dan kreativiti setiap murid. Nilai patriotisma serta cinta akan negara Malaysia dapat ditanam dalam diri setiap murid.

Pada 12 Ogos 2018 bersamaan hari Ahad, semua log termasuk log peribadi setiap peserta telah disemak dan diberi markah. Log peribadi merupakan log ketiga yang perlu dihantar untuk lulus dengan cemerlang dalam BATHKP ini. Syukur yang tidak terhingga sekali lagi dengan bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh teacher Parimala kepada murid-murid kita, murid-murid ini telah lulus dengan cemerlang dalam ketiga-tiga log dan telah menerima Anugerah Pandu Puteri Tunas Harapan Ketua Persuruhjaya Cawangan Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Nur Alya Syuhanis dan Amira Syadiyah juga layak ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada awal bulan November 2018 di Johor Bahru. Semoga segala pengalaman dan ilmu yang diperolehi daripada bengkel ini dapat meningkatkan motivasi dan kreativiti dalam diri mereka.  BATHKP  dapat membentuk murid-murid menjadi seorang murid yang versatil bukan sahaja dalam bidang akademik malah cemerlang dalam bidang kokurikulum.

Melengkapkan dan menyemak log sebelum dihantar untuk pemarkahan

Khidmat masyarakat di rumah anak yatim Al-Mahabbah

Pasukan Pandu Puteri Tunas Daerah Sepang

Sumbangan untuk anak-anak yatim Al-Mahabbah

Persembahan Nasyid Anak-Anak Yatim Al-Mahabbah

Persembahan Malam Kebudayaan Di Dewan IM4U

Uniform Lengkap Pandu Puteri Tunas Untuk Penerimaan Anugerah

Pasukan Pandu Puteri Tunas Daerah Sepang Yang Telah Lulus Dalam BATHKP

Peserta  BATHKP Yang Telah Lulus Dengan Cemerlang

Menerima Anugerah Pandu Puteri Tunas Harapan Ketua Persuruhjaya Cawangan Persatuan Pandu Puteri Malaysia

Disediakan oleh, 
Mawaddah binti Kamarulzaman

No comments:

Post a Comment