Wednesday, June 18, 2014

Lawatan TKRS Ke Muzium Muzium Angkatan Tentera

Satu lawatan yang dianjurkan oleh Kelab Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) SK Taman Putra Perdana telah diadakan dan dijalankan pada 18 Mei 2014 bersamaan hari Rabu ke Muzium Tentera Udara Sg. Besi dan juga Muzium Angkatan Tentera Darat Port Dickson. Lawatan ini telah disertai oleh 40 orang pelajar dan 4 orang guru yang mana lawatan ini telah diketuai oleh Cikgu Jamillulail  selaku guru penasihat TKRS dan telah dibantu oleh 3 orang guru TKRS yang lain iaitu Ustaz Zurilazman, Cik Shuhada dan Pn. Norhafiza.








   Pada jam 8.00 pagi, semua pelajar berkumpul di perkarangan sekolah dan kemudian pada jam 8.30 pagi pelajar seterusnya bertolak ke Muzium Tentera Udara Sg. Besi. Perjalanan mengambil masa kira-kira 1 jam dan pada jam 9.30 pagi, rombongan pelajar tiba di muzium berkenaan.  Semasa tiba pelajar diperkenalkan dengan Koperal Azman dan beliau merupakan orang yang bertanggungjawab membawa rombongan TKRS ini ke sekitar muzium dan seterusnya memperkenalkan jenis-jenis kapal terbang yang ada di sini berserta tayangan video mengenai TUDM. Pelajar begitu teruja dengan berbagai jenis kapal terbang yang terdapat di sini dan juga mencuba untuk menaiki  kapal terbang berkenaan. 





   Kemudian pada jam 11.00 pagi. pelajar telah bertolak ke Port Dickson dan perjalanan ini telah mengambil masa selama 2 jam.  Pada jam 1.00 tengah hari,  pelajar telah tiba di Port Dickson, dan  telah berhenti rehat di  Pantai Batu 4 untuk makan tengah hari serta bersolat zohor di Masjid Angkatan Tentera. Kemudian pelajar terus melakukan lawatan ke Muzium Angkatan Tentera yang terletak bersebelahan dengan masjid yang mana jaraknya kira-kira 500 meter sahaja.







   Semasa lawatan ke Muzium Angkatan Tentera diadakan, pelajar telah didedahkan dengan sejarah permodenan Angkatan Tentera Malaysia. Di sini juga pelajar telah didedahkan dengan pelbagai bentuk senjata dan peralatan yang digunakan dalam peperangan dan juga mengenai sejarah ketamadunan Melayu serta bagaimana wujudnya era-era penjajah di negara ini.  Sekali  lagi pelajar teruja apabila melalui terowong dalam era komunis yang diwujudkan di bawah muzium. Akhir sekali pelajar sangat berminat apabila melakukan ikhtiar hidup yang wujud di belakang muzium dengan menaiki jambatan gantung.



   Pada jam 4.30 petang, pelajar telah bertolak pulang ke SK Taman Putra Perdana setelah seharian melakukan lawatan. Pada jam 6.00 petang pelajar telah tiba di perkarangan Sekolah SK Taman Putra Perdana.

No comments:

Post a Comment