Friday, April 28, 2017

Majlis Sambutan Israk Mikraj Peringkat Sekolah 2017 (Sesi Pagi)

Setiap tahun pada tanggal 27 Rejab, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan Majlis Sambutan Israk Mikraj. Israk Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah S.A.W dari Mekah ke Madinah. Apabila berbicara tentang peristiwa Israk Mikraj ini, kita akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah S.A.W bersama Malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa iaitu:
  • Israk bererti perjalanan Nabi S.A.W menaiki Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin.
  • Mikraj bererti perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.

    Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;

"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari AlMasjidil Haram ke AlMasjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

    Israk Mikraj disambut dengan penuh kesyukuran dan keinsafan oleh seluruh umat Islam di dunia. Peristiwa ini disambut untuk memperingati sirah perjalanan Nabi dari Masjidil Haram ke Sidratil Muntaha sehinggalah menerima perintah solat lima waktu sehari semalam. Rentetan daripada peristiwa bersejarah itu, pada tanggal 28 April 2017, bersamaan 1 Syaaban 1438H, Majlis Sambutan Israk Mikraj Peringkat Sekolah 2017 (sesi pagi) telah diadakan di Dewan Perdana SK Taman Putra Perdana.

    Program ini dilaksanakan bertujuan untuk memberi kefahaman kepada murid-murid tentang peristiwa Israk Mikraj. Satu ceramah untuk murid-murid sesi pagi dilaksanakan dengan pengisian program yang berfaedah bermula jam 8.15 pagi. Ceramah yang sangat menarik, bermanfaat dan berilmiah ini telah disampaikan oleh Pencetus Ummah (PU) Akram atau nama sebenarnya Akram Ikrami bin Dato' Hj. Taib Azamudden yang juga merupakan seorang Associate Trainer Modul S.P.A (Pembangunan  Akademik Pelajar Cemerlang). Alhamdulillah, sesi ceramah ini berjalan lancar dan murid-murid memberi sepenuh perhatian dan teruja sepanjang penyampaian ceramah oleh PU Akram.

    Berikut adalah gambar-gambar yang sempat dirakam sepanjang pelaksanaan Majlis Sambutan Israk Mikraj sesi pagi:

Buku program

Bacaan Yasin sebelum ceramah bermula

Guru Besar dan Guru Penolong Kanan mengabadikan memori bergambar bersama PU Akram

Aksi murid-murid ketika ceramah dijalankan

Murid-murid teruja dan aktif berinteraksi dengan penceramah

Penyampaian dan pengisian ceramah yang menarik. Alhamdulillah..

Ceramah tentang Israk Mikraj yang menarik perhatian murid-murid

Cenderahati daripada pihak sekolah. Syukran jazilan PU Akram..

Terima kasih diucapkan kepada semua AJK pelaksana yang terlibat dalam melaksanakan aktiviti yang telah dirancang. Semoga mendapat keberkatan daripada Ilahi. Diharap program ini dapat memberi pengajaran dan menyingkap rahsia kebesaran Allah Azzawajalla dan seterusnya meningkatkan keimanan kepadaNya.

Disediakan oleh:
Ustazah Faridatul-Akmal binti Ismail

No comments:

Post a Comment