Tuesday, February 1, 2011

Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI)

Berikutan pemansuhan program PPSMI (ETeMS) maka Kementerian Pelajaran telah menggubal dasar MBMMBI bagi memastikan anak-anak didik di sekolah terus menguasai Bahasa Inggeris dan dalam masa yang sama meningkatkan lagi penguasaan Bahasa Melayu. Lantaran itu maka banyak perkara perlu diambil tindakan agar ia selari dengan dasar tersebut. Di antaranya ialah dengan memastikan setiap sekolah mempunyai guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang mencukupi agar setiap murid mendapat didikan daripada guru opsyen mata pelajaran tersebut. Berdasarkan data guru di setiap sekolah, didapati sesetengah sekolah mempunyai lebihan opsyen kedua-dua mata pelajaran ini sementara di sekolah yang lain pula ketiadaan atau kekurangan guru opsyen tersebut.



Sehubungan itu, dalam usaha untuk memastikan setiap sekolah mempunyai guru opsyen BM dan BI yang mencukupi maka proses penempatan semula (redeployment) dilakukan di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah. Akhir tahun lepas telah berlaku proses tersebut kali pertama yang mana ramai guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris digerakkan pada 1 Disember 2010. Memandangkan akaun kewangan ditutup pada 15 Disember, maka tarikh tersebut dipilih bagi membolehkan guru terlibat dapat membuat tuntutan perpindahan dalam tahun kewangan yang sama. Fasa kedua pergerakan guru bagi daerah Sepang dibuat pada 1 Februari berikutan berlakunya pertambahan dan pengurangan ketara bilangan murid di sesebuah sekolah sepanjang bulan Januari 2011.

Di sekolah kita sebenarnya mengalami kekurangan guru beropsyen Bahasa Melayu. Selama ini guru beropsyen lain seperti opsyen Matematik dan Kemahiran Hidup membantu mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu. Oleh itu sewaktu proses redeployment dalam fasa pertama, ramai guru Bahasa Melayu dari sekolah lain ditukar masuk ke sini bagi menampung kekurangan tersebut. Berikutan dasar MBMMBI yang mewajibkan guru beropsyen Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris mengajar mata pelajaran tersebut, maka mulai tahun 2011 kebanyakan kelas sudahpun mendapat guru opsyen sebenar mengajar kedua-dua mata pelajaran tersebut. Dalam fasa kedua proses redeployment, SKTPP mempunyai lebihan guru beropsyen Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Bahasa Arab maka mereka perlu bertukar ke sekolah yang memerlukan khidmat mereka.

Selain daripada memastikan setiap murid diajar oleh guru beropsyen BM dan BI, program MBMMBI ini juga memperkenalkan program Penutur Jati bagi membantu guru-guru Bahasa Inggeris meningkatkan lagi mutu p&p mereka.

No comments:

Post a Comment