Monday, October 29, 2012

TOKOH KANAK-KANAK SKTPP 2012



Tokoh Kanak-Kanak SK Taman Putra Perdana Tahun 2012 telah dipilih oleh Jawatankuasa pemilihan tokoh dan mendapat pengesahan daripada Guru Besar SK Taman Putra Perdana pada 19 Oktober 2012.

Tokoh Kanak-Kanak ini dipilih berdasarkan skor yang ditentukan berdasarkan borang pencalonan dan hasil temu bual dengan calon dan orang yang mengenali calon. Hasil pengiraan skor, tokoh ini telah mendapat persetujuan sebulat suara daripada pihak Jawatankuasa Pemilihan dengan mengatasi 5 pencalonan yang lain. Skor ini berdasarkan aspek penilaian sahsiah dan ketokohan.

Tokoh Kanak-kanak ini lahir pada 11 Jun 2000 merupakan puteri kepada pasangan Zainudin Bin Mohamed dan Noorafizatun Bte Mohamed Noordin. Anak sulung daripada dua adik-beradik.

Daripada seorang murid biasa, beliau telah diamanahkan beberapa tugas penting seperti Pengawas Sekolah bermula dari Tahun 3 dan seterusnya diberi kepercayaan menyandang jawatan sebagai Ketua Pengawas Sekolah serta taat memimpin bacaan ikrar murid setiap minggu pada perhimpunan rasmi. Beliau telah bersekolah di Sekolah Agama Azzuhdi bermula dengan tahap khas hinggalah ke tahap 6 seawal usia 4 tahun hingga 9 tahun. Di sini, beliau telah menunjukkan kecemerlangan dengan dianugerahkan Pelajar Cemerlang  tahun 2009.
Setelah berpindah ke Sekolah Agama Annajah, beliau meneruskan kecemerlangan setelah dinobatkan sebagai Pelajar Cemerlang tahun 2010 dan 2011. Beliau juga giat menyertai pertandingan nasyid pada tahun 2010 dengan mendapat tempat ketiga dan seterusnya berjaya mendapat tempat kedua pada tahun 2011.

Di samping menunjukkan kecemerlangan di sekolah agama,beliau juga turut mendapat pujian dan pengiktirafan daripada pihak luar setelah menjadi peserta tunggal membawa nama SK Taman Putra Perdana dalam Rancangan Clever anjuran Astro pada tahun 2011. Beliau juga aktif dalam pertandingan Coral Speaking semasa di tahun 4, 2010 dan memenangi tempat pertama peringkat daerah bersama pasukan bicara berirama sekolah dalam Pertandingan Bicara Berirama 2012. Selain itu, beliau merupakan salah seorang peserta yang menyertai KemRobotik di SK Bachok,Kelantan pada tahun 2011. Beliau juga merupakan salah seorang daripada 6 peserta yang mewakili daerah ke peringkat negeri pada tahun ini. Aktiviti luar juga menjadi pilihan beliau apabila menjadi salah seorang peserta perkhemahan Pandu Puteri Peringkat Negeri 2012 di SK Kg Medan, Kuala Langat, Selangor.

Keperibadian beliau terserlah apabila sering menunjukkan sahsiah yang terpuji kerana sentiasa ringan tulang membantu guru-guru dan rakan-rakan yang memerlukan bantuan.
Beliau disenangi kerana sering menjaga interaksi yang baik sesama rakan apatah lagi sesama staf dan guru. Malahan, beliau sentiasa menonjolkan ketrampilan diri bak kata orang, sedap mata memandang. Beliau juga telah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik dan ramah apabila tanpa jemu melayan pengunjung gerai pameran Ureka dan Robotik pada Pameran Hari Inovasi dan Kerjaya 2012.

Atas kelebihan-kelebihan yang telah diperincikan itulah telah melayakkan adik Atiqah An-Nur Binti Zainudin dinobatkan sebagai Tokoh Kanak-Kanak 2012.

No comments:

Post a Comment