Tuesday, May 3, 2011

Kampus Astro

Sekolah kita merupakan salah sebuah daripada 7624 sekolah di Malaysia yang mendapat perkhidmatan Kampus Astro.  Kampus Astro ini merupakan satu inisiatif pembelajaran di bawah program tanggungjawab sosial korporat Astro yang telah dilancarkan pada akhir tahun 2008.  Misi program Kampus Astro ini ialah untuk membawa satu pengalaman pembelajaran yang holistik dan menyeronokkan kepada pelajar-pelajar Malaysia.

Dalam program Kampus Astro ini, pihak Astro telah menyumbangkan dekoder Astro (yang mempunyai fungsi rakaman), set TV LCD 32 inci dan akses kepada 13 siaran antarabangsa dan tempatan. Jadual dan sinopsis rancangan boleh dicapai di laman web Kampus Astro bagi membolehkan guru-guru mengenalpasti program yang bersesuaian untuk murid mereka agar pembelajaran dan pengajaran mereka menjadi lebih efektif dan relevan. Selain itu Kampus Astro mengamalkan konsep 3R iaitu Rancang, Rakam, dan Reka yang boleh dimanfaatkan oleh para guru untuk menambah keberkesanan penggunaan set Kampus Astro.


Untuk pengisian Kampus Astro di sekolah, terdapat lebih dari 172 jam kandungan TV tempatan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin setakat ini yang kandungannya meliputi pembelajaran akademik dan kemahiran hidup. Antara program yang menarik di Astro TVIQ ialah UPSR!, PMR!, 'The English Room' dan Dunia Adik.

Di sekolah kita jangkauan tempat tontonan siaran Kampus Astro ini tidak terhad di Bilik Tayang kerana ia juga boleh ditonton di Dewan Perdana. Para guru hanya perlu mencari rancangan yang sesuai dengan kelas mereka dan menetapkan tarikh dan masa tontonannya.  Semoga program ini dapat dimanfaatkan seoptimum mungkin.

Selain itu, ibubapa juga boleh menggunakan perkhidmatan ini di rumah.

No comments:

Post a Comment