Tuesday, September 14, 2010

Tip Peperiksaan UPSR - BM Penulisan

Tip Peperiksaan UPSR: Calon perlu tenang bagi mudahkan menjawab soalan
Bahasa Melayu Penulisan

BAGI mengelakkan rasa gemuruh dan kelam-kabut sebelum menduduki peperiksaan, calon dinasihatkan datang awal ke sekolah atau dewan peperiksaan. Persediaan awal penting kerana untuk menduduki kertas Bahasa Melayu Penulisan, calon perlu benar-benar bersedia dan tenang bagi memudahkan mendapat idea bernas ketika menulis karangan.
Sebagai ulang kaji, kertas ini mengandungi tiga bahagian, iaitu Bahagian A membabitkan pembinaan ayat berdasarkan gambar, Bahagian B pula karangan, manakala Bahagian C berkaitan membuat ulasan. Ketiga-tiga bahagian ini mesti dijawab.

BAHAGIAN A
Untuk bahagian ini, calon diberi masa selama 15 minit untuk menjawab dengan peruntukan 10 markah. Untuk mendapat markah penuh tidaklah begitu susah kerana calon perlu melakukan empat langkah, iaitu:

Langkah pertama

Calon perlu mencari kunci soalan yang terdapat dalam soalan. Kunci soalan dalam Bahagian A ada tiga iaitu "tentang", "aktiviti" atau "situasi". Kunci soalan juga boleh diperoleh dalam gambar. Contohnya dalam UPSR 2008, terdapat ayat "Cara-Cara Melintas Jalan Raya Dengan Selamat". Ayat tersebut boleh calon gunakan ketika membina ayat. Walau apapun kunci soalan yang diberikan dalam peperiksaan tahun ini, calon dinasihatkan agar memulakan ayat dengan subjek (watak).
Langkah kedua

Calon hendaklah menyenaraikan semua kata kerja yang terdapat dalam gambar. Antara caranya ialah dengan membulatkan watak dalam gambar dan tuliskan kata kerja yang berkaitan. Cikgu cadangkan calon membuat lima bulatan sahaja bagi mewakili lima ayat. Senaraikan seberapa banyak kata kerja yang berkaitan.



Langkah ketiga

Calon membina ayat berdasarkan kata kerja yang disenaraikan. Dinasihatkan calon membina ayat lebih daripada lapan patah perkataan dan yang paling penting, mulakan ayat dengan subjek (watak). Selepas subjek, tulis kata kerja yang berkaitan dan akhiri ayat dengan maklumat (di mana, bagaimana dan mengapa).

Contoh: Beberapa orang murid (siapa) sedang melukis dan mewarna (kata kerja) di dalam dewan sekolah (di mana) kerana menyertai pertandingan melukis sempena Hari Kebangsaan. (mengapa) Jawapan contoh: Beberapa orang murid sedang melukis dan mewarna lukisan di dalam ketika menyertai pertandingan lukisan sempena Hari Kebangsaan.

Langkah keempat

Semak ayat yang dibina, pastikan strukturnya betul. Binalah ayat aktif dan elakkan daripada membina ayat pasif. Semak ejaan agar tidak ada yang salah. Jangan gunakan perkataan yang calon tidak pasti ejaannya.

Kesalahan ejaan boleh menjejaskan markah. Begitu juga dengan kosa kata atau perbendaharaan kata yang digunakan mestilah tepat. Contohnya, antara "memangkas" dengan "mencantas" dan "membelah" dengan "mengerat". Penggunaannya mengikut konteks ayat.

Jaga-jaga dengan imbuhan yang digunakan kerana kesalahan boleh membawa maksud yang berbeza. Contohnya, "Ayah menjual ikan" dengan "Ayah penjual ikan". Kedua-dua ayat ini membawa maksud berbeza disebabkan penggunaan imbuhan.

Akhir sekali, calon mesti berhati-hati dengan tanda baca. Pastikan ayat yang dibina bermula dengan huruf besar. Setiap ayat yang dibina mestilah mempunyai noktah. Jika calon menggunakan nama orang, pastikan perkataan awal huruf besar kerana nama orang adalah nama khas.

Gabungkan beberapa kata kerja yang disenaraikan dalam satu ayat. Contohnya, ayat di atas terdapat tiga kata kerja iaitu menyertai, melukis dan mewarna. Selain itu, calon tidak perlu mengulang kata kerja yang sama pada orang yang sama untuk ayat seterusnya. Ini dikatakan sebagai pengulangan ayat.

Seterusnya, pastikan calon membina lima ayat sahaja. Jika ruangan jawapan yang disediakan tidak cukup, mintalah kertas jawapan tambahan daripada pengawas peperiksaan. Jika tulisan kecil, calon dinasihatkan agar selang satu baris antara ayat yang dibina agar lebih kemas dan teratur.



BAHAGIAN B

Untuk menjawab soalan bahagian ini, calon perlu banyak membaca bagi menghasilkan karangan yang baik.

Masa yang diperuntukkan untuk menjawab bahagian ini ialah 40 minit. Petua untuk Bahagian B, calon mesti menggunakan FMK (Formula Menulis Karangan), iaitu kaedah menulis karangan berdasarkan perenggan 233332.

Setiap karangan mempunyai enam perenggan. 233332 bermaksud perenggan pertama dan keenam mempunyai dua ayat, manakala perenggan kedua hingga kelima, masing-masing tiga ayat.

Calon dinasihatkan agar selang satu baris antara perenggan yang dibuat agar karangan dihasilkan kelihatan lebih kemas.

Untuk menghasilkan karangan yang baik, calon haruslah melakukan empat langkah.

Langkah pertama - Pilih soalan

Calon mesti membaca semua soalan terlebih dahulu sebelum memilih soalan yang hendak dijawab. Pilih soalan yang banyak isi berdasarkan pengalaman calon agar mudah untuk menulis karangan. Ini kerana ada juga karangan yang senang tajuknya tetapi calon sukar mencari isinya.

Calon juga perlu mencari kunci soalan, kehendak soalan, format dan jenis karangan. Contohnya: Pada suatu petang, anda bersiar-siar dengan seorang rakan di tepi pantai. Tiba-tiba anda terdengar jeritan orang meminta tolong.

Ceritakan tindakan anda dan kawan anda ketika itu. Kunci soalan ini ialah "Ceritakan tindakan". Kehendak soalan ialah "menceritakan tindakan selepas mendengar jeritan", manakala format dan jenis karangan ialah cerita dan karangan tidak berformat. Langkah dicadangkan ini boleh membantu calon mengelakkan daripada menulis karangan terpesong.

Langkah kedua - Merangka karangan

Gunakan kaedah merangka karangan yang telah dipelajari sama ada "Peta Minda", "Melakar Isi" atau "Teknik Penyoalan".

Langkah ketiga - Menulis karangan

Pastikan ada enam perenggan. Pastikan juga tidak tersilap menulis perenggan pendahuluan kerana ada calon yang masukkan isi dalam perenggan pengenalan itu. Contohnya:

1. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Antaranya ialah kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan.

2. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Kita boleh melancong di dalam atau luar negara.

Jawapan yang tepat sebagai pendahuluan adalah jawapan 2. Untuk karangan fakta, calon boleh menulis karangan dengan menggunakan kaedah ICK iaitu isi, contoh dan kesan atau IKC (isi, kesan dan contoh).

Untuk perenggan penutup, calon boleh gunakan pelbagai jenis penutup seperti dalam bentuk rumusan, nilai, pantun, penegasan, peribahasa, kata hikmah dan pendirian.

Langkah keempat - Semak karangan

Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul sebelum beralih untuk menjawab Bahagian C.



BAHAGIAN C

Bahagian C memperuntukkan markah sebanyak 20 dan masanya 20 minit sahaja. Oleh itu, calon mesti bijak menggunakan masa untuk menjawab soalan bahagian ini.

Konsep Bahagian C ialah mengecam nilai murni atau pengajaran yang terdapat dalam petikan diberikan. Lantaran itu, calon mesti mengecam, mencari, mengenal dan mendapatkan nilai murni atau pengajaran yang terkandung dalam petikan itu.

Calon juga mesti tahu membezakan antara perbuatan dengan nilai murni atau pengajaran. Contohnya: Abang mengucapkan terima kasih kepada adik kerana mengeluarkan barang-barang dari dalam bilik itu. Pengajaran bagi ayat ini ialah "menghargai", manakala perbuatan yang menunjukkan adanya pengajaran ialah "Abang mengucapkan terima kasih".

Membezakan antara perbuatan dengan pengajaran penting agar calon tidak tersilap mengulas pengajaran yang sepatutnya. Untuk menghasilkan jawapan yang baik, empat langkah dicadangkan iaitu:

Langkah pertama

Baca petikan sekali lalu untuk memahami kandungannya. Kemudian, baca sekali lagi dan gariskan perkataan yang menunjukkan terdapatnya nilai murni atau pengajaran. Contohnya: Zaidi selalu mengulang kaji pelajaran pada waktu malam. Perkataan yang menunjukkan ada pengajaran ialah "mengulang kaji". Walaupun perlu mengulas lima pengajaran sahaja, calon dinasihatkan agar mencari seberapa banyak pengajaran yang ada dalam petikan.

Langkah kedua

Calon perlu memilih lima pengajaran yang ingin diulas dan binalah rangka ulasan. Contohnya:

a) Pengajaran - Rajin
b) Perbuatan - mengulang kaji pelajaran
c) Mengapa - lulus periksa

Langkah ketiga

Membina ulasan lengkap, contohnya: Kita mestilah rajin dengan mengulang kaji pelajaran agar lulus dalam peperiksaan. Ulasan mesti ditulis dalam satu perenggan. Oleh itu, gunakan penanda wacana agar ayat yang dibina lebih menarik.

Langkah keempat

Semak ulasan yang telah ditulis. Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul.

Oleh sebab masa diberikan untuk menjawab ketiga-tiga bahagian dalam kertas ini agak singkat, iaitu 1 jam 15 minit, calon perlu bijak menguruskannya. Masa yang dicadangkan untuk Bahagian A ialah tiga minit untuk memahami gambar, lima minit tulis ayat dan dua minit untuk menyemak. Untuk Bahagian B (10 minit faham soalan dan bina rangka karangan, 25 minit hasilkan karangan lengkap dan lima minit lagi untuk semakan).

Untuk Bahagian C (lima minit cari dan senaraikan nilai murni atau pengajaran, 10 minit tulis ulasan lengkap dan lima minit lagi menyemak). Lima minit terakhir, gunakan untuk semak semua jawapan Bahagian A, B dan C

No comments:

Post a Comment